Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Guna Krim Asid Salisilik Untuk Buang Ketuat, Selamatkah Cara Ini?

Thursday 9 December 2021

Klik gambar untuk baca artikel kesihatan lain

Ketuat! Meskipun tidak semua mengalaminya, mungkin masih ramai individu yang ada masalah ini pada kulit lantas membuat mereka berikhtiar tentang pelbagai cara buang ketuat. Selain prosedur seperti pembedahan laser atau pembekuan sejuk, ada satu lagi cara membuang ketuat yang mungkin kurang kos dan tidak sakit iaitu dengan asid salisilik.

Persoalannya, adakah krim buang ketuat ini efektif atau mempunyai kesan negatif ekoran terdapat impak sampingan? Jom teruskan membaca artikel untuk tahu dengan lebih mendalam lagi!

Ketuat berpunca akibat jangkitan virus?

Untuk pengetahuan anda semua, ketuat atau kutil ini akan muncul akibat pertumbuhan pada lapisan luar kulit atau epidermis yang berpunca akibat jangkitan virus. Ia dikategorikan sebagai tumor kecil yang boleh muncul pada seluruh kulit badan dan disebabkan oleh salah satu daripada 100 jenis Human Papillomavirus (HPV).

Selain itu juga, ia mungkin boleh terjadi pada alat sulit apabila berlaku sentuhan kulit ke kulit atau melalui hubungan seksual bersama dengan individu lain. Ini dinamakan ketuat kelamin dan akan dikategorikan sebagai salah satu daripada penyakit jangkitan seksual (STD) sementara kutil yang biasa adalah tidak berkaitan.

Meskipun ia mungkin tidak berbahaya, ramai orang cenderung untuk membuangnya di atas faktor kebersihan dan kecantikan kulit dengan mencuba pelbagai jenis kaedah.

Cara buang ketuat guna krim buang ketuat

Antara cara membuang ketuat yang paling popular adalah dengan menggunakan krim yang terkandung asid salisilik yang boleh diperoleh daripada klinik, hospital atau farmasi. Asid ini adalah sejenis bahan kimia daripada keluarga asid beta hidroksi dan berfungsi menguraikan liang pori kulit yang mempengaruhi sel kulit mati serta hidup.

Selain digunakan untuk membuang kutil pada kulit, asid salisilik juga biasa ditemui di dalam produk kulit yang lain untuk tujuan yang berbeza termasuklah:

  • Sabun muka untuk rawat masalah jerawat
  • Syampu rambut untuk rawat masalah kelemumur
  • Losen kulit untuk rawat masalah penuaan

Para doktor juga telah melabelkan asid ini sebagai sejenis ‘keratolitik’ ekoran kesannya yang mungkin mampu untuk mengelupas serta membuang sel kulit rosak.

Adakah cara buang ketuat ini alternatif yang efektif?

Sekiranya anda mahu cuba menggunakan krim buang ketuat dengan asid salisilik, anda mungkin perlu bersabar memandangkan ia bersifat jangka masa panjang. Kebanyakan daripada individu yang mencuba krim ini telah berjaya untuk membuang kutil pada kulit badan mereka namun tidak semuanya sukses kerana ada juga yang gagal.

Dalam pada itu juga, wujud kesan sampingan yang mungkin boleh terjadi kepada individu seperti kerengsaan, keradangan, kegatalan, kesakitan serta perubahan pada warna kulit. Ini bermakna cara buang ketuat dengan krim terkandung asid salisilik mungkin adalah alternatif yang efektif namun masih ada kesan negatif di sebaliknya.

Jadi lebih baik untuk berjumpa dan berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mencuba sebarang cara untuk membuang kutil pada kulit badan.

Ia bergantung kepada jenis ketuat pada kulit?

Sebenarnya, salah satu daripada punca krim buang ketuat ini tidak berjaya adalah anda mungkin tidak tahu akan jenis-jenis kutil pada kulit yang sedang dirawat. Ada beberapa jenis ketuat dan tidak semua mampu untuk dibuang menggunakan krim iaitu:

  • Ketuat plamar – muncul di tangan
  • Ketuat plantar – muncul di kaki
  • Ketuat datar – muncul di dahi dan muka
  • Ketuat kelamin – muncul di sekitar alat sulit
  • Ketuat subungual dan periungual – muncul di bawah kuku

Krim dengan asid salisilik mungkin adalah selamat dan efektif untuk digunakan bagi ketuat jenis plamar serta plantar, namun tidak bagi jenis yang lain. Lebih-lebih lagi bahagian kulit yang sensitif seperti di dahi, muka dan sekitar alat sulit yang mungkin memerlukan alternatif lain sebagai cara buang ketuat.

Ini adalah apa yang anda mungkin boleh buat!


Tahukah anda bagi masalah kutil yang agak kurang serius, ia mungkin boleh dihilangkan dengan hanya menggunakan beberapa ramuan semula jadi di rumah sendiri?

Berikut adalah beberapa tip yang anda boleh cuba amalkan sebagai cara buang ketuat yakni:

  • Cuka epal
  • Bawang putih
  • Kulit oren
  • Lidah buaya

Cara penggunaan ramuan semula jadi ini adalah sama iaitu dengan mengekstraknya ke dalam bentuk cecair dan kemudian menyapunya pada kawasan kutil. Jika ia masih tidak menimbulkan hasil setelah sekian lama mencuba, anda mungkin perlu mendapatkan rawatan yang memerlukan kos belanja lebih besar.

Tip Nak Beli Produk Jika Kulit Kering Dan Kasar, Mesti Ada 7 Bahan Ini!

Tuesday 30 November 2021

Meskipun bukan semua, namun tidak dinafikan ramai juga dalam kalangan kita yang mungkin mengalami masalah kulit kering dan kasar, tetapi hanya mampu pasrah tentangnya. Sebenarnya, aspek kesihatan kulit tidak boleh diabaikan dan dibiarkan begitu sahaja lebih-lebih lagi jika ia bermasalah. Itulah kegunaan produk kulit di pasaran.

Persoalannya, apa dan bagaimana produk kulit yang kita perlu pilih jika ada masalah kulit kering dan kasar? Jom teruskan membaca artikel untuk tahu lebih lanjut!

Kenapa kulit boleh jadi kering dan kasar?

Menurut pelbagai kajian berkaitan, dipercayai bahawa mutasi genetik filaggrin adalah dalang utama terjadinya masalah kulit seperti ekzema dan lain-lain. Pun begitu, ia bukan punca masalah kulit kering dan kasar yang anda mungkin perlu risaukan memandangkan faktor genetik adalah di luar kawalan kita semua.

Apa yang perlu menjadi perhatian adalah penggunaan produk seharian seperti air, sabun, losen, minyak wangi atau ubatan tertentu yang boleh beri mudarat. Sebagai contoh, ubatan tertentu yang digunakan untuk merawat jerawat mengandungi benzoyl peroxide dan salicylic acid.

Begitu juga dengan produk pencuci, pelembap serta apa-apa sahaja yang menyentuh kulit lantas memberi kesan buruk jika digunakan dalam jangka masa panjang.


Bahan yang mesti ada dalam produk kulit!

Ironiknya, kondisi kulit kering yang disebabkan oleh produk seharian juga boleh dikawal dan dirawat menggunakan produk kulit yang ideal lagi sesuai. Kuncinya di sini pula adalah untuk mendapatkan kulit yang terhidrasi dengan lebih baik dan caranya bukanlah sekadar minum air kosong yang cukup sahaja.

Berikut adalah bahan yang mesti ada dalam produk jika anda mengalami masalah kulit kering dan kasar:

#1. Asid Hyaluronik

Asid Hyaluronik (HA) adalah ramuan paling popular dan utama di dalam pembuatan produk kulit ekoran impaknya yang bagus di dalam penghidratan kulit. Caranya berfungsi adalah dengan menghimpun dan menarik kelembapan dari kawasan sekitar ke dalam sel kulit lantas membuat kulit menjadi lebih lembap.

#2. Asid Laktik

Sama halnya seperti di atas tadi, Asid Laktik (LA) juga merupakan ramuan terbaik yang boleh membantu membaiki faktor kelembapan kulit secara semula jadi. Ia berfungsi dengan cara mencipta halangan atau rintangan bagi meminimumkan kehilangan cecair pada kulit lantas mengurangkan masalah kulit kering dan kasar.

#3. Gel Lidah Buaya

Gel lidah buaya atau bahasa komersialnya Aloe Vera, memang sudah tidak asing lagi digunakan ke atas kulit kerana ia juga sudah popular sejak zaman dahulu lagi. Untuk pengetahuan anda, gel ini kaya dengan air, mineral dan vitamin yang sangat penting buat kesihatan kulit bagi memastikan ia kekal terhidrat, sihat dan kuat.

Bukan sahaja anda boleh menggunakan produk yang mengandungi gel ini, malah anda juga boleh mengenakan gel lidah buaya secara terus sejurus daunnya diekstrak.

Produk kulit dengan #4. Gliserin

Gliserin adalah sejenis sebatian yang tidak berwarna dan tidak berbau yang telah banyak digunakan di dalam pembuatan produk kecantikan terutamanya buat kulit. Selain mampu mengekalkan kelembapan pada kulit, ia juga mampu menyembuhkan luka serta mengurangkan radang yang berlaku akibat kerengsaan pada kulit.

Produk kulit dengan #5. Seramida

Seramida adalah sebatian yang berasal daripada molekul lemak daripada kulit manusia itu sendiri dan berfungsi untuk mengekalkan kelembapan pada kulit. Ia menjadikannya sebagai ramuan bagus buat masalah kulit kering dan kasar, selain mampu membantu merawat kondisi kulit kronik seperti ekzema dan lain-lain.

#6. Susu kambing

Jangan terkejut pula jika kami kata susu yang boleh diperah dan diminum daripada haiwan ini turut mampu memberi kesan positif jika digunakan pada kulit. Ini kerana produk terkandung susu kambing mengandungi lemak spesifik yang mampu melembapkan kulit tanpa merengsakan atau meradangkan kulit anda.

Kandungan lemak spesifik ini bukan sahaja mampu mengekalkan kelembapan malahan memberi perlindungan baik pada kulit daripada anasir luar seperti persekitaran.

#7. Mentega kacang

Jangan tersilap pula dengan mentega yang anda gunakan sebagai sapuan roti kerana mentega ini datangnya daripada kekacang yang lain seperti koko dan shea. Produk dengan ramuan ini tinggi dengan asid lemak yang mampu untuk mencipta lapisan perlindungan untuk mengekalkan kelembapan dan keanjalan kulit.

Dalam pada itu, ia juga mudah menyerap pada kulit dan dalam masa yang sama memberi perlindungan daripada cahaya matahari serta memudarkan parut lama.

Jumpa pakar jika kulit kering dan kasar!

Pun begitu, penggunaan produk-produk ini juga haruslah mendapat nasihat daripada doktor atau pakar kulit terlebih dahulu untuk elak sebarang komplikasi. Ini kerana sudah banyak produk yang dijual di pasaran sama ada secara langsung atau atas talian dan tidak kurang juga ada yang merupakan produk tiruan, palsu atau tipu.

Jadi, buatlah pilihan yang bijak dalam usaha mencari ramuan yang terbaik buat kulit anda!

Nak Tambah Barang Dapur? Ini 10 Kategori Makanan Mesra Diabetes Boleh Dibeli

Tuesday 2 November 2021

“Boleh ke makan makanan ini?”

Salah satu persoalan biasa bagi pesakit kencing manis bila memerlukan barangan dapur. Usah bimbang, artikel ini akan membantu menyediakan senarai barang dapur yang boleh dibeli. Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis sila dapatkannya di sini.

Pesakit kencing manis

Apabila didiagnosis menghidap diabetes jenis 2, mesti bingung fikir makanan apa yang boleh dan sesuai diambil. Kalau sebelum ini boleh makan apa sahaja, tapi sekarang garis panduan diet pemakanan jadi lebih ketat, secara tak langsung menjadikan pilihan barangan runcit anda semakin terhad.

Hakikatnya anda boleh menarik nafas lega kerana terdapat banyak pilihan makanan boleh dibeli.

Senarai barang dapur mesra diabetes


Secara amnya, menguruskan penyakit diabetes yang dialami bermaksud berwaspada terhadap pengambilan karbohidrat, saiz hidangan dan memilih makanan penuh nutrien.

Berikut adalah senarai barang dapur yang dikategorikan sebagai mesra diabetes bagi membantu anda membuat pilihan sihat semasa membeli-belah.

i. Sayuran

Bagi mana-mana individu terutamanya pesakit kencing manis, sayuran adalah asas diet yang sihat – kaya nutrien dan rendah karbohidrat. Berikut antara beberapa pilihan sayur yang boleh dibeli:

Sayuran tidak berkanji:

  • Sayuran salad seperti kale atau salad romaine
  • Cendawan
  • Brokoli
  • Bunga kubis
  • Brussel sprouts
  • Zucchini
  • Terung
  • Asparagus
  • Saderi

Sayuran berkanji:

Berikut adalah pilihan sayuran bagi barangan dapur mesra pesakit diabetes dengan kandungan gula lebih tinggi. Anda disarankan untuk mengambilnya dalam saiz hidangan kecil atau dicampurkan bersama pilihan sayuran tidak berkanji.

  • Lobak merah
  • Jagung
  • Kentang
  • Ubi keledek
  • Kacang pis
  • Kacang buncis
  • Labu
  • Keladi

ii. Buah-buahan

Buah, walaupun manis tetapi mempunyai kandungan serat yang tinggi dan merupakan pilihan makanan sihat untuk pemanis mulut. Tinggi serat bermakna saluran pencernaan akan menyerap kurang karbohidrat berbanding makanan rendah serat serta tinggi karbohidrat.
  • Buah beri
  • Epal
  • Oren
  • Pisang
  • Tembikai
  • Pir
  • Avokado
  • Tomato

iii. Minyak, kuah salad & sapuan roti

Dalam senarai barangan dapur mesra diabetes, anda boleh mempertimbangkan untuk membeli bahan tambahan bagi menambah rasa pada makanan, cuma perlu mengehadkan kandungan lemak tepu. Berikut antara pilihan lebih sihat:
  • Minyak canola
  • Mentega kacang
  • Mentega badam
  • Jem sapuan buah – pastikan tiada gula tambahan
  • Mustard
  • Minyak kelapa dara
  • Mentega mentah
  • Kuah salad tanpa gula berasaskan minyak zaitun
  • Sos barbeku rendah kandungan garam
  • Kicap rendah kandungan garam
  • Madu tempatan
  • Minyak zaitun
  • Mayones berasaskan minyak zaitun – hadkan kepada 1 hidangan sehari

iv. Kekacang dan legum 

Kekacang dan legum adalah sumber protein dan serat yang sangat baik. Ia juga kaya vitamin, mineral dan antioksidan. Bagi pesakit diabetes, ia dianggap makanan super.
  • Kacang ginjal
  • Kacang Pinto
  • Lentil
  • Kacang hitam
  • Quinoa
  • Oat

v. Daging, makanan laut & telur
  • Ikan berlemak termasuk ikan salmon dan tuna
  • Ayam
  • Bahagian dadad ayam turki
  • Daging tanpa lemak
  • Telur – hadkan 3-4 biji telur setiap minggu, lebihkan jika anda hanya memakan putih telur sahaja

vi. Bijirin penuh
  • Gandum bulgur
  • Barli
  • Quinoa
  • Roti gandum penuh
  • Pasta gandum
  • Bijirin gandum penuh
  • Mil oat – disaran untuk menukar gula merah dan kismis kepada kayu manis dan buah beri

vii. Produk tenusu

Walaupun secara teknikal ia tinggi karbohidrat, namun produk tenusu boleh diambil pesakit diabetes kerana ia merupakan sumber utama kalsium dan vitamin D. Sebaiknya pilih:
  • Susu tanpa lemak atau rendah lemak
  • Keju kotej rendah lemak
  • Yogurt tanpa gula
  • Keju rendah garam seperti mozarella
Hati-hati dengan kandungan gula tambahan dalam produk tenusu ya! Anda juga boleh mencuba produk alternatif bukan tenusu seperti yang dihasilkan daripada badan dan soya.


viii. Makanan dalam tin & sejuk beku

Makanan dalam tin dikatakan masih dapat membekalkan nutrien dan khasiat yang diperlukan tubuh. Kelebihan pada makanan dalam tin adalah ia biasanya lebih murah dan boleh disimpan lama serta mempunyai pilihan anggaran sesuai untuk menjaga diet sihat. Antara senarai pilihan makanan dalam tin yang boleh dibeli pesakit kencing manis adalah:
  • Kacang kuda, tomato, cendawan, lentil, labu, santan, zaitun dan lain-lain
  • Daging, sayuran dan buah-buahan sejuk beku seperti buah beri dan lain-lain
Jangan lupa bilas kemudian keringkan makanan dalam tin untuk kurangkan kandungan garam!

ix. Snek 

Pengambilan saiz hidangan kecil dan kerap antara 4-6 kali sehari adalah lebih baik bagi individu dengan kencing manis. Memilih makanan ringan tinggi serat, protein dan lemak sihat akan membantu mengawal kadar gula dalam darah anda, seperti:
  • Badam
  • Keju dan kraker bijirin penuh
  • Bertih jagung
  • Puding biji Chia
  • Trail mix
  • Edamame
  • Jejari sayuran seperti lobak atau saderi

x.Pencuci mulut

Bagi pesakit kencing manis, anda memang perlu mengehadkan pengambilan makanan bergula tetapi masih ada pilihan pencuci mulut. Namun penting untuk berwaspada dengan kandungan gula dan saiz hidangannya.
  • 100% popsicle buah-buahan
  • Aiskrim dengan stevia atau pemanis rendah kalori lain
  • Biskut rendah kandungan gula

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Peringatan! Tak Boleh Lakukan Senaman Berat Selepas Vaksin COVID-19, Ini Sebabnya!

Tuesday 3 August 2021

Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan di Hello Doktor

Tahukah anda, penerima vaksin COVID-19 tidak digalakkan untuk melakukan senaman berat selepas suntikan? Ini kerana terdapatnya risiko untuk mengalami radang otot jantung atau miokarditis, salah satu kesan sampingan yang amat jarang berlaku kepada individu yang mengambil vaksin COVID-19 jenis MRNA.

Risiko ini juga lebih tinggi dalam kalangan orang muda yang berusia 30 tahun ke bawah. Golongan ini juga tidak digalakkan untuk melakukan senaman berat seperti berenang, berbasikal, angkat berat dan sebagainya seminggu selepas menerima vaksinasi.

Tetapi, mengapa kita ditegah untuk melakukan senaman berat selepas mengambil vaksin? Mari ikuti kupasannya di bawah.

Mengapa tidak boleh bersenam selepas menerima suntikan?


Pada 3 Julai lalu, negara jiran kita, Singapura, digemparkan dengan berita kematian seorang remaja berusia 16 tahun hanya beberapa hari selepas menerima vaksin Pfizer-BioNTech. Menurut laporan tersebut, jantung remaja berkenaan terhenti ketika sedang melakukan senaman mengangkat berat.

Kementerian Kesihatan Singapura masih menyiasat sama ada ia berlaku disebabkan miokarditis iaitu penyakit radang otot jantung. Namun, punca sebenar kejadian ini masih dalam siasatan. Menurut CDC, sejak April 2021, banyak kesan sampingan vaksin yang telah dilaporkan. Salah satunya ialah risiko untuk mengalami radang otot jantung (miokarditis dan perikarditis) setelah menerima vaksin COVID-19 seperti Pfizer-BioNTech dan Moderna.

Walau bagaimanapun, miokarditis dan perikarditis selepas suntikan COVID-19 amat jarang berlaku. Setakat 12 Julai 2021, sebanyak 1,047 laporan miokarditis atau perikarditis dalam kalangan orang dewasa berusia 30 tahun ke bawah telah diterima. Kebanyakan kes ini dilaporkan selepas pesakit menerima suntikan vaksin COVID-19 jenis mRNA.

Setakat ini, CDC dan FDA telah mengesahkan 633 laporan miokarditis dan perikarditis selepas suntikan vaksin. Namun, kaitan antara dua kondisi ini dengan vaksin COVID-19 masih berada dalam siasatan. Kes radang otot jantung didapati lebih banyak berlaku kepada lelaki yang berusia 16 tahun ke atas. Selain itu, ia juga lebih kerap terjadi kepada mereka yang menerima dos kedua vaksin COVID-19.

Miokarditis atau perikarditis juga akan dikesan beberapa hari selepas pesakit menerima vaksin. Walau bagaimanapun, pesakit yang menerima rawatan akan sembuh dengan cepat selepas rehat yang mencukupi. Malah, mereka juga boleh melakukan aktiviti harian dengan normal selepas simptom yang dialami berkurangan.

Apakah simptom radang otot jantung?

Jika anda risau mengenai miokarditis atau perikarditis, pastikan anda sentiasa berjaga-jaga dengan simptom seperti:

  • Sakit dada.
  • Sesak nafas.
  • Degupan jantung yang kuat.
  • Rasa letih dan penat.
  • Rasa hendak pitam.
  • Bengkak pada kawasan tangan, kaki dan buku lali.
  • Pengsan

Jika anda mengalami simptom di atas, jumpa doktor dengan kadar yang segera.

Miokarditis atau perikarditis merupakan satu kondisi yang sukar untuk dikesan kerana ketiadaan simptom. Selalunya, simptom yang pesakit alami merupakan tanda penyakit lain seperti serangan jantung.

Di Malaysia, masih belum ada sebarang kes radang otot jantung selepas vaksinasi yang dicatatkan. Malah, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan tiada kes miokarditis dan perikarditis yang diterima oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sebagai langkah berjaga-jaga, elakkan melakukan senaman berat selepas menerima vaksinasi. Jika boleh, berehatlah sehingga anda benar-benar sihat.

Vaksin COVID-19 telah disahkan selamat dan efektif. Malah, jutaan manusia di seluruh dunia telah menerima vaksin ini tanpa sebarang kesan sampingan. Pada waktu artikel ini ditulis, hampir 9,570,974 rakyat Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19.

Adakah saya masih perlu mengambil vaksin?

Jawapannya adalah ya. Vaksinasi merupakan satu komponen yang penting untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan, hospitalisasi dan kematian disebabkan wabak COVID-19. Jika anda telah menerima vaksin dos pertama, anda perlu mengambil dos kedua kecuali mendapat arahan khas daripada doktor.

Untuk pengetahuan anda, vaksin mempunyai kebaikan yang lebih besar berbanding risikonya, termasuklah risiko radang otot jantung. Malah, kesan sampingan vaksin bukanlah perkara baharu. Vaksin AstraZeneca juga dikatakan boleh menyebabkan pembentukan darah beku. Namun, kesan sampingan ini juga amat jarang berlaku.

Ingatlah, jutaan vaksin yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia terbukti berkesan dan boleh menyelamatkan nyawa. Oleh sebab itu, jangan sesekali memilih vaksin dan ambil imunisasi secepat mungkin mengikut jadual yang ditetapkan.

Ubah rutin senaman selepas vaksinasi

Jika anda suka bersenam, cuba ubah rutin anda kepada senaman yang lebih ringan. Tunggu sekurang-kurangnya seminggu sebelum menyambung rutin seperti sediakala. Walau bagaimanapun, jika anda alami kesan sampingan vaksinasi seperti demam, batuk, selesema dan sebagainya, rehatlah sebentar dan beri masa untuk badan anda pulih sepenuhnya.

Mungkin anda akan rasa sedih kerana terlepas sesi senaman anda setiap hari, namun tidak ada gunanya untuk terus memaksa diri ketika sakit. Seperti ubat-ubatan yang lain, vaksin juga mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak mengambil vaksin.

Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita haruslah mengambil vaksinasi untuk melawan virus COVID-19. Jika bukan kita, siapa lagi?

Klik gambar untuk baca lebih banyak artikel kesihatan di Hello Doktor

Setelah hampir 2 tahun berhadapan dengan pandemik COVID-19, penemuan varian baharu bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pada awalnya, kita dikejutkan dengan varian alpha, beta dan delta yang mampu menjangkiti orang lain dengan pantas berbanding varian sebelumnya. Kini, muncul pula varian baharu iaitu varian lambda.

Varian lambda yang juga dikenali sebagai virus COVID-19 strain C.37 pertama kali dikesan di Peru pada bulan Ogos 2020. Namun, ia baharu sahaja diklasifikasikan sebagai variant of interest (VOI) oleh WHO pada 15 Jun lalu.

Kini, varian lambda telah dikesan di 29 buah negara yang berbeza – 7 daripada negara ini terletak di Amerika Latin. Malah, di Peru, hampir 82% kes baharu yang dicatatkan di negara tersebut berpunca daripada varian lambda.

Buat masa ini, Peru mempunyai angka kematian COVID-19 per populasi yang paling tinggi di dunia. Statistik menunjukkan Peru mempunyai kadar kematian melebihi 190,000 dengan bilangan rakyat sebanyak 33 juta.

Kenali varian lambda C.37

Kombinasi mutasi ini jugalah yang membuatkan virus tersebut mempunyai kadar transmisi yang lebih tinggi.

Varian lambda mempunyai 7 mutasi pada kawasan protein pepaku (spike protein) yang terletak di luar cangkerang virus tersebut. Protein pepaku inilah yang membuatkan varian ini lebih mudah ‘melekat’ pada sel badan manusia.

Malah, disebabkan mutasi tersebut, protein pepaku ini juga berupaya menghalang antibodi untuk bertindak ke atasnya secara lebih berkesan. Jadi, tidak mustahil varian lambda akan menjadi lebih rintang terhadap imunisasi!

Tambah lagi, sebuah kajian yang dijalankan di Chile juga mendapati varian lambda lebih mudah merebak berbanding varian alpha dan gamma. Kajian yang mengkaji kesan vaksin Sinovac terhadap varian ini juga mendapati vaksin 3 kali kurang berkesan apabila berhadapan dengan varian lambda.

Walau bagaimanapun, kedua-dua kajian di atas masih belum lagi melalui kajian semula setara (peer-reviewed). Oleh sebab itu, masih banyak lagi kajian yang perlu dilakukan sebelum sebarang kesimpulan dapat dilakukan. Malah, varian ini juga masih lagi diklasifikasikan sebagai VOI dan bukannya VOC (variant of concern).

Menurut CDC, VOC ialah sejenis varian yang lebih berbahaya dan berupaya menyebabkan penyakit yang lebih serius melibatkan hospitalisasi dan juga kematian. Varian delta merupakan salah satu contoh varian yang diklasifikasikan sebagai VOC.

Varian lambda di Malaysia

Menurut Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, buat masa ini varian lambda masih belum dikesan di Malaysia. Kebanyakan penularan COVID-19 disebabkan virus ini dikesan di Amerika Selatan. Beliau juga menggesa kerajaan agar memperketatkan lagi sempadan antarabangsa supaya varian ini tidak terlepas ke negara kita. Di United Kingdom, 8 kes COVID-19 disebabkan varian lambda dikesan mempunyai kaitan dengan perjalanan ke luar negara.

Pada waktu ini, saintis masih lagi berpendapat varian delta lebih berbahaya berbanding varian lambda. Malah, varian ini juga dianggap sebagai ancaman dunia yang terbesar dengan nama julukan ‘the fastest and the fittest’. Kini, varian delta telah menular di hampir 100 buah negara yang berbeza.

Setakat 30 Jun 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesan hampir 40 kes jangkitan COVID-19 dengan varian delta di negara kita. Menurut Dr. F. Perry Wilson dalam laman sesawang Yale Medicine, varian delta mampu merebak sebanyak 50% lebih pantas berbanding varian alpha. Kini, varian delta telah menjadi strain yang dominan berbanding varian lain.

Adakah vaksin tidak lagi berkesan?

Buat masa ini, masih belum ada data yang mencukupi untuk mengesahkan kenyataan di atas. Malah, ada kajian yang menunjukkan vaksinasi masih lagi berkesan dalam mengelakkan penularan varian lambda.

Sebuah kajian pracetak dari New York University Grossman School menemui pengurangan keberkesanan vaksin Pfizer dan Moderna sebanyak 2 hingga 3 kali ganda terhadap varian lambda. Walaupun terdapat pengurangan dari segi keberkesanan, pakar berpendapat dua vaksin ini masih lagi mampu memberikan perlindungan terhadap varian yang ada.

Namun, hingga kini belum ada lagi vaksin yang mampu memberikan perlindungan sebanyak 100% terhadap mana-mana varian COVID-19. Langkah terbaik yang anda boleh lakukan untuk melindungi diri anda dan keluarga daripada varian alpha, lambda dan delta adalah dengan mengambil vaksinasi.

Vaksinasi juga perlu dilengkapkan sebanyak dua dos. Selepas itu, anda diminta untuk menunggu selama 2 minggu supaya vaksinasi tersebut benar-benar berkesan.

Kesimpulan

Kini, dunia berhadapan pula dengan mutasi demi mutasi varian COVID-19 yang semakin berbahaya. Malah, di negara kita sendiri, COVID-19 sudah bertukar menjadi mimpi ngeri dengan bilangan kes yang telah mencecah 5 angka.

Pada waktu ini, harapan kita hanyalah melalui vaksinasi. Oleh sebab itu, jangan sesekali bertindak memilih vaksin. Ingatlah, vaksin yang terbaik adalah vaksin yang terpantas yang boleh kita dapatkan. Selain itu, jangan lupa amalkan penjarakan sosial dan pakai pelitup muka jika perlu keluar rumah.

Walaupun kita sudah divaksin, amalan ini masih lagi perlu dilakukan supaya kita tidak bertindak menjangkiti orang lain secara tidak sengaja!

Tahukah anda, ada banyak manfaat vaksin COVID-19 terhadap kesihatan kita? Bayangkan, satu hari nanti kita mungkin boleh melakukan semua aktiviti seperti biasa tanpa perlu melakukan penjarakan sosial atau memakai pelitup muka. Namun, semua ini tidak akan berlaku jika kita tidak mengambil vaksinasi terhadap COVID-19.

Untuk lebih banyak artikel kesihatan sila klik gambar untuk ke laman Hello Doktor :)

Pada waktu ini, negara kita sedang giat memberikan suntikan vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Pemberian vaksin ini amat penting untuk menghentikan penyebaran wabak. Walau bagaimanapun, sebagai penerima vaksin, pasti ada juga rasa resah dan tidak yakin mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin yang diterima.

Untuk artikel kali ini, kami akan mengupas lebih lanjut mengenai manfaat vaksin serta kesan sampingannya. Selain itu, akan diterangkan dengan lebih lanjut mengenai imuniti kelompok ataupun herd immunity dan mengapa kita perlu mencapainya secepat mungkin.

Manfaat vaksin, benar atau dibuat-buat?

Sebenarnya, ada banyak manfaat vaksin COVID-19 untuk kita. Selain dapat melindungi kita daripada jatuh sakit, vaksinasi juga dapat menghalang anda daripada menyebarkan virus tersebut kepada orang lain.

Semakin ramai yang mengambil vaksinasi, semakin sukarlah penyakit ini merebak. Kita juga akan selangkah lebih dekat untuk mencapai imuniti kelompok. Tetapi, apakah maksud sebenar imuniti kelompok? Mungkin ramai yang pernah mendengar terma ini di kaca televisyen ataupun di corong radio, namun tidak benar-benar memahaminya.

Imuniti kelompok dapat dicapai apabila sebahagian besar masyarakat (kelompok) menjadi imun terhadap sesuatu penyakit. Hasilnya, seluruh kumpulan masyarakat itu akan terlindung daripada penyakit tersebut, termasuklah mereka yang tidak imun.

Walau bagaimanapun, bukan mudah untuk mencapai imuniti kelompok. Selalunya, ahli masyarakat yang imun perlu mencecah peratusan tertentu sebelum imuniti kelompok boleh dicapai. Peratusan ini juga berbeza dari satu penyakit ke penyakit.

Sebagai contoh, imuniti kelompok terhadap penyakit polio adalah sekitar 80%. Baki 10% lagi akan terlindung daripada penyakit ini. Untuk campak pula, populasi yang perlu mengambil vaksinasi adalah sebanyak 95%. Tinggi bukan?

Namun, untuk COVID-19, peratusan yang perlu divaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok masih belum diketahui. Melalui program PICK, kerajaan menyasarkan untuk melakukan vaksinasi kepada 80% rakyat Malaysia menjelang akhir tahun.

Ada dua cara untuk mencapai imuniti kelompok iaitu melalui vaksinasi dan juga jangkitan. Sudah tentulah, pemberian vaksinasi lebih selamat berbanding jangkitan COVID-19! Ini juga merupakan salah satu manfaat vaksin COVID-19 yang mungkin ramai terlepas pandang!

Kesan sampingan COVID-19, fakta atau auta?

Tidak dinafikan, vaksin akan menyebabkan kesan sampingan tertentu. Namun, bukan semua orang akan mengalami kesan sampingan ini. Kebanyakan penerima vaksin akan mengalami simptom seakan-akan demam, termasuklah:

  • Sakit dan bengkak pada kawasan suntikan.
  • Rasa letih.
  • Sakit kepala.
  • Rasa seram sejuk.
  • Demam.
  • Sakit otot dan sendi.
  • Rasa loya dan muntah-muntah.
  • Kulit merah atau muncul ruam pada kawasan suntikan.
  • Nodus limfa membengkak.

Setelah menerima vaksinasi, anda digalakkan untuk mengambil ubat-ubatan seperti ibuprofen, aspirin atau antihistamin untuk sebarang ketidakselesaan yang anda alami. Untuk suntikan kedua, kesan sampingannya mungkin lebih teruk berbanding suntikan yang pertama.

Semua ubat-ubatan ini boleh didapati di farmasi berdekatan. Walau bagaimanapun, jangan ambil ubat ini sebelum vaksinasi ya! WHO juga tidak menggalakkan anda untuk mengambil sebarang ubat untuk mengelakkan kesan sampingan sebelum mendapatkan vaksinasi.

Kesan sampingan selepas vaksin COVID-19 merupakan sesuatu yang biasa. Malah, vaksin biasa juga boleh menyebabkan reaksi seperti demam dan kelesuan. Menurut pakar, reaksi yang sederhana merupakan tanda sistem imun badan sedang bertindak balas dengan vaksin. Malah, normal jika anda perlu berehat selama beberapa hari selepas menerima vaksin.

Tetapi, jika anda tidak mengalami apa-apa kesan sampingan, itu bukanlah bermaksud vaksin tersebut tidak berkesan! Malah, anda merupakan golongan yang bertuah jika tidak mengalami sebarang reaksi terhadap vaksin.

Jika anda mengalami kesan sampingan yang teruk, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin. Sama jugalah jika ada sesuatu yang abnormal berlaku pada kawasan suntikan anda.

Jangan pandang rendah manfaat vaksin!

Tidak dinafikan, manfaat vaksin amatlah besar lebih-lebih lagi ketika negara dilanda wabak COVID-19. Selepas vaksinasi, tidak mustahil kita mampu melakukan semua aktiviti yang tergendala disebabkan pandemik.

Vaksinasi adalah selamat dan mungkin satu-satunya jalan untuk kita melawan COVID-19. Walau bagaimanapun, pastikan anda tahu tanda-tanda kesan sampingan vaksin yang teruk, terutamanya jika anda mempunyai alahan.

Namun, setelah mendapatkan vaksinasi, anda masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengamalkan norma baharu.

Vaksin COVID-19 telah dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak. Malah, ia juga telah diuji dengan teliti melalui beberapa fasa ujian klinikal. Semua langkah ini diambil untuk memastikan vaksin efektif dan berkesan untuk kegunaan semua orang daripada setiap lapisan masyarakat.

Oleh sebab itu, marilah kita bersama-sama menyokong PICK kelolaan kerajaan. Bersama, kita mampu melawan COVID-19!