
ASTRO SHAW UMUM KERJASAMA GLOBAL UNTUK FILEM ‘MOJO’ & KETUAI PEMASARAN DAN PENGEDARAN DI MALAYSIA | ‘Gabungan Pelakon Popular Malaysia & Indonesia seperti Mimi Lana & Adipati Dolken’
Penerbit filem terkemuka Malaysia, Astro Shaw, terus mengukuhkan kedudukan di persada industri perfileman antarabangsa dengan mengumumkan kerjasama strategik bersama Sympatico – label produksi di bawah Double Vision, serta Argo Films dari UK yang diterajui oleh penerbit terkenal Richard Johns, dan Mocha Chai Laboratories, bagi penerbitan filem romantik komedi terbaru bertajuk Mojo.
Astro Shaw bertindak sebagai penerbit bersama serta memimpin strategi pemasaran dan pengedaran di Malaysia untuk tayangan pawagam tahun ini. Dalam pada itu, Mojo bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi pengedaran oleh syarikat berpangkalan di UK, SC Films International.
Filem Mojo menyaksikan gabungan tenaga kreatif serta pelakon dari Malaysia dan Indonesia. Naskhah ini diarahkan oleh Min Lim, yang sebelum ini mengarahkan siri Kopitiam versi reboot, manakala penulisan skrip diketuai oleh satu-satunya penulis dari Asia yang terpilih dalam Episodic Labs Cohort 2024 anjuran Film Independent, Honey Ahmad (Motif, Saladin, Walinong Sari) bersama penulis lain seperti Zahir Omar (Fly By Night, The Bridge), dan penulis terkenal Chi-Ren Choong (The Bridge, Liar). Sementara itu, Michelle Chang (Venus on Mars, Wonderland) dari Mocha Chai Laboratories bertindak sebagai penerbit bersama Richard Johns (Shadow of the Vampire, The Liability).

Watak utama, Adi, dilakonkan oleh pelakon Indonesia yang terkenal menerusi filem Sang Kiai dan Posesif, Adipati Dolken, bergandingan dengan pelakon hebat Malaysia, Mimi Lana. Bintang lain yang turut menjayakan filem ini ialah Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Dato’ A. Tamimi Serigar, Tony Eusoff, Gambit Saifullah dan Farah Ahmad.
Sesi penggambaran bermula Januari lalu di Perlis dan menerima sokongan padu daripada kerajaan negeri Perlis.

Menurut pengarah filem Mojo, Min Lim, “Barisan pelakon dan kru rasa amat teruja menjayakan projek ini dan kini sedang menjalani sesi penggambaran di Perlis. Setelah perancangan yang panjang, akhirnya impian ini menjadi kenyataan dengan sokongan luar biasa daripada individu dan pihak yang percaya pada projek ini.
Saya amat gembira apabila Astro Shaw turut serta dalam penghasilan filem ini. Sebagai penerbit bersama dan pengedar, komitmen mereka dalam menyokong produksi tempatan seperti Sympatico benar-benar memberi makna besar dalam merealisasikan visi kami iaitu menghasilkan sebuah karya yang autentik dan unik.
Kami tidak sabar untuk mempersembahkan filem romantik komedi ini ke layar perak pada penghujung tahun ini dan berharap gabungan bakat luar biasa, latar yang memukau, serta nilai emosi dalam kisah ini akan menghiburkan penonton. Kami mengharapkan Mojo mampu menyerlahkan keunikan penceritaan serta keupayaan produksi Asia Tenggara di persada antarabangsa.”
Semantara itu, Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro Shaw pernah bekerjasama dengan pengarah Min Lim menerusi beberapa naskhah sebelum ini dan salah satunya adalah siri premium Astro Originals, Liar. Pengalaman dan hubungan baik ini membuatkan kami tidak teragak-agak untuk bersetuju terlibat dalam filem Mojo. Tambah pula kerjasama ini menyaksikan kali pertama kami bergabung usaha dalam menghasilkan filem, di samping mengangkat latar dari salah satu negeri yang jarang diketangahkan di layar perak iaitu Perlis. Dengan gabungan skrip yang memikat, barisan pelakon berbakat, serta sinergi luar biasa antara tenaga kreatif dari Malaysia, Indonesia, dan UK, kami yakin Mojo memiliki potensi besar. Tambahan pula, dengan penglibatan pasukan hebat antarabangsa yang dibawakan oleh Sympatico, kami teruja untuk melihat projek ini melangkah lebih jauh dan mencipta impak di pentas global.”

Mojo mengisahkan Adi yang bekerja di Moo Magic Farms berjaya melonjakkan jualan syarikat ternakan tersebut dengan menjadikan seekor lembu unik, Mojo, sebagai bintang media sosial. Dalam pada itu, syarikat ternakan tersebut giat mengambil alih ladang tenusu kecil di luar bandar demi keuntungan. Namun hanya satu perusahaan di Kampung Semerah Padi yang diusahakan oleh petani, Atan bersama anak perempuannya, Ayu menolak dan tidak mahu menjual tanah mereka. Keadaan menjadi huru-hara apabila Atan menculik Mojo untuk dijadikan tebusan. Demi mendapatkan Mojo semula, Adi menyusup ke Kampung Semerah Padi dan menyamar untuk memujuk penduduk kampung menjual tanah mereka. Dalam kekalutan, Adi mula jatuh cinta dengan Ayu dan menikmati kehidupan sederhana di kampung. Adi berdepan dilema terbesar dalam hidupnya sama ada memilih kejayaan yang diimpikan, atau mengikuti kata hatinya yang akhirnya menemukan apa yang benar-benar berharga?
********************************
MENGENAI ASTRO SHAW
Astro Shaw adalah syarikat produksi filem Malaysia yang menghasilkan filem untuk pasaran tempatan dan nusantara. Astro Shaw secara aktif mengedarkan filemnya di luar pasaran domestik, menjadikannya dikenali di ruang serantau dan global. Sejak penubuhannya pada tahun 1996, Astro Shaw telah menghasilkan lebih daripada 100 filem dalam pelbagai genre dan bahasa. Beberapa tajuk terkenal termasuk Polis Evo, Hantu Kak Limah, Abang Long Fadil 2, Paskal, Dukun, dan The Garden of Evening Mists. Filem trilogi Polis Evo telah meraih lebih RM100 juta dalam kutipan box office, sementara Sheriff juga mencatatkan sejarah sebagai filem aksi nombor satu negara sepanjang zaman dengan kutipan box office sebanyak RM64 juta.
Astro Shaw turut meluaskan jangkauan kreatifnya melalui Astro Originals, siri drama premium yang mengangkat naratif Malaysia dengan nilai kualiti produksi tinggi dan memberikan impak kepada penonton tempatan serta antarabangsa. Dengan penceritaan berani, Astro Originals telah memperkenalkan siri popular seperti Project: Anchor SPM, Project: High Council, dan One Cent Thief. Siri-siri ini bukan sahaja mencetuskan perbualan budaya, malah menaikkan penanda aras kandungan Malaysia di platform global.
MENGENAI DOUBLE VISION
Double Vision, produksi di bawah kumpulan Vision New Media, dengan pengalaman lebih daripada 35 tahun dalam penerbitan filem, drama, sitkom, telefilem, rancangan realiti/permainan, program majalah, dokumentari, program kanak-kanak, serta rancangan hiburan.
Dengan kredibiliti sebagai produksi dan pasca-produksi, Double Vision menawarkan perkhidmatan kreatif, produksi, dan pasca-produksi secara menyeluruh, termasuk keupayaan untuk melokalkan kandungan melalui alih suara dan sarikata dalam lebih daripada tujuh bahasa Asia.
Sebagai rakan kerjasama kepada media gergasi di Asia dan antarabangsa seperti Astro, HBO Asia, STAR, Channel [V], Warner Brothers, Viu, Discovery Networks, NBC Universal, Scripps Networks, dan A&E, Double Vision juga mencipta sejarah sebagai rumah produksi Malaysia pertama yang menerima pencalonan International Emmy menerusi produksi bersama Malaysia-Filipina yang berjaya, Kahit Isang Saglit.
MENGENAI ARGO FILMS
Argo Films ialah syarikat baharu yang diasaskan oleh penerbit filem dan tv berprestij dari UK, Richard Johns. Projek pertama Argo ialah The Shepherd, sebuah filem yang disenarai pendek untuk Oscar 2024, dibintangi oleh John Travolta untuk Disney+, dengan penulis dan pengarah Softley serta penerbit bersama Alfonso Cuarón dan Bill Kenwright. Selain itu, Argo Films turut dalam fasa pembikinan berbayar untuk Biafra, sebuah projek yang dihasilkan bersama Yoruba Saxon milik David Oyelowo dan Fremantle. Misinya adalah untuk menghasilkan filem dan siri televisyen bercorak sinematik yang berkualiti, autentik, dan luar biasa untuk penonton global.
Richard Johns telah menghasilkan filem dan siri TV pemenang anugerah selama lebih 25 tahun. Antara karyanya termasuk filem Shadow of the Vampire, yang menerima dua pencalonan Anugerah Akademi (Oscar) serta dibintangi oleh John Malkovich dan Willem Dafoe, Like Minds yang menampilkan Eddie Redmayne dan Tom Sturridge, The Calcium Kid lakonan Orlando Bloom dan Billie Piper, serta The Liability yang dibintangi oleh Tim Roth dan Jack O’Connell.
Kini, beliau sedang memulakan produksi bagi Howl, sebuah filem baharu yang diterbitkan di bawah label Promethean Pictures, yang ditubuhkannya pada 2023 bersama E Elias Merhige. Filem ini turut mendapat sokongan daripada Jane Goodall dan Leonardo DiCaprio sebagai penerbit eksekutif.
MENGENAI MOCHA CHAI LABORATORIES
Mocha Chai Laboratories (MCL) ialah sebuah studio yang menyediakan perkhidmatan penghasilan kandungan, produksi, pascaproduksi, serta pengedaran filem di Apple TV+ Movies. MCL merupakan sebuah fasiliti bertaraf dunia yang telah memenangi anugerah, dengan teknologi Dolby Vision dan Atmos, serta bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Apple, Disney+, MediaCorp, dan banyak lagi. Baru-baru ini, MCL melancarkan filem Wonderland, yang kini boleh distrim di Netflix. Selain itu, MCL sedang menerbitkan dua siri drama antarabangsa untuk platform global serta menjadi penerbit bersama bagi filem akan datang Mojo dan Sandbox (arahan James Thoo). Pada tahun 2023, MCL bekerjasama dengan CJ ENM HK untuk menerbitkan siri antarabangsa pertamanya, Venus on Mars, yang kini boleh distrim di Youku. MCL akan terus melabur dalam kandungan unik dan teknologi canggih, kerana syarikat ini percaya kepada gabungan seni dan sains dalam penceritaan.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.