EMMA MAEMBONG TERLIBAT DALAM PERJANJIAN MAUT? | SANTAU PEREMPUAN TERLARANG JADI DRAMA PALING BERANI TAHUN INI!
Kuala Lumpur, 16 Disember 2025 – Setiap impian ada harga, dan ada masanya harga itu terlalu berat untuk diceritakan. Berbekalkan nadi kisah tersebut, Tonton menutup tahun ini dengan sebuah naskhah seram thriller berjudul Santau Perempuan Terlarang, yang menyelam jauh ke sudut paling tersembunyi dunia hiburan dalam merungkai obsesi terhadap populariti demi mengejar puncak kejayaan.
Siri ini bakal menemui penonton mulai 18 Disember 2025 dan akan bersiaran setiap Isnin dan Khamis dengan satu episod berdurasi satu jam, eksklusif di Tonton. Sepanjang perjalanan ceritanya, penonton akan disajikan gambaran sejauh mana seseorang sanggup menggadaikan prinsip dan maruah diri sendiri demi sesuatu yang sukar digapai, disokong oleh barisan pelakon hebat seperti Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Amin Iman dan Hanna Aqeela.
Kisahnya berpusat pada Iqbal (Nabil Aqil), seorang pelakon yang sudah bertahun bertarung nasib dalam industri namun tetap dipandang sepi. Casting silih berganti, tetapi kedudukannya tidak berubah, dan yang paling memilukan, watak utama yang diimpikannya sekali lagi jatuh ke tangan Ako Danial (Fadlan Hazim), pelakon sensasi yang sering menjadi rebutan.
Dalam masa yang sama, hubungan dengan tunangnya, Maria (Hanna Aqeela), semakin goyah akibat tekanan hidup dan kerjayanya yang tidak menentu. Ketika situasi itu mula menelan dirinya, rakannya Maman (Amin Iman) mencadangkan agar Iqbal bertemu seorang wanita bernama Sapora (Emma Maembong), yang dikatakan mampu “membersihkan aura” melalui rawatan tradisionalnya. Sapora dikenali sebagai figura cantik dan lembut tutur kata, sering dipuji kerana kesediaannya membantu sesiapa sahaja yang datang mencarinya.
Sampai ke satu tahap, pertemuan dengan Sapora menjadi titik perubahan hidup Iqbal, seolah-olah seluruh impiannya terbentang di depan mata. Persoalannya, apakah yang sebenarnya dilakukan Sapora hingga hidup Iqbal berubah sedemikian rupa? Adakah Iqbal sedar akan jerat yang perlahan-lahan membelitnya?
Mengulas tentang penglibatannya, Emma Maembong berkongsi, “Saya sudah lama tidak kembali ke genre mistik, jadi watak Sapora membuka ruang untuk saya meneroka sisi yang lebih kompleks dan bersifat psikologi. Dia bukan sahaja wanita misteri, tetapi juga simbol obsesi dan kuasa. Membawa karakter seperti ini memang mencabar kerana ia menuntut saya mengawal emosi secara halus, dengan unsur sensual dan trauma yang perlu dihayati sepenuhnya.”
Nantikan Santau Perempuan Terlarang, sebuah kisah yang bernafas melalui rahsia dan bayang-bayang, mula ditayangkan minggu ini, eksklusif hanya di Tonton.
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.