Movie Review | Qifarah (2025)
Saturday, 11 October 2025
REMY ISHAK BUAT COMEBACK PADU DALAM GENRE SERAM!
Friday, 10 October 2025
REMY ISHAK BUAT COMEBACK PADU DALAM GENRE SERAM! | Bertarung Dengan Legasi Demi Nyawa Tersayang!
Aura Remy Ishak sebagai “Hero Pujaan Malaya” memang tak pernah pudar. Dikenali sebagai pelakon yang mampu menjiwai pelbagai watak, Remy kini kembali ke layar perak dengan sisi lebih matang, misteri dan beremosi menerusi filem seram terbaharu, Qifarah.
Kembalinya Remy bukan sekadar penampilan semula, tetapi bukti bahawa kekuatannya sebagai pelakon masih relevan dan utuh. Beliau masih menjadi pilihan utama penerbit dan pengarah untuk membawa watak hero, menegaskan pengaruhnya dalam industri.
Dalam Qifarah, Remy menghidupkan watak Yusoff, seorang lelaki yang pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun menetap di Kaherah bersama isteri dan anaknya. Kepulangannya ke rumah pusaka kerana ayahnya yang tenat membuka semula pintu kepada rahsia lama dan kegelapan yang tidak pernah benar-benar padam.
Watak Yusoff bukan hanya bertindak sebagai lelaki yang pulang menuntut kebenaran. Dia merupakan jiwa yang berperang dengan kisah silam, menghadapi misteri dan kuasa jahat yang terus membelenggu. Di sebalik semua itu, Yusoff tampil sebagai suami dan bapa tabah, melindungi insan tersayang sebelum semuanya terlambat.
Menurut Remy, watak Yusoff dalam Qifarah memberi peluang untuk menonjolkan sisi lakonan yang berbeza. “Dah lama saya tak membawa watak dalam filem seram. Tapi bila baca skrip Qifarah, saya rasa karakter Yusoff mempunyai intensiti tersendiri. Ceritanya gelap, seram dan misteri, sebab itu saya teruja untuk terlibat dengan projek ini,” jelas Remy.
Semasa penggambaran, Remy dikatakan turut mengalami kejadian pelik di lokasi. “Kami berada di rumah itu selama dua setengah minggu untuk penggambaran. Satu malam, ketika saya tengah solat di tingkat atas, saya ternampak kelibat seseorang. Ingatkan kru, tapi dia memakai baju batik. Esoknya baru saya tahu rumah itu agak ‘keras’ rupanya,” katanya sambil tersenyum.
Qifarah kini di pawagam! Saksikan Remy Ishak kembali beraksi dalam filem seram, menentang kegelapan yang menghantuinya!
RATU SERAM ERA BAHARU, SHARIFAH SAKINAH BUAT PENONTON TAK SENANG DUDUK!
Thursday, 9 October 2025
RATU SERAM ERA BAHARU, SHARIFAH SAKINAH BUAT PENONTON TAK SENANG DUDUK! | Qifarah Menampilkan Adegan Ritual Berdarah Yang Cukup Mendebarkan
Sharifah Sakinah sekali lagi tampil mengagumkan dengan lakonan mantapnya sebagai watak kompleks dan penuh misteri dalam filem seram terbaru arahan Ghaz Abu Bakar, Qifarah, yang mula menghantui pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini. Dalam filem ini, beliau membawakan watak Mawar, seorang ibu tiri yang menyimpan rahsia gelap dan sanggup mengamalkan ilmu hitam demi memenuhi niat tersembunyi yang dipenuhi dendam dan misteri.
Sejak babak awal lagi, penonton sudah dapat merasai aura dendam dan kelicikan yang dibawa oleh watak Mawar. Watak ini bukan sekadar menambah elemen seram dalam Qifarah, tetapi menjadi pusat kepada pelbagai konflik mistik yang menggerakkan keseluruhan jalan cerita. Lakonan Sharifah Sakinah benar-benar meninggalkan impak yang begitu meyakinkan hingga menjadikan Mawar watak antagonis paling menyeramkan dan sukar dilupakan. Satu demi satu rahsia serta kejahatan yang disembunyikannya mula terbongkar, membawa penonton merasai sendiri deretan kejutan dan plot twist yang tidak disangka.
Antara babak paling mengerikan dalam Qifarah ialah adegan ritual berdarah yang benar-benar mengganggu emosi penonton, membangkitkan rasa takut dari segi psikologi dan visual. Selain itu, aura misteri yang menyelubungi rumah besar berkonsep klasik bangsawan lama semakin menguatkan lagi rasa seram yang menghantui setiap babak, seolah-olah bangunan itu sendiri menyimpan rahsia gelap yang enggan terungkai. Di sinilah tersembunyi perjanjian ghaib yang mengikat keluarga Mawar, menjadikan Qifarah satu pengalaman menonton yang mendebarkan, berani dan menonjol dengan penerokaan tema gelap mistik yang jarang sekali diketengahkan dalam sinema tempatan.
Serbu pawagam berhampiran anda bermula hari ini, 9 Oktober 2025 untuk menyaksikan Qifarah, filem seram terbaru yang sarat dengan debar, misteri dan rahsia gelap yang bakal menghantui fikiran anda! Ajak keluarga atau rakan sekali dan jangan lupa ikuti Facebook, Instagram, Twitter, serta YouTube Primeworks Studios untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif.
Kuala Lumpur, 9 Oktober 2025 – Lima kandungan utama terbitan dan edaran Media Prima serta Primeworks Studios terus membuktikan keunggulan mereka di pentas industri apabila menerima pengiktirafan berprestij di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34). Pencapaian ini bukan sahaja menonjolkan kekuatan produksi dan penceritaan yang berkualiti tinggi, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua entiti dalam mengangkat martabat kandungan tempatan ke tahap yang setanding dengan standard antarabangsa.
Antara karya yang mencuri perhatian di FFM34 termasuk tiga produksi terbitan TV3, Fail Mahkamah: Derita Zara, Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung dan Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga yang menampilkan kekuatan naratif berasaskan realiti serta sarat dengan mesej kemanusiaan dan nilai inspirasi. Turut menjadi tumpuan ialah dua karya besar terbitan Primeworks Studios, Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2 yang masing-masing membuktikan keunggulan produksi tempatan dalam melahirkan karya dengan penceritaan mantap dan visual sinematik bertaraf antarabangsa.
EJEN ALI THE MOVIE 2 - Primeworks Studios & WAU Animation
Filem animasi kebanggaan negara ini bukan sahaja mencipta fenomena luar biasa dengan rekod kutipan tertinggi di pawagam tempatan, malah terus mengukuhkan reputasinya apabila mengungguli pencalonan dalam 3 kategori di FFM34. Antara kategori yang dipertandingkan termasuk:
- Skor Muzik Asal Terbaik – Azri Yunus & Hakim Kamal
- Kesan Khas Visual Terbaik – Faiz Hanafiah & Naim Sarip
- Penataan Bunyi Terbaik – Fadhil Shafian, Hakim Kamal, Shafiq Isa & Qayyim Zamani
BLOOD BROTHERS: BARA NAGA - Skop Productions / Primeworks Studios
Menjadi antara filem paling dominan tahun ini, Blood Brothers: Bara Naga, arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra, terus mendominasi panggung FFM34 dengan pencalonan merentasi kategori utama, satu pencapaian yang disokong oleh kejayaan box-office filem ini dan penerimaan hangat penonton serta pengkritik. Kategori yang diiktiraf meliputi:
- Filem Terbaik
- Pengarah Terbaik – Syafiq Yusof & Abhilash Chandra
- Pelakon Lelaki Terbaik – Sharnaaz Ahmad
- Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Shukri Yahaya, Syazwan Zulkifly & Syafiq Kyle
- Lakon Layar Terbaik – Ashraf Modee Zain
- Sinematografi Terbaik – Nicholas Chin
- Aksi & Lagak Ngeri Terbaik – Ubbaidillah Amirzan
- Penataan Bunyi Terbaik – Mohsin Othman
- Penataan Seni Terbaik – Nazrul Asraff Mahzan
- Lagu Tema Terbaik – Bara Jiwa (Penyanyi: Azlan & The Typewriter & Muzza | Komposer: Muzza | Lirik: Nana Azmi)
- Rekaan Kostum/Busana Terbaik – Nasirah Ramlan
FAIL MAHKAMAH: DERITA ZARA - TV3 / Primeworks Studios
Dokumentari ini membawa penonton menyelami kisah sebenar seorang wanita yang melangkaui keperitan dan cabaran sewaktu memperjuangkan keadilan dalam sistem perundangan yang penuh halangan. Fail Mahkamah: Derita Zara dicalonkan dalam kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 sebagai penghormatan kepada naratif yang tulus dan keberanian penceritaan yang mengetengahkan nilai kemanusiaan, sekaligus memperlihatkan bagaimana seni dokumentari mampu menjadi suara untuk yang terpinggir dan menyentuh hati masyarakat.
FAIL MAHKAMAH: RINDU TAK BERPENGHUJUNG - TV3 / Primeworks Studios
Mengangkat kisah benar yang menyentuh emosi, dokumentari ini membuka perspektif baharu terhadap realiti dunia perundangan dan perjuangan mencari keadilan. Rindu Tak Berpenghujung menonjol melalui pendekatan penceritaan yang jujur dan berempati, sekali gus melayakkannya menerima pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 sebagai pengiktirafan terhadap keberanian dan kepekaan pasukan produksi dalam mengetengahkan isu kemanusiaan sebenar.
MAJALAH 3: NADI PERALIHAN TENAGA - TV3 / Primeworks Studios
Episod khas yang diterbitkan sempena sambutan ulang tahun Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini mengupas perjalanan serta strategi peralihan tenaga negara, termasuk pelaksanaan inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan hala tuju pembangunan mampan untuk masa hadapan. Pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34 mengiktiraf usaha pasukan Majalah 3 dalam menghasilkan kandungan berimpak yang informatif dan mendidik.
Kejayaan ini sekali lagi menegaskan komitmen Media Prima dan Primeworks Studios dalam memperkukuh landskap kreatif tanah air, bukan sekadar menghasilkan karya hiburan, tetapi menjadikannya sebagai wadah untuk menyampaikan mesej, nilai serta inspirasi kepada masyarakat.
Malam Anugerah FFM34 bakal berlangsung pada 1 November 2025, jam 8.30 malam, menyaksikan pertembungan karya terbaik tanah air dalam meraikan kehebatan sinema tempatan. Majlis anugerah berprestij ini akan disiarkan secara langsung di TV2 RTM dan saluran rasmi YouTube FINAS, membolehkan para peminat industri filem sama-sama menyaksikan detik bersejarah yang mengiktiraf bakat dan dedikasi penggiat seni Malaysia.