ANTARA CINTA, AGAMA & RESTU | “JIKA ITU SALAHKU” PERTEMUKAN SOPHIA ALBARAKBAH DAN ALVIN CHONG
Kuala Lumpur, 14 Oktober 2025 - Tiada yang mudah bila berbicara tentang cinta, terutama apabila dua jiwa datang dari dunia yang berbeza. “Jika Itu Salahku,” drama terbaharu slot Lestary TV3, membawa penonton menyelami kisah dua insan yang terperangkap antara kelalaian dunia dan pencarian Tuhan. Sarat dengan nilai kemanusiaan serta emosi yang menyentuh hati, drama ini bakal menemui penonton mulai 17 Oktober 2025, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam.
Diadaptasi daripada novel nukilan Liza Nur, “Jika Itu Salahku” menampilkan gandingan serasi Sophia Albarakbah dan Alvin Chong sebagai Asyiqeen dan Ivan. Menghimpunkan barisan pelakon berpengalaman seperti Dato’ Ziela Jalil, Fadilah Mansor, Shamsul Ghau Ghau dan Steve Yap, drama 13 episod ini diarahkan Riza Baharuddin dan diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd.
Dibesarkan tanpa bimbingan agama, Asyiqeen (Sophia Albarakbah) belajar mengenal hidup dalam serba kekurangan dan derita. Sejak kecil, dia memikul tanggungjawab menjaga adiknya, Balqis, yang menghidap sindrom Down sambil menahan penderaan fizikal dan emosi daripada neneknya, Mak Tok (Fadilah Mansor). Namun, sebuah tragedi mengubah segalanya dan menjadi detik yang menyedarkannya tentang makna sebenar kehidupan.
Pertemuannya dengan Ashraff Ivan Tang (Alvin Chong), lelaki kacukan yang hidup bebas tanpa panduan, membuka lembaran baharu dalam kehidupan Asyiqeen. Dari perbezaan itu lahir rasa yang halus dan lembut, cinta yang bukan sekadar menguji hati, tetapi juga prinsip, pegangan dan keimanan mereka. Namun, mampukah dua jiwa ini benar-benar bersatu atas dasar keikhlasan, atau akhirnya tunduk kepada perbezaan agama yang memisahkan?
Bagi Alvin Chong, watak Ivan menjadi satu perjalanan peribadi buat dirinya. “Watak ini beri saya peluang untuk faham sisi spiritual yang jarang saya bawa dalam lakonan. Ia bukan sekadar menggambarkan kisah cinta, tetapi kisah tentang pencarian diri, tentang bagaimana kasih dan keyakinan boleh wujud walaupun dalam dunia yang berlainan agama. Ia membuat saya sedar sejauh mana seorang lelaki sanggup pergi untuk benar-benar memahami jiwa wanita yang telah mencuri hatinya,” katanya.
“Jika Itu Salahku” ialah kisah tentang mencari makna kasih, membawa pesan bahawa tidak semua cinta perlu dimiliki, dan tidak semua perpisahan bererti kehilangan. Saksikan drama ini bermula Jumaat ini, hanya di slot Lestary TV3. Strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton melalui Google Play dan App Store.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Post a Comment
[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.
[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.
Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.
Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.