Showing posts with label Media Prima. Show all posts
Showing posts with label Media Prima. Show all posts

TONTON REWARDS TAMPIL DENGAN GANJARAN LEBIH LUMAYAN DAN EKSKLUSIF!

Friday, 3 April 2026

LANGGAN, TONTON & TEBUS! | TONTON REWARDS TAMPIL DENGAN GANJARAN LEBIH LUMAYAN DAN EKSKLUSIF!

Kuala Lumpur, 3 April 2026 – Platform penstriman kegemaran ramai, Tonton, terus memperkukuh nilai kepada pengguna menerusi pelancaran tiga kempen terbaharu melalui inisiatif Tonton Rewards, yang direka khas untuk menggalakkan penyertaan baharu serta pembaharuan pelan tontonan, di samping menawarkan pengalaman penebusan ganjaran yang lebih menyeronokkan.

Dengan konsep “Subscribe & Redeem”, Tonton Rewards kini menawarkan ganjaran berperingkat kepada pelanggan baharu dan sedia ada. Langganan 1 bulan menawarkan baucar RM20 daripada Baskin Robbins, manakala langganan 3 bulan pula memberikan ganjaran lebih ‘manis’ dengan baucar RM20 Baskin Robbins setiap bulan serta baucar RM40 daripada Pizza Hut. Untuk penonton yang memilih pelan 12 bulan, ganjaran menjadi lebih ‘padu’ dengan baucar RM100 Pizza Hut serta baucar RM216 daripada Watsons.

Menambahkan lagi keterujaan, Tonton turut memperkenalkan Permainan Kad “Drama Pukul 7” (Edisi Tonton), hasil kerjasama istimewa bersama Meja Belakang, khas buat peminat drama tempatan. Permainan ini menampilkan elemen daripada drama ikonik di Tonton seperti Perempuan Itu dan Nur, yang membolehkan pemain menghidupkan watak kegemaran masing-masing dan berentap dalam permainan strategi untuk mempertahankan serta “menjatuhkan” air muka lawan.

Berlangsung dari 3 April hingga 24 April, pelanggan pelan 3 bulan berpeluang menebus permainan papan edisi terhad ini. Sebanyak 50 unit sahaja ditawarkan, menjadikannya koleksi eksklusif yang wajib dimiliki oleh peminat setia.

Pada masa yang sama, pelanggan juga boleh menikmati pengalaman gaya hidup dan berita tanpa gangguan iklan (ad-free) melalui Tonton Rewards. Akses premium ini merangkumi platform seperti Harian Metro, New Straits Times, Berita Harian serta Waktu Solat Malaysia.

Semua ganjaran dan penebusan boleh dibuat melalui portal rasmi Tonton Rewards di https://rewards.tonton.com.my/tonton. Orang ramai digalakkan untuk melanggan sekarang dan menikmati kombinasi hiburan, ganjaran dan pengalaman premium dalam satu platform sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Dengan penawaran ini, Tonton terus komited dalam memberikan nilai tambah kepada pelanggan, menjadikan setiap langganan bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman ganjaran yang lebih bermakna.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, X, TikTok, dan Instagram di @tontonmy.

“TONTON VERTICAL: K-DAEBAK” LANCAR 9 JUDUL BAHARU, SIRI MINGGUAN MULAI 1 APRIL

Wednesday, 1 April 2026

DEMAM K-DRAMA VERTIKAL PALING KETAGIH  KINI DI TONTON! | “TONTON VERTICAL: K-DAEBAK” LANCAR 9 JUDUL BAHARU, SIRI MINGGUAN MULAI 1 APRIL

KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2026 – Platform penstriman kegemaran ramai, Tonton, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama untuk semua hiburan dengan pelancaran tawaran terbaharu, Tonton Vertical: K-Daebak — sebuah koleksi pilihan siri K-Drama dalam format vertikal yang direka khas untuk tontonan pantas, padat dan lebih mesra pengguna di peranti mudah alih.

Selari dengan komitmen Tonton untuk menawarkan pengalaman hiburan yang lebih segar dan relevan, Tonton Vertical: K-Daebak menghimpunkan pelbagai genre popular seperti romantik, saspens, komedi, drama dan remaja dalam format episod pendek berdurasi sekitar 1 hingga 2 minit, sesuai dengan gaya hidup penonton masa kini yang sentiasa bergerak.

Bermula 1 April 2026, sebanyak 9 judul baharu akan dilancarkan serentak, menampilkan jalan cerita yang penuh emosi, plot twist mengejutkan serta watak-watak yang memikat. Antara judul yang bakal mencuri perhatian termasuk “The Tyrant’s Bride To-Be”, drama fantasi romantik tentang seorang wanita yang terperangkap dalam dunia novel dan cuba mengubah takdir kematiannya melalui perkahwinan kontrak dengan seorang pengerusi korporat yang kejam; “My Guy Friend Is A Chaebol”, drama ringan tetapi dramatik mengenai pengkhianatan cinta dan kemunculan sahabat lama yang menyimpan rahsia besar.

Turut melengkapkan koleksi ini ialah “My Partner, The Devil”, kisah balas dendam gelap yang melibatkan perjanjian dengan syaitan untuk mengundurkan masa; “I Buy, Therefore I Am” yang mengisahkan  pekerja kedai buku yang terperangkap dalam dilema cinta antara bekas crush dan rakan sekerja baharu; “Romance Is Comedy”, percintaan pejabat yang manis namun penuh salah faham; “Level Up To Mess”, tampil sebagai komedi romantik penuh sensasi dengan plot mendebarkan dan situasi luar biasa yang sarat dengan kejutan.

Selain itu, “My Boss My Ex” menghidupkan kembali cinta lama dalam suasana tempat kerja, manakala “I Cheated on My Wife or Did I?” membawa kisah misteri seorang lelaki yang cuba merungkai kebenaran di sebalik kecurangan yang tidak diingatinya. Sementara itu, “The Most Painful Kiss In The World” menawarkan kisah fantasi emosional tentang pengorbanan dan pencarian kebahagiaan sejati.

Tonton akan memperkenalkan satu siri baharu setiap Isnin selepas minggu pelancaran, dengan jumlah sehingga 60 siri setahun, memastikan platform ini sentiasa segar dengan kandungan terkini dan pelbagai pilihan.

Nikmati akses percuma bagi 10 episod pertama untuk setiap siri vertikal K-Daebak, manakala episod seterusnya boleh diakses dengan melanggan Tonton untuk kepuasan tontonan yang maksima. Setiap siri turut dilengkapi dengan sarikata Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pelbagai lapisan penonton.

Tonton Vertical: K Daebak bukan sekadar penambahan kandungan baharu, tetapi satu lagi langkah ke hadapan dalam cara penonton menikmati drama — lebih pantas, lebih ringkas, dan lebih dekat dengan gaya hidup digital masa kini.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, X, TikTok, dan Instagram di @tontonmy.

Kuala Lumpur, 29 Mac 2026 – Pentas paling berprestij muzik tanah air, Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40), kembali menjadi tumpuan dengan pengumuman 15 lagu raih undian tertinggi sepanjang carta Muzik Muzik 40 (MM40) pada jam 12.00 tengah hari tadi menerusi program Muzik Muzik.

Pengumuman ini menjadi titik permulaan dalam mengenal pasti karya terbaik tempatan yang bakal bersaing untuk menempatkan diri ke Anugerah Juara Lagu 40 Separuh Akhir (AJL40 SA).

Istimewa sempena penganjuran edisi ke-40, hanya 20 lagu akan dipilih berdasarkan penjurian juri profesional untuk dipersembahkan di peringkat separuh akhir, sekali gus menjadikan persaingan tahun ini lebih sengit.

Menampilkan gabungan nama besar industri serta bakat baharu yang semakin menarik perhatian, 15 lagu ini memperlihatkan kepelbagaian genre, emosi dan identiti muzik yang mencerminkan evolusi landskap muzik Malaysia masa kini. Daripada balada menyentuh jiwa hingga ke karya berenergi tinggi, setiap lagu hadir dengan kekuatan tersendiri dalam mencorakkan saingan menuju pentas berprestij AJL40.

Berikut ialah senarai 15 lagu terbaik dengan undian tertinggi sepanjang carta MM40:

1. Hijab Rindu
Penyanyi: Black Hanifah
Komposer: Rudy Nastia, Nyawa Black, Kelana & Adi Pawana
Penulis Lirik: Adi Pawana & Rudy Nastia

2. Seribu Tahun Lagi
Penyanyi: Imran Ajmain
Komposer: Amylea Azizan
Penulis Lirik: Amylea Azizan

3. Pernah Punya Aku

Penyanyi: Shila Amzah
Komposer: Shila Amzah
Penulis Lirik: Shila Amzah

4. Tangisan Seorang Pendosa

Penyanyi: Marsha Milan
Komposer: Marsha Milan
Penulis Lirik: Hazama

5. Tiwikarma
Penyanyi: K.O.I
Komposer: Zai Hamzah & Hemo Globin
Penulis Lirik: Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana, Sapik Sam

6. Puaskah
Penyanyi: Ameerais & Mariam Saim
Komposer: Iqie Hugh & Shazriq Azeman
Penulis Lirik: Iqie Hugh & Shazriq Azeman

7. Semacam Pandora
Penyanyi: Hazama
Komposer: Hazama, Zimi, Genervie Kam & Ritz Metalasia
Penulis Lirik: Zel Hadauan

8. Rasa & Takdir
Penyanyi: Amira Othman & Irfan Haris
Komposer: Syafiq Rashid
Penulis Lirik: Syafiq Rashid

9. Hilangmu Tak Terganti
Penyanyi: Tajul & Afieq Shazwan
Komposer: Haqiem Rusli
Penulis Lirik: Haqiem Rusli

10. Kamu
Penyanyi: Aina Abdul
Komposer: Aina Abdul
Penulis Lirik: Aina Abdul

11. Ke Mana Ni
Penyanyi: Luca Sickta, KMY KMO & Salammusik
Komposer: KMY KMO, Luca Sickta
Penulis Lirik: KMY KMO, Luca Sickta, Salam

12. Musnah
Penyanyi: Danial Kifli
Komposer: Amir Hariz, Danial Kifli, Knight Cydeen, Hawa Zulaikha
Penulis Lirik: Amir Hariz, Danial Kifli, Knight Cydeen, Hawa Zulaikha

13. Bunga Kemboja
Penyanyi: Iman Troye
Komposer: Ezra Kong
Penulis Lirik: Ezra Kong

14. Ketagih 
Penyanyi: Cherry On Top feat. Datuk Syafinaz Selamat
Komposer: Kusham
Penulis Lirik: Syafinaz Selamat

15. Lumrah Cinta
Penyanyi: Puteri Khareeza
Komposer: Syamel & Aepul Roza
Penulis Lirik: Syamel & Aepul Roza

Baki 15 lagu akan diumumkan minggu hadapan bagi melengkapkan senarai penuh 30 lagu yang layak, sebelum hanya 20 daripadanya dipilih oleh juri profesional untuk mara ke peringkat separuh akhir. Pengumuman rasmi seterusnya akan berlangsung pada 5 April ini, nantikan siapakah yang akan menyusul!

Rasai detik penentuan penuh bahang ini! AJL40 SA bakal bersiaran secara langsung pada 17 dan 18 April 2026 (Jumaat & Sabtu), jam 9.00 malam di TV3 serta strim secara eksklusif di Tonton.

GAYONG 2 KEMBALI MENGGEGARKAN LAYAR PERAK RAYA INI!

Friday, 20 March 2026

Selepas kejayaan luar biasa filem Gayong pada tahun 2025 yang berjaya meraih kutipan melebihi RM4 juta, kini tiba masanya untuk satu pengumuman yang dinanti-nantikan. Gayong 2 bakal kembali menggegarkan layar perak dengan skala yang lebih besar, emosi yang lebih mendalam, dan aksi yang jauh lebih mendebarkan, menjanjikan sebuah kesinambungan epik yang pasti mengujakan penonton, dengan sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran.

Dalam filem pertama, penonton dibawa menyelami perjalanan awal Datuk Meor Abdul Rahman dalam mempertahankan maruah, warisan dan jati diri melalui ilmu persilatan Gayong. Kisah perjuangan, pengorbanan serta semangat bangsa yang diangkat bukan sahaja menyentuh emosi, malah meninggalkan impak yang cukup mendalam kepada penonton.

Kini, Gayong 2 melangkah lebih jauh dengan skala yang lebih besar dan taruhan yang lebih tinggi. Filem ini hadir dengan aksi yang lebih intens, konflik yang semakin mendalam serta penceritaan yang lebih padu. Bukan sekadar sebuah sambungan, Gayong 2 menjanjikan pengalaman yang lebih menyeluruh, menghiburkan dan pada masa sama meninggalkan kesan yang berpanjangan kepada penonton. Pendek kata, ini adalah kesinambungan yang benar benar dinanti dan diyakini mampu mengatasi jangkaan.

Diinspirasikan daripada kisah benar legenda pengasas Silat Gayong dari Perak, Datuk Meor Abdul Rahman, watak ikonik ini sekali lagi dihidupkan dengan penuh jiwa oleh Beto Kusyairi. Dengan kekuatan lakonan yang sarat emosi dan penghayatan yang mendalam, beliau dijangka terus membawa dimensi baharu kepada figura seorang tokoh yang begitu dekat dengan warisan dan identiti budaya kita.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Gayong 2 di pawagam bermula 9 April ini. Sebuah naskhah yang bukan sahaja menyajikan aksi yang mendebarkan, malah sarat dengan semangat perjuangan serta nilai warisan bangsa yang wajar kita hargai dan banggakan.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, ikuti kami di media sosial melalui Facebook, Twitter, Instagram, serta saluran YouTube Primeworks Studios.

“TAK PAYAH JADI TERPALING ‘FED UP.’ AMBIL PENGAJARAN YANG DISAMPAIKAN. JANGAN CEPAT HUKUM DRAMA TEMPATAN!” – CHE PUAN SARIMAH | Bila Cinta Menjadi Dosa, kini di TV3 & Tonton!

Che Puan Sarimah Ibrahim baru-baru ini meluahkan pandangannya terhadap sikap segelintir penonton yang gemar mengkritik drama tempatan tanpa mengikuti keseluruhan jalan cerita. Menerusi perkongsian di Threads, beliau menegaskan bahawa setiap karya membawa mesej tersendiri yang wajar difahami sebelum dinilai.

Menurut beliau, industri drama tempatan sebenarnya berusaha keras untuk menghasilkan karya terbaik walaupun berdepan pelbagai kekangan. Baginya, industri hiburan tempatan masih kecil dan memerlukan sokongan penonton sendiri. “Please don't bash your own local industry, we are small enough as it is. We all know improvement is a must and we try our best in the capacity we are given as a team.”

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai kecenderungan sesetengah pihak yang sering membandingkan drama tempatan dengan produksi luar negara. Katanya, setiap penonton mempunyai selera tersendiri dan tidak semua karya perlu dinilai dengan piawaian yang sama. “Tak payah jadi terpaling ‘fed up’ cause ratings don’t lie and everyone ada selera masing-masing. Takyah nak terpaling ‘Netflix’ vibe.”

Dalam perkongsian tersebut, Che Puan Sarimah turut menjelaskan bahawa banyak kisah yang dipaparkan dalam drama sebenarnya mencerminkan realiti kehidupan sesetengah masyarakat. Bagi sesetengah penonton, cerita-cerita ini menjadi ruang untuk memahami emosi dan memproses pengalaman hidup. “These ‘drama’s actually happened to many people and reflect some people’s lives and emotions dengan ‘drama’ nilah sahaja some people boleh feel and cope with some painful feelings.”

Selain itu, beliau turut mengingatkan penonton supaya menonton sesebuah siri sehingga tamat sebelum membuat penilaian. Menurutnya, ia hanya akan dapat difahami sepenuhnya apabila keseluruhan cerita diikuti dari awal hingga akhir. “Maybe… just watch series to the end, not just random snippets. Maybe then paham sedikit apa ‘pengajaran’ and ‘point’ yang cuba disampaikan.”

Perkongsian itu dilihat sebagai respons kepada kritikan segelintir penonton yang mengatakan kebanyakan drama televisyen kini sering mengangkat tema sama seperti isu curang atau konflik rumah tangga.

Justeru, kepada penonton yang ingin mengikuti bagaimana kisahnya berkembang dan pesanan yang ingin disampaikan, jangan terlepas mengikuti setiap episod drama Bila Cinta Menjadi Dosa di TV3 setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 9.00 malam. Drama 30 episod itu turut dibintangi Zamarul Hisham, Zairi Aziz, Alya Iman, Nelissa Nizam dan Elizad Sharifuddin.

Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau memuat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

RUNWAY RAYA DALAM TREN CURI PERHATIAN | Melodi Glam Raya Runway Meriahkan Perjalanan MRT dengan Himpunan Selebriti, Muzik dan Gaya Raya


Kuala Lumpur, 13 Mac 2026 – Melodi Glam Raya Runway menjadi tumpuan pada 12 Mac lalu apabila pertunjukan fesyen unik di dalam tren MRT menghidupkan suasana sepanjang perjalanan dari Stesen MRT Bandar Utama hingga ke Tun Razak Exchange (TRX). Dari detik orang ramai menanti ketibaan tren sehinggalah kemuncak persembahan di pentas utama, acara ini menggabungkan fesyen, muzik dan hiburan dalam satu pengalaman Raya yang penuh glam.

Kemeriahan acara bermula di Stesen MRT Bandar Utama dengan persembahan flash mob yang diterajui oleh bakat One In A Million (OIAM) iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Mariam. Ia turut disertai Rakan Selebriti Watsons, Sharifah Rose dan Fahrin Ahmad yang bersama-sama mempersembahkan gerakan tarian istimewa menerusi lagu Raya jenama tersebut, sekali gus menceriakan suasana pembukaan acara.

Acara kemudian diteruskan dengan sesi pelepasan rasmi (flag off) yang disempurnakan oleh barisan tetamu kehormat, menandakan permulaan perjalanan tren khas Melodi Glam Raya Runway.

Di dalam tren, para tetamu terus dihiburkan dengan persembahan lagu tema rasmi Watsons Raya oleh finalis One In A Million (OIAM) sebelum suasana bertambah meriah dengan alunan suara Nabila Razali.

Segmen runway kemudian mengambil tempat apabila barisan model membuat kemunculan memperagakan rangkaian produk penjagaan kulit, solekan, penjagaan diri serta kesihatan daripada barisan Rakan Jenama Watsons, sesuai untuk melengkapkan persiapan Aidilfitri. Mereka turut menggayakan koleksi pakaian dan aksesori Raya daripada jenama-jenama fesyen tempatan yang merupakan barisan Rakan Jenama TikTok Shop, sambil menampilkan inspirasi gaya Aidilfitri yang segar dan versatil.


Menariknya, setiap produk dan gaya yang diperagakan turut dipaparkan menerusi “beg kuning” di TikTok Shop sepanjang siaran langsung berlangsung, membolehkan penonton membeli terus item yang ditampilkan dengan tawaran istimewa. Daripada produk Watsons yang dibawa oleh model, sehinggalah kepada pakaian dan kasut termasuk beg tangan yang digayakan, semuanya boleh dibeli secara terus melalui platform tersebut. Inisiatif ini turut mencipta satu lagi pencapaian baharu di bawah Melodi dengan memperkenalkan integrasi pembelian secara langsung melalui “beg kuning,” dan pada masa sama membuka peluang kerjasama masa hadapan bersama lebih banyak jenama dan rakan industri.


Sepanjang perjalanan, suasana turut diselang-seli dengan sesi sembang santai bersama hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim sebelum tren berhenti seketika di Stesen MRT Pasar Seni, menyaksikan kemunculan barisan model seterusnya.

Kemeriahan acara mencapai kemuncaknya di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), apabila tumpuan beralih ke pentas utama yang berlangsung di aras concourse stesen tersebut. Datuk Seri Aliff Syukri terlebih dahulu tampil dengan aksi pembukaan sebelum Melodi Glam Raya Runway  dilancarkan secara rasmi.

Pentas utama diserikan dengan kemunculan barisan penyanyi popular tanah air termasuk Aisha Retno, Amir Masdi, Nabila Razali dan Ernie Zakri yang yang menghangatkan pentas dengan persembahan penuh pesona, sekali gus menghiburkan para pengunjung yang hadir.


Segmen di pentas utama turut menampilkan pertunjukan runway yang memperagakan rangkaian produk, dengan beberapa produk diperagakan sendiri oleh Duta dan Rakan Selebriti Watsons iaitu Ayda Jebat, Che Puan Sarimah, Sharifah Rose, Fahrin Ahmad, Akmal Nazri, Lyssa Jean dan Mekyun.

Mengangkat tema “Gaya Raya Glam,” Melodi Glam Raya Runway mengetengahkan idea bahawa penampilan Aidilfitri yang elegan boleh direalisasikan tanpa perlu berbelanja besar. Usaha ini turut mencerminkan komitmen Melodi dalam mengangkat bakat serta jenama tempatan, di samping membuka ruang kolaborasi antara dunia fesyen dan hiburan.


Acara ini mendapat sokongan Watsons Malaysia selaku penaja utama dan TikTok Shop sebagai penaja bersama, dengan keseluruhan acara distrim secara langsung menerusi TikTok MBuzz Terhangat.

Untuk perkembangan terkini mengenai Melodi, ikuti platform rasmi Melodi dan MBuzz Terhangat.

Kuala Lumpur, 11 Mac 2026 – Selepas kejayaan musim pertama yang memperoleh 9 juta tontonan di televisyen dan 1.5 bilion capaian di media sosial, kisah cinta Aira dan Eijaz kembali menyentuh hati penonton menerusi sambungan drama Hilang Dalam Rindu 2, yang bakal ditayangkan bermula Hari Raya Pertama bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Raya dan kempen Ramadan Raya 2026.

Satu sesi iftar istimewa HDR2 telah diadakan di Banglo 289, ibu negara bagi memperkenalkan drama tersebut kepada para peminat dan rakan media. Majlis ini bukan sekadar sesi berbuka puasa bersama, tetapi peluang eksklusif bagi peminat untuk berinteraksi lebih dekat dengan para pelakon, berkongsi detik bermakna sekali gus mempererat hubungan antara penonton dan watak-watak dalam drama ini.

Menampilkan gandingan pelakon Jazmy Juma dan Tracie Sinidol sebagai pasangan utama, drama ini turut dibintangi Zarif Ghazzi dan pelakon senior Jalaluddin Hassan yang menghidupkan kisah penuh emosi tentang perkahwinan, keluarga dan kekuatan cinta selepas melalui pelbagai ujian. 




Hilang Dalam Rindu 2 membuka cerita dengan detik cemas apabila Aira selamat melahirkan anak pertama mereka, Eirman. Namun pengalaman hampir kehilangan Aira (Tracie Sinidol) ketika bersalin meninggalkan trauma mendalam dalam diri Eijaz (Jazmy Juma). Sejak itu, kehidupan mereka sebagai ibu bapa baharu dipenuhi cabaran apabila Eijaz menjadi terlalu melindungi, manakala Aira pula berusaha membuktikan dirinya mampu mengurus keluarga dengan caranya sendiri.

Perbezaan pandangan antara mereka sering mencetuskan pertengkaran kecil, walaupun diselangi detik manis dan lucu dalam kehidupan rumah tangga. Ketegangan semakin terasa apabila kisah silam kembali menghantui keluarga mereka, termasuk kemunculan individu yang pernah melukai hidup mereka sebelum ini.

Hilang Dalam Rindu 2 bukan sekadar kisah cinta suami isteri tetapi juga menyelami trauma, kepercayaan dan perjalanan membina keluarga yang penuh cabaran. Ia turut mengetengahkan aspek keibubapaan, tanggungjawab berkeluarga serta pengorbanan yang perlu dilakukan demi mempertahankan dan menguatkan sebuah institusi keluarga.

Menerusi jalan cerita yang menyentuh emosi, konflik kekeluargaan yang dekat dengan realiti kehidupan serta lakonan mantap barisan pelakon, drama ini menjanjikan pengalaman tontonan yang menghiburkan dan penuh makna kepada penonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Hilang Dalam Rindu 2, bermula Hari Raya Pertama hingga Hari Raya Kelima, jam 10.30 pagi di TV3. Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

PEGUAM BELA KLIEN HANTU?! | “PHANTOM LAWYER” BAWA KISAH GUAMAN LUAR BIASA KE TONTON BERMULA 13 MAC INI!

Kuala Lumpur, 12 Mac 2026 – Bagaimana jika klien pertama yang melangkah masuk ke firma guaman baharu anda sebenarnya adalah hantu? Disiarkan serentak dengan Korea, siri drama Phantom Lawyer bakal menemui penonton bermula 13 Mac 2026 di platform Tonton, menggabungkan elemen drama guaman, fantasi, aksi dan misteri dalam sebuah penceritaan yang penuh kejutan.

Diarahkan oleh Shin Joong-Hoon, drama ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Yoo Yeon-Seok, Esom, Kim Kyung-Nam, Jun Suk-Ho dan Kim Mi-Kyung dalam sebuah kisah tentang keadilan yang melangkaui batas dunia manusia.

Phantom Lawyer mengikuti kisah Shin Yi-Rang (Yoo Yeon-Seok), seorang peguam yang baru membuka firma guamannya di sebuah rumah lama yang dahulunya dimiliki seorang bomoh. Tidak lama kemudian, Yi-Rang mula menyedari bahawa dirinya mempunyai keupayaan yang tidak pernah dibayangkan apabila dia mampu melihat roh yang tidak dapat dilihat orang lain.

Tanpa diduga, roh-roh yang masih menyimpan penyesalan dan perkara yang belum selesai mula datang kepadanya sebagai klien, memohon bantuan untuk menuntut keadilan yang tidak sempat mereka peroleh ketika hidup.

Dalam masa yang sama, Han Na-Hyun (Esom), seorang peguam elit dari firma guaman terkemuka, dikenali dengan reputasi cemerlang dan rekod kemenangan yang hampir sempurna. Namun segalanya berubah apabila dia tewas dalam satu perbicaraan kepada Yi-Rang, satu kekalahan yang secara tidak langsung menemukan mereka dalam dunia kes yang penuh misteri.

Pada awalnya, Na-Hyun sukar mempercayai keupayaan Yi-Rang, namun apabila berdepan sendiri dengan kejadian aneh yang sukar dijelaskan, dia mula membuka fikirannya. Mereka akhirnya berganding bahu menyelesaikan pelbagai kes rumit yang melibatkan rahsia antara dunia manusia dan alam ghaib.

Jangan terlepas menyaksikan Phantom Lawyer bermula 13 Mac 2026 di Tonton, disiarkan serentak bersama siaran Korea dengan episod baharu setiap Jumaat dan Sabtu, jam 10.30 malam.


Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, X, TikTok, dan Instagram di @tontonmy

Kuala Lumpur, 12 March 2026 — Tonton, Malaysia’s very own homegrown OTT streaming platform, was announced as the Official Streaming Partner for the highly anticipated Mobile Legends Professional League (MPL) Malaysia Season 17. Through this collaboration with MOONTON Games, fans across the country can catch every thrilling match live and on demand, while Media Prima, as a leading local media entity, steps in as the Official Content Partner, delivering exclusive coverage and highlights that bring the league closer to audiences nationwide.

This partnership aims to accelerate the growth of Malaysia's esports ecosystem by connecting the competitive gaming community with a wider, mainstream audience. Malaysia’s strong presence in esports, particularly within Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), is reflected in landmark achievements such as the MSC 2024 Championship victory and the coveted SEA Games Gold Medal. These milestones not only reinforce Malaysia’s standing on the global esports stage but also showcase the immense talent, passion, and dedication of the nation’s gaming community.

As the Official Streaming Partner, Tonton will make all MPL Malaysia Season 17 matches accessible to fans nationwide via its platform. Building on the success of the previous season, which recorded 22 million total views and 12 million watch hours, this partnership is a natural extension of Tonton’s mission to deliver content that matters to Malaysians.

  • Beyond live match streaming, Tonton will enrich the fan experience with a range of exclusive features:
  • Catch MPL Malaysia live on Tonton and win MLBB Diamonds with exclusive in-game rewards.
  • Subscribers gain access to behind-the-scenes material, offering an unprecedented glimpse into the journeys of Malaysia’s top MLBB athletes.

A specially curated MPL Malaysia library will serve as the definitive digital hub for fans seeking comprehensive coverage of the league.

For more updates on your favorite shows and exclusive content, follow us on Facebook, Twitter, TikTok, and Instagram at @tontonmy, and be the first to catch all the latest highlights, behind-the-scenes moments, and special announcements.

PUTERI BALQIS DIDIDIK PENUH KASIH, NAMUN DI MANA SILAPNYA?

Monday, 9 March 2026

PUTERI BALQIS DIDIDIK PENUH KASIH, NAMUN DI MANA SILAPNYA? | Anugerah Tanpa Cahaya, Kisah Potret Keluarga Tentang Pengorbanan dan Pemberontakan

Kuala Lumpur, 9 Mac 2026 – Dalam pelukan kasih yang membesarkan seorang anak, tersimpan harapan dan doa yang tidak pernah putus. Namun apabila langkahnya mula menjauh daripada dunia yang membesarkannya, siapakah yang harus dipersalahkan? Tonton Original Series terbaharu, Anugerah Tanpa Cahaya, tampil sebagai sebuah naskhah 10 episod yang menyelami sisi rapuh hubungan ibu bapa dan anak serta haluan hidup yang membawa padah.

Diterajui barisan pelakon hebat seperti Puteri Balqis, Azhan Rani, Amyza Aznan, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail, drama arahan Amor Rizan ini bakal mula bersiaran di Tonton bermula 16 Mac 2026, setiap Isnin dan Selasa, jam 12.00 tengah malam. Berlatarbelakangkan sebuah keluarga yang diuji oleh kasih yang mula dipersoalkan, Anugerah Tanpa Cahaya mengangkat konflik emosi antara seorang anak yang mendambakan kehidupan lebih baik dan ibu bapa yang hanya mampu memberi seadanya.

Cerita ini bermula apabila Bahar (Azhan Rani) dan Tijah (Amyza Aznan) menemui seorang bayi yang ditinggalkan di luar rumah mereka, lalu membesarkannya sebagai anak angkat dan menamakannya Husna. Dibela dengan limpahan kasih sayang, Husna (Puteri Balqis) menjadi pusat dunia Bahar. 

Lama-kelamaan, Tijah mula berasa resah apabila Bahar terlalu memanjakan Husna dan menuruti hampir setiap kehendaknya.

Apabila meningkat remaja, Husna mula memberontak. Dia sering ponteng sekolah, menipu dan mencuri, didorong oleh keinginan untuk keluar daripada kehidupan serba kekurangan yang selama ini dirasakannya. Husna akhirnya melarikan diri dari rumah dan terjerumus dalam hubungan dengan Zafran (Hafeez Mikail), seorang lelaki yang memiliki sisi gelap, sekali gus menjauhkannya daripada keluarga yang membesarkannya.

Puteri Balqis yang berkongsi tentang wataknya berkata Husna bukanlah seorang remaja yang dilahirkan bermasalah, sebaliknya seorang anak biasa yang hanya cuba menyesuaikan diri dengan dunia di sekelilingnya.

“Sebagai remaja, pasti ada naik turunnya kerana pada usia itu kita sedang mengenal dunia dan mencari diri sendiri. Dalam proses itu, kadang-kadang kita buat pilihan yang salah, tetapi daripada situlah kita belajar dan sedar tentang kesilapan yang dilakukan. Bagi saya, Husna hanyalah seorang remaja yang sedang mencari tempatnya dalam dunia, walaupun jalan yang dipilihnya memberi kesan kepada dirinya dan orang di sekelilingnya.”

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Anugerah Tanpa Cahaya, sebuah cerita penuh pengajaran yang bakal memberi kesan dalam bulan Ramadan ini, eksklusif di Tonton mulai 16 Mac 2026, setiap Isnin dan Selasa jam 12.00 tengah malam.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.

MI SEDAAP SANTUNI KOMUNITI DI 3 LOKASI SEKITAR LEMBAH KLANG

Thursday, 5 March 2026

“NIKMAT DIKONGSI, REZEKI DIBERKATI” | MI SEDAAP SANTUNI KOMUNITI DI 3 LOKASI SEKITAR LEMBAH KLANG

KUALA LUMPUR, 5 Mac 2026 – Mi Sedaap, dengan kerjasama TV3, Pepper Labs dan Dapur Digital telah menyemarakkan lagi suasana Ramadan menerusi siri jelajah Jom Berbuka Bersama Mi Sedaap. Aktiviti padang ini merupakan lanjutan istimewa kepada program Jom Berbuka terbitan TV3 yang ditaja sepenuhnya oleh Mi Sedaap bagi mendekati masyarakat secara langsung sepanjang bulan yang mulia ini.

Setiap sesi diisi dengan aktiviti memasak bersama selebriti di dapur Pepper Labs sebelum diagihkan kepada kira-kira 350 penerima di setiap lokasi. Siri jelajah ini turut dimeriahkan dengan pelbagai permainan bagi menghiburkan komuniti PPR yang menyokong usaha kami ini. Selain menyantuni penduduk, Mi Sedaap turut menyampaikan kotak Kongsi Rezeki yang mengandungi barangan keperluan asas kepada rakan-rakan Dapur Digital yang terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah sesuai dengan tagline “Kongsi Rezeki, Nikmati Rasa Asli Mi Sedaap.

Lokasi Jom Berbuka Bersama Mi Sedaap melabuhkan tirainya di PPR Hiliran Ampang dan dihadiri oleh Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima, Puan Farah Shamsudin,  serta Pengurus Serantau Gentle Supreme Sdn Bhd, Encik Ng Hock Guan.

Tiga siri jelajah ini telah dilaksanakan di lokasi yang strategik iaitu:

  • PPR Wangsa Sari (21 Februari): Dimeriahkan oleh pasangan ibu dan anak popular, Nabila Huda & Keisha Laila, serta dihoskan oleh personaliti TV3, Zati Nizam dan Asyraf Jamaluddin.

  • PPR Sri Perlis 2 (28 Februari): Menampilkan kemesraan pelawak Angah & Wawa, bersama pengacara Syahira Izzati dan Asyraf Jamaluddin.
  • PPR Hiliran Ampang (3 Mac): Lokasi kemuncak yang diserikan oleh Chef Fazley & Fariedz Fazley, dikendalikan oleh Syahira Izzati dan Asyraf Jamaluddin.

Usahasama ini membuka ruang kepada TV3, penaja dan rakan strategik untuk mengeratkan ukhuwah serta mendekatkan diri dengan penonton dan pengguna. Inisiatif ini mencerminkan komitmen bersama dalam berkongsi keberkatan Ramadan dengan komuniti, selaras dengan aspirasi untuk terus kekal relevan dan dekat di hati rakyat Malaysia. Kerjasama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan demi memberi manfaat berterusan kepada komuniti.

MELODI GLAM RAYA RUNWAY 2026 BAKAL GEGAR LALUAN MRT | Jom Jadi Sebahagian Daripada Runway Paling Glam Tahun Ini

Kuala Lumpur, 5 Mac 2026 – Rancangan hiburan sensasi nombor satu negara, Melodi, bakal membawakan satu kelainan luar biasa menerusi penganjuran Melodi Glam Raya Runway 2026, sebuah pertunjukan fesyen dalam tren bergerak yang menggabungkan elemen hiburan, muzik dan inspirasi gaya Raya di atas landasan MRT.

Dikendalikan oleh hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, acara ini akan mengambil tempat pada 12 Mac 2026 (Khamis). Runway bergerak ini akan memulakan perjalanan dari Stesen MRT Bandar Utama sebelum berakhir dengan acara kemuncak di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX), menjanjikan pengalaman visual serta suasana hiburan yang eksklusif buat para penonton.

Mengangkat tema “Gaya Raya Glam”, inisiatif ini mengetengahkan konsep bahawa gaya Aidilfitri yang elegan dan berkualiti tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar. Dengan sentuhan solekan dan pemilihan busana yang tepat, penampilan memikat sentiasa boleh direalisasikan walaupun di saat akhir, asalkan digayakan dengan penuh keyakinan.

Sepanjang perjalanan tren, seramai 20 model akan memperagakan koleksi Raya terkini daripada jenama fesyen tempatan, sekali gus memberi inspirasi gaya kepada masyarakat menjelang musim perayaan. Usaha ini turut mencerminkan komitmen Melodi sebagai platform yang mengangkat bakat dan jenama tempatan, di samping membuka ruang kolaborasi strategik antara dunia fesyen, hiburan dan kandungan digital.

Di dalam tren, penumpang akan dihiburkan dengan persembahan daripada Nabila Razali, diikuti para finalis One In A Million iaitu Marygrace, Kai Deva, Jimmy dan Mariam. Kemeriahan kemudian beralih ke pentas utama di TRX yang bakal menampilkan Aisha Retno, Ernie Zakri dan Amir Masdi, serta penampilan Datuk Seri Aliff Syukri dan kemunculan semula Nabila Razali bersama para finalis One In A Million.

Orang ramai juga boleh menyertai peraduan di booth khas yang dibuka di Stesen MRT Bandar Utama, Pasar Seni dan TRX, dengan peluang memenangi baucar beli-belah menarik.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada revolusi fesyen ini! Hadir ke Stesen MRT Bandar Utama pada jam 3.00 petang bagi memeriahkan sesi pelepasan rasmi (Flag Off), dengan pelbagai hadiah menarik untuk dibawa pulang. Acara kemuncak pula berlangsung di Aras Concourse MRT Tun Razak Exchange (TRX) pada jam 4.00 petang buat mereka yang ingin menikmati suasana yang lebih mengujakan.

Melodi Glam Raya Runway 2026 mendapat sokongan Watsons Malaysia selaku penaja utama dan TikTok Shop sebagai penaja bersama. Keseluruhan acara turut distrim secara langsung menerusi TikTok MBuzz Terhangat bermula jam 3.30 petang.

Untuk perkembangan terkini, ikuti platform rasmi Melodi dan MBuzz Terhangat.

TONTON & MENANG: HANTU PUASA BELANJA TERBANG KE SEOUL! HANYA STRIM & MENANG PAKEJ 6H4M KE KOREA!

Wednesday, 4 March 2026


Kuala Lumpur, 4 Mac 2026 – Ramadan terus diraikan sebagai bulan penuh keberkatan dan refleksi, juga momen istimewa untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Sama ada selepas berbuka atau menjelang sahur, waktu santai ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk menonton maraton drama kegemaran. Menghangatkan lagi suasana, Tonton tampil dengan kempen khas Tonton & Menang: Hantu Puasa Belanja Terbang Ke Seoul yang berlangsung dari 4 Mac hingga 19 Mac 2026, menjanjikan pengalaman tontonan yang lebih mendebarkan dan penuh ganjaran.

Lebih menarik, setiap tontonan memaparkan markah pengguna dan membuka peluang untuk merangkul hadiah utama yang lumayan. Sepanjang kempen ini juga, pengguna boleh menikmati pelbagai judul bergenre thriller dan Tonton Original Series terpilih yang sarat dengan suspen, misteri dan plot twist yang tidak dijangka, menjadikan setiap sesi tontonan di Tonton lebih mendebarkan dan penuh keterujaan sepanjang Ramadan.

Untuk menyertai kempen ini, imbas kod QR pada poster atau layari laman web rasmi, kemudian klik “Log Masuk” atau “Langgan Sekarang” untuk bermula. Log masuk menggunakan akaun Tonton anda atau daftar jika belum mempunyai akaun, seterusnya tonton mana-mana filem atau siri dalam senarai Hantu Puasa Special Checklist. Setiap tontonan yang layak akan direkodkan secara automatik dan menyumbang kepada kedudukan anda di leaderboard, manakala pengumuman pemenang akan dibuat menerusi media sosial rasmi Tonton atau e-mel berdaftar.

Sebagai kemuncak kempen ini, seorang pemenang paling bertuah bakal membawa pulang pakej percutian 6 hari 4 malam ke Korea Selatan. Pemenang ini juga berpeluang membawa seorang teman sebagai plus one, sekali gus berkongsi pengalaman unik dan menyeronokkan sepanjang perjalanan. Ditaja oleh Ikhlas.com, hadiah istimewa ini merangkumi penerbangan pergi balik, penginapan selesa serta pengalaman terpilih di kota Seoul. Satu ganjaran luar biasa yang bukan sahaja melengkapkan Ramadan dengan penuh keterujaan, malah menjanjikan kenangan yang sukar dilupakan.

Jangan tunggu saat akhir kerana tempoh penyertaan hanya sehingga 19 Mac 2026! Layari laman web rasmi dan mula strim sekarang kerana setiap tontonan bukan sahaja menghangatkan malam Ramadan anda, malah membawa anda selangkah lebih dekat ke destinasi impian.

Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.

MULAI MALAM INI! KESABARAN ANDA BAKAL DIUJI OLEH TV3 SEPANJANG RAMADAN INI! YANG TAK KUAT BAKAL TEWAS!

Wednesday, 25 February 2026

MULAI MALAM INI! KESABARAN ANDA BAKAL DIUJI OLEH TV3 SEPANJANG RAMADAN INI! YANG TAK KUAT BAKAL TEWAS! | 3 Drama Paling Panas, 3 Ujian Hati Paling Berat

Ramadan sering dikaitkan dengan kesabaran, muhasabah dan peluang memperbaiki diri. Namun tahun ini, TV3 membawakan pendekatan yang lebih berani dengan tiga naskhah berturut-turut bermula 25 Februari, malam ini!. Setiap satunya menyelami sisi emosi manusia yang rapuh apabila diuji rasa cinta, kepercayaan dan pilihan hidup. Bukan sekadar kisah hubungan yang bergolak, tiga naskhah ini mengajak penonton menilai sempadan antara kesilapan dan penyesalan, antara ego dan pengorbanan, serta antara cinta dan tanggungjawab.

Di slot Samarinda, Kerana Cinta Itu Dusta menampilkan konflik pengkhianatan yang terbuka, sama ada di depan mata sendiri atau di media sosial. Ego lelaki, kepercayaan yang dicabul dan sahabat yang menjadi duri dalam daging menjadikan drama ini medan perang emosi yang tiada berselindung. Di sini, curang bukan sekadar kesilapan, tetapi pilihan sedar dan apabila semuanya terdedah, tiada siapa yang benar-benar menang.

Berbeza pula di slot Akasia, Khianat Yang Terpilih mengisahkan bekas kekasih yang bertemu semula membuka ruang kepada curang yang tidak disengajakan. Rindu lama, perkahwinan yang hambar, dan pengakuan kehamilan yang mengejutkan mencetuskan rangkaian keputusan drastik seperti perceraian, ujian DNA, keguguran, dan hati yang sukar dipulihkan. Di sinilah garis antara salah dan simpati menjadi kabur. Adakah semuanya benar-benar tidak dirancang, atau sekadar alasan untuk menghalalkan rasa?

Namun yang paling berbahaya menanti di slot Lestary melalui Bila Cinta Menjadi Dosa. Ia bukan sekadar kisah pasangan, tetapi pengkhianatan seorang ayah yang meruntuhkan maruah isteri dan memusnahkan hubungan dengan anak sendiri. Nafsu, kuasa, dan dendam bercampur menjadi racun yang mengalir dalam satu keluarga. Apabila bekas kekasih anak memilih untuk mengahwini si ayah, luka lama bertukar menjadi peperangan yang lebih kejam.

Tiga drama, tiga dimensi emosi daripada kepercayaan yang goyah, kenangan yang kembali menghantui, hingga konflik keluarga yang memerlukan kekuatan luar biasa untuk diselesaikan. Sepanjang Ramadan ini, TV3 tidak hanya menyajikan kisah penuh dramatik, tetapi turut mengangkat realiti yang dekat dengan kehidupan. Setiap episod menjadi cermin untuk menilai pilihan yang membuka mata dan mengajar erti sebenar memelihara hati.

Tunggu apa lagi? Jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan:
  1. Samarinda: Kerana Cinta Itu Dusta, bermula 25 Februari ini, Isnin hingga Jumaat, 10.00 malam.
  2. Akasia: Khianat Yang Terpilih, bermula 26 Februari ini, Isnin hingga Jumaat, 6.58 petang.
  3. Lestary: Bila Cinta Menjadi Dosa, bermula 27 Februari ini, Jumaat hingga Ahad, 9.00 malam. Strim Juga Episod Baharu 24 Jam Lebih Awal Melalui Tonton!
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.