RUMAH MENANTI CAHAYA, TELEFILEM MEGA HASIL KOLABORASI MALAYSIA & INDONESIA

Friday, 12 December 2025

KEDATANGAN TAK DIRESTUI, DAIYAN TRISHA TERPALIT DALAM RAHSIA KELUARGA SUAMI | RUMAH MENANTI CAHAYA, TELEFILEM MEGA HASIL KOLABORASI MALAYSIA & INDONESIA

Kuala Lumpur, 12 Disember 2025 - Sebuah kepulangan yang sepatutnya penuh kegembiraan bertukar menjadi tragedi, dan di sinilah kisahnya bermula. Telefilem Rumah Menanti Cahaya bersedia menemani hujung minggu anda dengan naratif sebuah keluarga yang terperangkap antara kehilangan dan jawapan yang masih tercari, bakal ditayangkan pada 14 Disember 2025 (Ahad), jam 9.00 malam tayangan serentak di Tonton dan TV3. 

Diarahkan oleh Sharad Sharan, telefilem ini menampilkan barisan pelakon Malaysia dan Indonesia yang cukup hebat, termasuk Daiyan Trisha, Zarif Ghazzi, Mathias Muchus, Eldania Zahra, M. Aditya Zoni, Djihan Ranti, Shanice Margaretha Lie dan Diego Afisyah. Rumah Menanti Cahaya membawa penonton menyelami dinamik sebuah keluarga yang tergugat apabila seorang wanita asing dalam hidup mereka tiba bersama khabar yang tidak disangka.

Kisah ini bertumpu pada Mira (Daiyan Trisha), seorang wanita Malaysia yang baru mendirikan rumah tangga dengan Arman (Diego Afisyah). Namun kebahagiaan itu tidak berpanjangan apabila Arman maut dalam satu kemalangan jalan raya, menyebabkan Mira pulang ke rumah keluarga suaminya di Jakarta, bukan sebagai pengantin baharu yang diraikan, tetapi sebagai pembawa takdir yang meruntun jiwa.

Kedatangannya disambut dengan pelbagai emosi, lebih-lebih lagi apabila mereka mengetahui bahawa Mira sebenarnya isteri yang dinikahi Arman secara senyap. Detik yang sepatutnya menjadi pengenalan mesra bertukar menjadi dinding curiga, kemarahan dan penolakan daripada anak-anak Pak Ahmad (Mathias Muchus) yang masih bergelut dengan duka.

Dalam rumah yang sentiasa tegang itu, Mira cuba mencari tempatnya, menelan satu demi satu kepedihan yang datang tanpa amaran. Apabila kebenaran mula dicari, semakin terserlah pula rahsia yang selama ini memisahkan keluarga itu. 

Ketika dirinya semakin terasa terasing, kehadiran Dr. Daniel (Zarif Ghazzi) menjadi satu-satunya ruang untuk Mira bernafas, menyaksikan ketabahan yang cuba dipertahankannya meskipun segala-galanya terasa rapuh. Mampukah penerimaan dan pengampunan terbit dalam rumah yang sekian lama dibayangi kehilangan ini?

Melengkapi perjalanan emosi naskhah ini ialah lagu runut bunyi (OST) berjudul Langit Tak Menjawab nyanyian Mary Grace, terbitan Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama Alternate Records. Dicipta oleh Acap Salim dan Arif Izo, lagu ini mempamerkan sisi Marygrace yang lebih matang, baik dari segi vokal mahupun penghayatan. Dengan tema kehilangan dan pencarian jawapan, ia menjadi bayangan rasa yang tepat kepada jiwa cerita Rumah Menanti Cahaya.

Jangan ketinggalan menyaksikan tayangan perdana Rumah Menanti Cahaya pada 14 Disember 2025, jam 9.00 malam tayangan serentak di Tonton dan TV3. Muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store, atau layari www.tonton.com.my.

Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.

Post a Comment

[PERINGATAN] Komen yang mempunyai pautan ke mana-mana blog atau laman web yang menjurus kepada perniagaan atau bersifat keuntungan sebelah pihak, akan dipadamkan serta-merta. Jika berminat untuk meletakkan link atau pautan ke dalam entri ini, sila hubungi penulis di farhannajafri@gmail.com.




[PENAFIAN] www.farhanajafri.com dan pemilik blog ini secara khusus tidak akan bertanggungjawab terhadap apa juga liabiliti, kerosakan, kehilangan, kerugian atas risiko, peribadi mahu pun sebaliknya yang berlaku akibat, secara langsung atau tidak langsung daripada penggunaan dan aplikasi, daripada apa juga kandungan yang diperolehi dari blog ini.



Pemilik blog juga tidak akan bertanggungjawab sama sekali terhadap komen-komen yang di siarkan dan ianya adalah tanggungjawab penulis komen itu sendiri.



Segala artikel yang dihasilkan oleh pemilik blog ini hanya sekadar pendapat peribadi yang mahu dikongsi bersama para pembaca blog ini serta untuk koleksi rujukan buat pemilik blog untuk kegunaan pada masa hadapan.