Showing posts with label Astro. Show all posts
Showing posts with label Astro. Show all posts

Kuala Lumpur, 3 April 2026 - Majlis pertunangan Bella Astillah dan YB Syed Saddiq pada 28 Mac berjaya menarik perhatian jutaan rakyat Malaysia, sekaligus muncul sebagai antara momen budaya paling hangat diperkatakan di negara ini. Acara tersebut mencatatkan hampir 130 juta tontonan merentas pelbagai platform, dengan Astro memacu penglibatan kukuh menerusi ekosistem multi-platformnya termasuk Astro Ria, Astro AWANI, Astro Gempak, ERA, Astro GO dan Sooka.

Siaran langsung ini turut mencatatkan penglibatan tinggi di seluruh negara, dengan jumlah tontonan keseluruhan merentas semua platform Astro melebihi 4 juta penonton. Di platform digital, ia meraih lebih 6.5 juta tontonan langsung, sebelum berkembang kepada lebih 121 juta tontonan di media sosial Astro dalam tempoh sehari, sekaligus meletakkannya sebagai antara acara paling banyak ditonton tahun ini, selain mencerminkan bagaimana penonton berinteraksi secara lancar merentas pelbagai skrin.

Siaran langsung ini turut menyentuh emosi penonton menerusi momen-momen yang penuh makna dan relevan secara sosial. Antara yang paling mencuri perhatian ialah ucapan penuh menyentuh hati oleh YB Syed Saddiq yang menonjolkan kekuatan, ketabahan dan keprihatinan yang dimiliki oleh Bella Astillah sebagai seorang wanita dan ibu yang luar biasa, di samping menekankan kepentingan institusi kekeluargaan yang kekal utuh. Mesej ini mendapat perhatian meluas di seluruh Malaysia, menjangkau pelbagai lapisan penonton dan mencetuskan perbualan bermakna di seluruh negara.

Astro turut menampilkan integrasi jenama berteraskan nilai seperti SSPN, yang memberi nafas baharu kepada konsep hantaran dengan menekankan kepentingan pendidikan, perancangan kewangan serta nilai berpandangan jauh, sekaligus menambah dimensi yang lebih bermakna dan relevan kepada keseluruhan majlis. Integrasi rakan Kerjasama lain termasuk Kitsui dan Great Wall Motor (GWM).

Pencapaian ini mencerminkan perubahan ketara dalam cara rakyat Malaysia menikmati kandungan hari ini, dengan penonton bergerak lancar antara TV, digital, radio dan media sosial secara masa nyata. Tingkah laku omni-saluran ini menyerlahkan kekuatan ekosistem bersepadu Astro sebagai Attention Company, di mana kandungan dapat diakses merentas semua platform bagi memaksimumkan capaian, relevansi dan impak budaya, sekaligus mengukuhkan kedudukan Astro sebagai antara tonggak utama dalam landskap budaya pop negara.

Menurut Naib Pengerusi, Hiburan dan Drama, Raqim Ahmad, “Kami merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Bella Astillah dan YB Syed Saddiq atas langkah pertama dalam perjalanan mereka bersama, serta kepercayaan yang diberikan kepada Astro untuk merakam detik penuh bermakna ini. Momen ini turut membuktikan kekuatan sebenar kandungan dan ekosistem Astro, di mana kandungan bergerak lancar merentas TV, digital, radio dan media sosial untuk mencipta pengalaman bersatu di seluruh negara. Skala penglibatan yang dicapai mencerminkan sejauh mana rakyat Malaysia berhubung dengan kisah ini, sekaligus mengukuhkan keupayaan kami dalam mengangkat detik masa nyata menjadi fenomena budaya.”

Astro akan terus membawakan pelbagai momen eksklusif dan wajib tonton kepada para penonton menerusi liputan istimewa mengenai perjalanan Bella Astillah dan YB Syed Saddiq termasuk detik perkahwinan mereka yang bakal berlangsung tidak lama lagi, secara eksklusif di Astro.

#BellaSyedYes

‘MALAIKAT MALAM’ KUTIP RM10.2 JUTA, PENERIMAAN POSITIF TERHADAP KARYA PENGARAH BAHARU

Thursday, 2 April 2026

Kuala Lumpur, 2 April 2026 – Filem aksi tempatan, Malaikat Malam mencipta fenomena apabila berjaya mencatat kutipan box office sebanyak RM10.2 juta untuk tayangan awal dan minggu pertama, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling mendapat perhatian tahun ini.

Diterbitkan dengan kerjasama beberapa pemain industri utama seperti Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios, Malaikat Malam menemui penonton di pawagam seluruh negara sejak 26 Mac lalu. 

Sejak ditayangkan, filem ini menerima pelbagai reaksi daripada penonton dan kini berkembang menjadi gelombang sokongan positif apabila naskhah ini mula diangkat sebagai antara filem wajib tonton. Perbualan di media sosial juga terus rancak, dengan pujian ramai terhadap kekuatan persembahan para pelakon, penceritaan, serta pendekatan berani yang dibawakan dalam genre aksi motosikal. 

Kejayaan ini juga mencerminkan keyakinan penonton terhadap karya arahan sutradara baharu, Nazifdin Nasrudin, yang tampil dengan pendekatan segar.

Menurut pihak penerbit, Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif Filem Malaikat Malam, “Kami amat bersyukur dengan sokongan luar biasa daripada penonton. Apa yang lebih bermakna adalah apabila penonton sendiri yang mengangkat filem ini dan berkongsi pengalaman mereka. Pencapaian ini menunjukkan bahawa kisah yang dekat dengan realiti masyarakat, digabungkan dengan elemen hiburan yang kuat, mampu menarik minat ramai. Kami harap, penonton Malaysia terus beri sokongan kepada Malaikat Malam serta filem-filem tempatan lain.”

Dengan momentum yang masih kuat, Malaikat Malam diharap akan terus dapat menarik penonton ke pawagam pada minggu-minggu akan datang. Pada 3, 4, dan 5 April, barisan pelakon Malaikat Malam akan berada di Selatan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan untuk temui penonton dan peminat di pawagam. 

Mengangkat elemen cinta, persahabatan dan pengorbanan dalam latar dunia jalanan, Malaikat Malam membawa kisah tentang perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna dan menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.

Malaikat Malam membariskan pelakon Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Que Haidar, Riezman Khuzaimi, Akmal Asyraf.

Ikuti maklumat lanjut di akaun media sosial Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studios. Orang ramai yang masih belum menyaksikan filem ini disarankan untuk tidak melepaskan peluang menonton Malaikat Malam di pawagam berhampiran.

#BellaSyedYes | Majlis Pertunangan Syed Saddiq & Bella Astillah

Saturday, 28 March 2026

Majlis Pertunangan pasangan popular, BASS diadakan pada 28 Mac 2026, Sabtu pada jam 2 petang di Locarasa Restaurant & Patisserie, Bamboo Hills Taman Bukit Bambu. Majlis pertunangan Syed Saddiq, 33 bersama pilihan hatinya, Bella Astillah, 32 berkonsepkan sederhana yang diraikan secara tertutup, dengan jemputan kira-kira 150 orang tetamu termasuk keluarga terdekat dan rakan artis yang rapat. Majlis ini turut disiarkan secara langsung menerusi Astro AWANI, Astro Gempak serta platform media sosial ERA.


Bella Astillah yang aktif dan semakin popular dalam industri hiburan tempatan sebagai penyanyi, pelakon dan personaliti televisyen Malaysia bertemu dengan Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar serta tokoh politik muda Malaysia yang juga merupakan pengasas parti Parti Ikatan Demokratik Malaysia ketika menjadi duta kepada jenama Primavalet untuk edisi Hari Raya Aidilfitri di penghujung tahun 2024.

Pasangan ini mengumumkan berita pertunangan mereka pada jam 10 pagi hari yang sama menerusi akaun media sosial rasmi masing-masing, sekali gus menambah keterujaan para peminat serta mencuri perhatian orang ramai. PMX turut memuatnaik status berjenaka tentang kad jemputan ke majlis perkahwinan BASS. 

Kedua-dua keluarga berkumpul bagi meraikan penyatuan dua jiwa, di samping berbincang mengenai tempoh pertunangan dan upacara perkahwinan. YB Syed Saddiq turut hadir di penghujung majlis bagi memeriahkan acara dan berikan ucapan bagaimana bermulanya titik percintaan mereka berdua. 

Majlis pertunangan BASS bertemakan rona kuning lembut, menambahkan elemen kelembutan dan keindahan pada keseluruhan suasana. Upacara menyarung cincin menjadi simbol rasmi kepada ikatan pertunangan pasangan ini.

Busana pertunangan Bella direka khas oleh Altelia Amani, menampilkan sentuhan elegan dan sofistikated yang menyerlahkan keanggunan serta personaliti Bella pada hari istimewanya.


Hantaran daripada YB Syed Saddiq Abdul Rahman kepada Dayang Ara Nabellah binti Awang Astillah bukan sahaja merangkumi sebentuk cincin, malah turut disertakan simpanan SSPN untuk kedua-dua anaknya, Ayden dan Ara, sebagai simbol kasih sayang serta keprihatinan beliau terhadap masa depan mereka. Bella turut menerima simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan simpanan Tabung Haji sebagai hantaran pertunangannya.

‘MALAIKAT MALAM’ BAWA NAFAS BAHARU FILEM AKSI MOTOSIKAL DAN CINTA

Thursday, 26 March 2026

‘MALAIKAT MALAM’ BAWA NAFAS BAHARU FILEM AKSI MOTOSIKAL DAN CINTA | Gabungan penulis, penerbit dan pelakon hebat Malaysia 

Kuala Lumpur, 25 Mac 2026 – Menggabungkan aksi kelajuan penuh adrenalin dengan kisah cinta, filem Malaikat Malam merupakan taruhan terbaru daripada empat penerbit terkemuka Malaysia, Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios, yang bakal menggegarkan  pawagam seluruh negara bermula 26 Mac ini.  

Filem ini memberi fokus kepada perjalanan seorang ‘mat motor’ yang berdepan dilema di antara kehidupan yang membentuk dirinya dan impian untuk keluar daripada situasi tersebut. Dalam masa yang sama, kehadiran seseorang yang menjadi ‘cahaya’ dalam hidupnya membuka ruang kepada perubahan yang tidak disangka.

Berbeza daripada filem ‘rempit’ lain yang menumpukan aksi motosikal semata-mata, Malaikat Malam turut memberi penekanan kepada hubungan di antara watak, terutama tentang kesetiaan dan pengorbanan yang mampu mempengaruhi tujuan hidup seseorang. Naratif ini mencerminkan realiti bahawa setiap individu mempunyai peluang untuk merubah kehidupan yang lebih baik walaupun berada dalam dunia yang dipandang negatif.

Malaikat Malam menampilkan pelakon versatil Syafiq Kyle sebagai Azam, seorang pelumba jalanan dengan konflik emosi di sebalik kehidupan berisiko. Menerusi watak Azam, Syafiq Kyle buat pertama kalinya menyahut cabaran membawakan karakter seorang ‘mat rempit’, memperlihatkan transformasi lakonan yang lebih berani dan berbeza daripada penampilan sebelum ini. 

Turut menampilkan barisan pelakon mantap, termasuk Tracie Sinidol sebagai gadis buta, yang membawa dimensi tersendiri kepada cerita, serta kemunculan semula Que Haidar ke layar perak yang dinantikan ramai. Pelakon lain yang mencuri tumpuan ialah Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf dan Riezman Khuzaimi, yang menjanjikan kombinasi watak yang bertanaga dan meninggalkan kesan. 

Malaikat Malam diterajui bakat muda Nazifdin Nasrudin, menandakan penampilan sulungnya sebagai pengarah. Sebelum ini, Nazifdin terlibat sebagai editor dan penulis untuk filem-filem box-office termasuk Sheriff, Malam Terlarang, Reversi dan Soloz: Game of Life. Turut menyokong projek ini ialah pengarah pecah panggung Syafiq Yusof sebagai penerbit, membawa pengalaman dan kepakaran untuk memastikan Malaikat Malam hadir dengan kualiti yang tinggi.  


Sementara itu Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif Filem Malaikat Malam menyatakan “Kami melihat Malaikat Malam sebagai satu usaha untuk mengangkat semula genre pemotoran dengan pendekatan yang lebih kemas dari segi penceritaan dan pembikinan. Kami memberi penekanan kepada disiplin produksi, kekuatan skrip serta pembangunan watak supaya filem ini tidak hanya bergantung kepada aksi semata-mata. Pada masa sama, penting untuk kami memastikan karya ini mempunyai nilai tontonan yang kukuh dan mampu berdiri sebagai sebuah naskhah yang berkualiti dalam landskap industri perfileman tempatan hari ini.”

Tambah Penerbit Eksekutif Bersama Malaikat Malam merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, “Genre pemotoran atau ‘rempit’ sentiasa mendapat tempat di hati penonton tempatan. Melalui Malaikat Malam, kami mempersembahkan versi yang lebih relevan. Filem ini memperlihatkan watak utama lakonan Syafiq Kyle meneruskan legasi watak ikonik ‘mat motor’ dan berpotensi muncul sebagai watak ikon baharu pemotoran. Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama sekali lagi dengan rakan penerbit Viper Studios, Skop Productions, dan Primeworks Studios. Gabungan kreatif ini membolehkan kami mempersembahkan filem penuh adrenalin serta menyentuh sisi kemanusiaan dalam konteks impian, pilihan, dan peluang. Kami yakin elemen tersebut menjadikan filem ini dekat dengan penonton.”

Penerbit Eksekutif Bersama Malaikat Malam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian TV dan Kandungan Media Prima serta Primeworks Studios, Puan Nini Yusof berkata, “Kami percaya Malaikat Malam bukan sahaja menawarkan pengalaman tontonan yang berlainan, malah memberikan dimensi emosi dan penceritaan yang lebih mendalam, sekaligus memperkukuh kedudukan filem tempatan sebagai karya berkualiti dan berdaya saing di pasaran.”

Pengarah, Cerita Asal, Skrip, Nazifdin Nasrudin menyatakan filem ini ingin membawa penonton melihat dunia tersebut dari perspektif yang lebih manusiawi. “Sebagai pengarah, saya ingin membawa Malaikat Malam lebih daripada sekadar filem aksi pemotoran. Bagi saya, cerita ini adalah tentang manusia — tentang pilihan, penyesalan dan harapan untuk berubah. Dunia ‘mat motor’ sering dilihat dari sudut stereotaip, jadi saya cuba mengangkat perspektif yang lebih jujur dan berlapis, supaya penonton dapat memahami apa yang mendorong mereka. Saya juga memberi fokus kepada keseimbangan antara aksi dan emosi, agar setiap babak bukan sahaja mendebarkan, tetapi juga mempunyai jiwa.”


Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna. Ia menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. Namun, apabila dendam lama, pengkhianatan dan tragedi mula menghimpit, Azam terpaksa berdepan dengan realiti yang tidak dapat dielakkan. 

Nantikan filem Malaikat Malam yang temui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac 2026. Gunakan #MalaikatMalam2026 di semua platform digital dan ikuti perkembangan dan info terkini filem di akaun media sosial Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studios. 

‘TARUNG: UNFORGIVEN’ HIMPUNKAN BARISAN PELAKON HEBAT DI GELANGGANG PAWAGAM BERMULA 7 MEI 2026! | Sebuah Filem Dari Pengarah Pecah Panggung, Razaisyam Rashid

Kuala Lumpur, 14 Mac 2026 – Gerbang ke sebuah pertarungan epik bakal bermula di layar perak menerusi filem aksi paling dinantikan 2026, TARUNG: Unforgiven. Taruhan terbaru daripada Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw ini digerakkan oleh sentuhan pengarah Razaisyam Rashid yang sinonim dengan gaya visual dan sinematografi memukau.


Bertempat di MITEC, barisan pelakon utama Tarung: Unforgiven diperkenalkan secara rasmi kepada umum buat pertama kalinya hari ini, menandakan permulaan perjalanan filem ini menuju tayangan di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026. Sebuah video berdurasi 1 minit turut dilancarkan dan bakal ditayangkan secara eksklusif di pawagam seluruh negara. 

Tarung: Unforgiven menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G.


Menurut Pengarah dan Penulis Skrip TARUNG: Unforgiven, Razaisyam Rashid yang juga bertindak selaku Penerbit Eksekutif, “Filem ini berdiri atas kekuatan ‘ensemble cast’ yang membawa tenaga dan lapisan emosi yang saling melengkapi, menjadikan konflik di layar terasa lebih besar dan lebih manusiawi. Tema utama filem ini sebenarnya sangat peribadi, ‘you vs you’. Pertarungan paling sukar bukan menentang musuh di luar, tetapi menentang kelemahan, ego dan ketakutan dalam diri sendiri. Itu yang saya mahu penonton rasa apabila mereka keluar dari pawagam. Dari segi produksi, ini adalah projek paling besar yang pernah kami lakukan. Namun pada masa yang sama, saya membawa pendekatan yang berbeza daripada karya-karya sebelum ini baik dari gaya visual, koreografi aksi, hinggalah cara penceritaan. TARUNG: Unforgiven adalah evolusi kerja saya sebagai pembikin filem.”


Filem ini juga menyaksikan langkah baharu Aedy Ashraf sebagai Penerbit Eksekutif dan Penerbit TARUNG: Unforgiven. “TARUNG: Unforgiven sangat bermakna buat saya kerana projek ini menandakan langkah baharu dalam kerjaya saya, bukan sahaja sebagai pelakon utama tetapi juga sebagai penerbit. Pada usia 33 tahun, mengambil keputusan untuk menerbitkan filem blockbuster sendiri memang satu risiko besar, namun saya melihatnya sebagai evolusi dalam perjalanan saya dalam industri. Melalui syarikat produksi saya, Alpha47, saya kini terlibat secara langsung dalam pembangunan projek, proses produksi dan hala tuju kreatif filem. Bekerjasama dengan salah seorang pengarah terbaik tanah air Razaisyam Rashid juga memberi pengalaman yang sangat mengujakan kerana kami berkongsi visi untuk menghasilkan karya yang kompetitif dan mampu menarik perhatian penonton arus perdana. Bagi saya, TARUNG: Unforgiven adalah permulaan kepada aspirasi jangka panjang untuk membina produksi tempatan yang lebih kuat dan berdaya saing.”


TARUNG: Unforgiven mengisahkan bekas juara silat yang diburu dosa silam selepas berlakunya satu tragedi. Dia terpaksa bertarung di gelanggang haram demi menyelamatkan kakaknya, tanpa menyedari lawan yang menanti ialah orang terdekatnya satu ketika dahulu.

Ikuti perkembangan terbaru dan klip menarik filem ini di semua digital platform Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw. Gunakan #TarungUnforgiven bagi berkongsi dan ikuti keterujaan tentang filem ini.

BORAK SEENI MEMBANTU ASNAF DAN GELANDANGAN

Tuesday, 10 March 2026

Kuala Lumpur, 8 Mac 2026 – Bulan Ramadan bulan yang mulia. Bulan yang digalakkan untuk melakukan amal kebajikan agar dapat memperoleh pahala yang berlipat ganda. Mengambil keberkatan bulan mulia, tahun ini program bual bicara Borak SeeNI sekali lagi turun padang membantu asnaf dan gelandangan di sekitar Chow Kit dengan meneruskan program Bantu SeeNI.

Tahun kedua penganjuran Bantu SeeNI sekali lagi mendapat kerjasama daripada Yayasan JCorp yang turut serta mengagihkan makanan berbuka puasa kepada golongan asnaf dan gelandangan sebagai salah satu usaha untuk meringankan beban serta berkongsi rezeki bersama masyarakat yang memerlukan.

Antara sebahagian golongan asnaf dan gelandangan yang beratur untuk mendapatkan makanan berbuka puasa

Program turut mendapat kerjasama Pertubuhan Jejak Jalanan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diadakan di tempat letak kereta di Chow Kit, Kuala Lumpur. Pengedaran makanan berbuka puasa seperti Nasi Putih Ayam Goreng Kunyit, Nasi Lemak Ayam Berempah, Mini Roti John, kuih Talam, aiskrim dan air diedarkan kepada lebih 250 golongan asnaf dan gelandangan yang tinggal di sekitar kawasan tersebut yang sabar menanti sejak jam 6 petang lagi.


Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Dato’ Mizan Yahya (bertopi) bersama aktivis Abbe Hae dan Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman mengedarkan makanan berbuka puasa kepada kanak-kanak asnaf

Kru Borak SeeNI dan kakitangan Yayasan JCorp turut serta berbuka puasa bersama mereka dan seterusnya menunaikan solat maghrib di bawah khemah yang dibentangkan tikar. Selain pengagihan makanan berbuka puasa, Yayasan JCorp turut mengedarkan beg cenderahati yang mengandungi makanan kering dan care kit yang disampaikan oleh oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Dato’ Mizan Yahya kepada golongan asnaf dan gelandangan disitu. Yayasan JCorp juga menyampaikan sumbangan tunai kepada Pertubuhan Jejak Jalanan yang diwakili oleh aktivis Mohd Azhan Mohd Adnan atau lebih mesra dikenali sebagai Abbe Hae yang sudah turun padang mencurah kudrat dan tenaga membantu golongan ini sejak tahun 2021 lagi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Dato’ Mizan Yahya (bertopi) bersama Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman dan penaja makanan mengedarkan makanan berbuka puasa kepada kanak-kanak asnaf

Program ini turut dihadiri oleh Naib Presiden, Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman bersama pengacara Borak SeeNI, Nazrief Nazri dan Muhsin Nadzli.

Penyerahan sumbangan wang tunai dari Yayasan JCorp yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Dato’ Mizan Yahya kepada Pertubuhan Jejak Jalanan yang diwakili oleh aktivis Abbe Hae

Program diteruskan dengan solat Isyak dan terawih secara berjemaah dan seterusnya penyediaan makanan moreh dengan sajian seperti kuih putu mayam dan KFC yang pasti membawa keceriaan terutama kepada kanak-kanak disitu.

Pengacara Borak SeeNI, Muhsin Nadzli dan Nazrief Nazri turut serta mengedarkan makanan dan air kepada golongan asnaf dan gelandangan

Menurut Naib Presiden, Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman, “Ini adalah tahun kedua Borak SeeNI menganjurkan Bantu SeeNI dengan kerjasama Yayasan JCorp dan Pertubuhan Jejak Jalanan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diharap dapat menyemai semangat keprihatinan dan kebersamaan bagi membantu insan yang kurang bernasib baik dan Bantu SeeNI adalah satu medium CSR bagi kami di Borak SeeNI untuk menyantuni mereka yang memerlukan. Kami menyokong usaha yang dilakukan oleh Abbe Hae yang tidak putus asa membantu kanak-kanak asnaf dan gelandangan disini melalui pendidikan agar mereka dapat meningkatkan taraf kehidupan dan dalam masa yang sama ingin memutuskan rantaian kemiskinan yang membelenggu kebanyakan penghuni di Chow Kit ini”.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Dato’ Mizan Yahya dan Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Datin Norashikin Habibur Rahman bersama aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Abbe Hae dan hos Borak SeeNI, Nazrief Nazri serta Muhsin Nadzli dan barisan sukarelawan dari Yayasan JCorp, KPJ Healthcare dan kru Borak SeeNI

Program ini turut mendapat sokongan daripada para sukarelawan daripada Yayasan JCorp, KPJ Healthcare dan Pertubuhan Jejak Jalanan serta wakil daripada penaja makanan seperti Mommypuff, Hotel Maya, Penginfak Program Jom Jariah Ramadan IKAT (JIRIKAT), Reetz Roti John, Kak Tie Talam Gedik dan Haziq Food Food Industries yang turut serta membantu proses penyediaan dan pengagihan makanan.

Melalui penganjuran program sebegini secacara tidak langusng dapat memperkukuhkan lagi sifat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat khususnya mereka yang memerlukan.

PELAKON ‘MALAIKAT MALAM’ KONGSI KASIH RAMADAN BERSAMA KOMUNITI PERSATUAN ORANG BUTA MALAYSIA | Gandingan Mantap Syafiq Kyle, Tracie Sinidol, Que Haidar Di Pawagam Syawal Ini 

Kuala Lumpur, 6 Mac 2026 – Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, barisan pelakon dan tenaga produksi filem Malaikat Malam menganjurkan majlis berbuka puasa dengan meraikan 35 orang tetamu daripada Persatuan Orang Buta Malaysia. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial pihak penerbit dalam menyantuni komuniti OKU penglihatan, selari dengan semangat Ramadan yang menggalakkan amalan berkongsi rezeki dan menyebarkan kebaikan

Pemilihan komuniti ini juga bersifat simbolik, bertepatan dengan watak Ratna dalam Malaikat Malam yang merupakan seorang gadis buta. Ia sekaligus mencerminkan nilai empati, kasih sayang dan kepekaan yang menjadi teras penceritaan filem ini, bukan sahaja di layar perak tetapi turut diterjemahkan dalam bentuk inisiatif yang bermakna kepada masyarakat.

Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi penyampaian duit raya kepada para tetamu sebagai tanda ingatan dan sokongan. Suasana menjadi lebih bermakna apabila barisan pelakon dan tenaga produksi meluangkan masa beramah mesra dan berinteraksi dalam suasana santai dan penuh kemesraan.

Turut hadir meraikan adalah Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf, Riezman Khuzaimi, Pengarah Nazifdin Nasrudin. 

Menurut Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengerusi Skop Productions dan Penerbit Eksekutif Filem Malaikat Malam, “Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, kami amat berbesar hati dapat menganjurkan majlis berbuka puasa bersama komuniti orang buta pada hari ini. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak NGO serta semua tetamu yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama dengan kami dalam majlis yang cukup bermakna ini.

Inisiatif ini selari dengan mesej yang dibawakan menerusi filem Malaikat Malam, yang menekankan nilai penerimaan, empati dan kekuatan melihat dengan hati, bukan sekadar dengan mata. Kami percaya setiap individu berhak dihargai, diraikan dan diberikan ruang yang sama dalam masyarakat. Semoga pertemuan ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi langkah kecil ke arah membina komuniti yang lebih inklusif, prihatin dan saling menyokong antara satu sama lain.

Kami juga mengharapkan ia dapat memantapkan lagi hubungan sesama kita baik sebagai rakan sekerja, sahabat handai dan seterusnya sesama kita sebagai Khalifah di atas muka bumi ini untuk bekerja bersama-sama memakmurkan bumi ALLAH SWT dengan penuh keikhlasan. Sesungguhnya segala kebaikan dan kesempurnaan itu datang dari ALLAH SWT dan segala kekurangan serta kelemahan itu datang dari kita sebagai manusia biasa.”

Penerbit Eksekutif Malaikat Malam dan juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Majlis hari ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial kami dalam memastikan mesej positif yang dibawa oleh Malaikat Malam tidak hanya dipersembahkan di layar perak, tetapi turut diterjemahkan melalui inisiatif yang bermakna kepada masyarakat. Dengan menyantuni golongan kurang upaya dari Persatuan Orang Buta Malaysia, majlis ini menjadi satu pengalaman yang unik, penuh refleksi dan sarat dengan nilai empati, selari dengan semangat Ramadan yang menggalakkan kita berkongsi rezeki serta berbuat kebaikan. 


Kami berharap detik kebersamaan ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada para tetamu, tetapi turut meninggalkan kesan emosi yang tulus, sekali gus memperkukuh peranan filem sebagai medium hiburan yang berjiwa, bertanggungjawab dan memberi inspirasi kepada masyarakat.”

Penerbit Eksekutif Bersama Malaikat Malam dan juga Ketua Pegawai Eksekutif, Kandungan dan Rangkaian Televisyen Media Prima serta Primeworks Studios, Puan Nini Yusof, berkata, “Sebagai antara peneraju industri kandungan tempatan, Primeworks Studios sentiasa komited menyokong penghasilan filem berkualiti tinggi yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga membawa nilai dan mesej yang bermakna kepada penonton. Inisiatif bersama komuniti Persatuan Orang Buta Malaysia ini mencerminkan nilai empati dan kemanusiaan yang turut menjadi nadi kepada penceritaan Malaikat Malam. Kami berharap filem ini bukan sahaja memberi pengalaman tontonan yang menyentuh emosi, malah terus memperkukuh peranan filem tempatan sebagai karya yang berkualiti dan memberi impak kepada penonton."


Filem Malaikat Malam merupakan terbitan empat penerbit terkenal, Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios, yang kini bersedia menemui penonton di pawagam Syawal ini bermula 26 Mac 2026. 

Menambah kekuatan naskhah ini, Syafiq Yusof yang terkenal dengan deretan filem pecah panggung, menggalas peranan sebagai penerbit Malaikat Malam, sekali gus memperkukuh nilai produksi dan skala penceritaan filem ini. Dari segi pengarahan, filem ini diterajui oleh Nazifdin Nasrudin dan ini merupakan filem arahan pertamanya.


Naratif filem ini digerakkan oleh keserasian lakonan Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol, disokong oleh barisan pelakon berpengalaman seperti Que Haidar dan Riezman Khuzaimi bersama pelakon berbakat besar termasuk Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin dan Akmal Asyraf. 

Malaikat Malam mengisahkan perjalanan hidup seorang ‘mat motor’ bernama Azam yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta, Ratna dan menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya. 

Dalam pada itu, pasukan Malaikat Malam bersama penyanyi berkumpulan popular, Alpha turut menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial dengan mengedarkan makanan dan minuman kepada pemandu yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya pada 3 Mac lalu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Filem Malaikat Malam akan temui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac 2026. Gunakan #MalaikatMalam2026 di platform digital. Ikuti perkembangan terkini dan info menarik tentang Malaikat Malam di semua platform Skop Productions, Astro Shaw, Primeworks Studio. 

ASTRO MERAIKAN SYAWAL DENGAN KANDUNGAN YANG MENGERATKAN KELUARGA, MENYEMARAKKAN KEBERSAMAAN | Semangat kebersamaan menjadi cerminan iklan Raya ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’

Kuala Lumpur, 5 Mac 2025 – Sempena Syawal yang meraikan erti kebersamaan, Astro, peneraju industri hiburan di Malaysia, tampil dengan pelbagai sajian Raya yang segar dan menyeluruh merentasi televisyen, radio serta platform digital. Berlandaskan tema ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’, rangkaian kandungan istimewa tahun ini direka untuk menghidupkan detik berkumpul, menghadirkan cerita, muzik dan hiburan yang menyatukan emosi penonton, bila-bila masa, di mana sahaja, sepanjang musim perayaan.

Tahun ini, Astro menonjolkan sentuhan fesyen tempatan dengan kolaborasi bersama Novak Batik bagi menghasilkan visual Raya yang memadukan keindahan batik klasik dengan rekaan kontemporari. Sentuhan ini bukan sahaja menyerlahkan warisan budaya Malaysia, tetapi juga menguatkan mesej kempen ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’, bahawa setiap perayaan lebih bermakna apabila tradisi dan kreativiti disatukan, mencipta pengalaman Raya yang indah, meriah dan dekat di hati setiap penonton.

Filem pendek Raya Astro tahun ini meneruskan tradisi iklan Raya tahunan dengan menampilkan elemen klasik seperti panjut Raya dan usung rumah, menekankan bahawa Raya menjadi lebih meriah bila diraikan bersama. Iklan ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’ mengisahkan persaingan lucu antara Samad (Adlin Aman Ramlie) dan Razak (Faizal Hussein) yang berlumba menyiapkan pelita panjut sehingga tanpa sedar memecahbelahkan komuniti kampung, sebelum menyedari bahawa semangat Aidilfitri sebenar adalah kebersamaan. Hasil pengarahan Hyrul Anuar (Think Tank), iklan 15 minit ini turut diserikan oleh selebriti popular termasuk Bell Ngasri, Noryn Aziz, Azhan Rani, Sharifah Shahirah, Auddra, ALPHA dan ramai lagi.

Bukan itu sahaja, Astro turut mempersembahkan lagu Raya istimewa hasil kerjasama bersama Rocketfuel, sebagai teman rakyat Malaysia sepanjang Ramadan dan Syawal. Antara lagu-lagu yang dinanti-nantikan termasuk Rindu Raya oleh ALPHA yang disokong oleh Vida Malaysia, Bath & Body Works & Shell Malaysia, Kampung Kita oleh Wani Kayrie yang disokong oleh KFC Malaysia & Lepas, Duit Raya oleh Sharul Kamal dan Mierul Aiman yang disokong oleh UMobile, Lagu Raya Untukmu oleh Hael Husaini, Restu Raya oleh Nadeera, Senyum Gugur di Penghujung Doa oleh Dayang Nurfaizah yang disokong oleh Umobile, serta kolaborasi sulung Hael Husaini bersama ALPHA dalam lagu Raya Macam Raya yang disokong oleh Vida Malaysia & Daikin, semuanya menjadi santapan muzik Raya yang meriah.


“Raya merupakan musim yang meraikan kebersamaan dan kegembiraan, dan pada tahun ini ia membawa makna yang lebih mendalam,” kata Azlin Reza Azmi, Naib Presiden, Melayu, Antarabangsa, Kanak-Kanak & On Demand, Astro. “Menerusi rangkaian tawaran kandungan, lagu-lagu perayaan serta pelaksanaan inisiatif komuniti, kempen ini menekankan nilai hubungan, keharmonian dan detik-detik bermakna yang menjadi teras sambutan Raya. Semangat ini turut dizahirkan melalui filem Raya kami yang menghidupkan cogan kata kempen, di samping kolaborasi strategik bersama Novak Batik yang menggabungkan seni tradisional dengan pendekatan kontemporari. Kami berharap para penonton dapat menikmati tawaran Raya Astro tahun ini bersama insan tersayang kerana ‘Bila Bersama, Lagi Jadi’. Astro mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua.”

Sorotan Kandungan Raya 2026 di Platform Astro

Platform Televisyen

• Astro mempersembahkan 16 buah telefilem khas Raya, menemui penonton bermula 1 Syawal ini. Bersiaran menerusi Astro Ria (saluran 104), barisan telefilem Raya kali ini tampil dengan kepelbagaian genre daripada drama kekeluargaan, komedi menghiburkan hinggalah kisah inspirasi yang menyentuh emosi. 

Antara yang menjadi tumpuan ialah Dia Bukan Syurga Raya, spin-off megadrama popular yang mengisahkan dua beradik, Tajul & Arham yang jatuh cinta pada wanita yang sama, Nuha. Lakonan Nizam Zaidi, Ezzanie Jasny & Nazim Othman. Turut mencuri perhatian, Kerikil Depan Rumah, sebuah kisah tragik tentang pasangan suami isteri yang terperangkap dalam trauma selepas jenayah kejam menimpa si isteri, lakonan Diana Danielle dan Amir Ahnaf. 

Bagi yang gemarkan hiburan ringan dan mencuit hati, Raya Jujur Je menyajikan komedi keluarga penuh gelak tawa, menampilkan Oddah, Sharifah Shahira dan Ijoy sekeluarga buat pertama kali di layar kaca. Seven Untuk Suci, debut istimewa Kumpulan Alpha yang tampil buat pertama kali dalam sebuah telefilem; Oh Cerewetnya Datin membawa kisah komedi kekeluargaan tentang seorang isteri yang terpaksa berdepan ibu mentua yang sangat cerewet dan menguji kesabaran, lakonan Zarina Zainuddin dan Qasrina Karim. 

Rumah Tanpa Luka Raya, menyambung kesinambungan kisah cinta yang teruji akibat sihir pemisah, dibintangi Syukri Yahya, Nadhir Nasar dan Erysha Emira; Resepi Magis Bonda, kisah seorang baker moden yang kembali menghargai warisan tradisi, serta Kasihnya Ibu, sebuah telefilem menyentuh hati tentang penyesalan anak-anak yang tidak pernah menghargai pengorbanan seorang ibu.

• Astro Prima (saluran 105) turut memeriahkan Syawal dengan seleksi telefilem penuh emosi dan komedi, membawakan kisah-kisah dekat di hati yang sarat dengan nilai kekeluargaan, keinsafan dan gelak tawa seperti Doa Sang Pendosa, menampilkan tiga kisah berbeza tentang tiga wanita di pusat serenti yang cuba berubah menjelang Aidilfitri, dibintangi Datuk Hajah Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad dan Nadia Aqilah. Antara Dua Takbir mengangkat kisah kehilangan tidak dijangka dalam sebuah keluarga menjelang Aidilfitri, lakonan Nabila Huda. Lembayung Jiwa pula menyentuh perasaan dengan kisah pengorbanan seorang ibu demi menyelamatkan masa depan anaknya, lakonan Fattah Amin dan Emma Maembong. 

Sebatas Waktu mengupas konflik adik-beradik yang tercetus hanya kerana sebuah telefon bimbit, menampilkan Nad Zainal dan Shafie Naswip. Menantu Mentua Pujaan menyajikan komedi segar tentang seorang bapa mentua yang terkena ‘sihir’ selepas menikmati kuih raya menantunya, lakonan Datuk Jalaluddin Hassan dan Sherry Al Hadad. Lawak Nak Mati membawa komedi bittersweet tentang persahabatan dan kehilangan, menampilkan Kumpulan Roda Fad, Naqiu dan Shariff. Tidak ketinggalan, 3 Andartu Cancel Raya memaparkan kisah tiga wanita yang masih belum bertemu jodoh dan cuba ‘mensabotaj’ sambutan Aidilfitri di kampung mereka kerana sering berasa terpinggir, lakonan Datuk AC Mizal, Maryam, Zulin Aziz dan Naz Sally manakala Raya Rumah Mami menjanjikan komedi kekeluargaan apabila sebuah keluarga di Pulau Pinang, terkejut apabila mengetahui menantu baharu mereka adalah seorang lelaki berbangsa Tionghoa, tetapi akhirnya belajar meraikan perbezaan dua budaya. Lakonan Rozita Che Wan, Farouq Hussain, Sean Lee serta juara Dewi Remaja, Nylea Adzlan. Pelbagai cerita. Pelbagai rasa. Inilah Syawal penuh warna di Astro Prima.

• 4 buah drama turut diteruskan daripada barisan drama Ramadan Raya Astro tahun ini, memaparkan kisah komedi, emosi dan keluarga, termasuk musim kedua karya popular Siti Rosmizah iaitu Andai Itu Takdirnya 2; drama tentang pertembungan akidah, pengkhianatan dan keruntuhan iman, menampilkan lakonan hebat Sharifah Sakinah, Aidil Aziz dan Trisha Ooi menerusi Sujud Terakhir Encik Norman, serta komedi dalam Keluarga Iskandar 3 yang kembali selepas 11 tahun. 

Menerusi Astro Prima pula adalah Mencari Isteri Sempurna mengisahkan apabila kesempurnaan menjadi obsesi, realiti yang pahit menanti. Sebuah drama penuh konflik dan emosi daripada penulis hebat iFAME dan Oka Aurora, dan Kisah Bawah Tanah, sebuah siri animasi komedi terbaharu untuk seisi keluarga yang mengisahkan makhluk halus dari lagenda dan cerita rakyat yang tiba-tiba bertembung dengan kekecohan dunia moden. 

Menggabungkan unsur mitos, humor slapstik dan situasi kontemporari, siri eksklusif Astro ini membawa legenda lama hidup semula dengan cara yang kelakar, segar dan menghiburkan seisi keluarga.

• Manakala program variasi, hiburan dan komedi pula membawakan barisan rancangan istimewa yang menjanjikan kemeriahan sepanjang musim perayaan, termasuk siaran konsert berskala besar seperti Konsert GenKRU, kemunculan semula kumpulan legenda KRU yang mencetus fenomena, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella 2026 yang meraikan perjalanan karier Ella sambil menyokong inisiatif kebajikan; Sembilu The Reunion Live In Concert, himpunan tiga figura hebat Dato Awie, Erra Fazira & Ziana Zain di atas satu pentas. 

Turut memeriahkan sambutan ialah Gegar Vaganza Raya Special yang menghimpunkan barisan GV12 dengan nostalgia dan lagu Raya, serta Bombastika Raya dan MeleTOP Raya yang menjanjikan hiburan, gelak tawa dan kiraan detik Syawal bersama barisan hos popular. Selain itu, Talk To My Manager Raya tampil dengan edisi kekeluargaan penuh nostalgia dan persembahan muzikal, manakala Dapur Bapak-Bapak Raya menggabungkan legenda kulinari dalam masakan Raya bersama anak yatim, menyemai semangat berkongsi. 

Melengkapkan tawaran ialah Misi Lawak Superstar, siri realiti komedi pengembaraan penuh cabaran dan humor spontan, serta Budak GenZI, program travel gaya hidup yang mengikuti empat rakan Gen Z meneroka pengalaman baharu sambil menonjolkan nilai persahabatan, keberanian dan kepercayaan. Kesemuanya boleh ditonton secara On Demand di Astro GO dan sooka.

• Peminat sukan turut disajikan dengan program sukan khas Raya di Astro Arena (Saluran 801), termasuk Nadi Khas Projek Ramadan yang memaparkan persiapan bekas atlet menjelang Syawal, serta Nadi Arena Raya 1 dan Nadi Arena Raya 2 yang menampilkan sambutan Syawal dalam kalangan atlet negara. Dalam semangat Aidilfitri, Astro Arena turut mempersembahkan Arena Ketupat Rendang, sebuah program khas yang menggabungkan elemen hiburan Raya, bola sepak dan talkshow dalam satu crossover istimewa membabitkan dunia Bola Dulu Baru Kamu, Bola Itu Life, Borak Borak Botak dan Berbulu with Burn. Berlatar suasana open house yang meriah, program ini menyatukan hos Nafis ‘Abang Botak’ dan Faiz Gurun bersama barisan legenda serta personaliti seperti Zaquan Adha, Safee Sali, Datuk Zainal Abidin Hassan dan lain-lain dalam sesi borak bola, permainan Raya dan perkongsian kisah eksklusif, penuh nostalgia, gelak tawa dan energi perayaan.

• Untuk pengalaman pawagam terus ke rumah anda, Astro First (saluran 480) mempersembahkan filem animasi pecah panggung, Papa Zola The Movie, sebuah aksi komedi pengembaraan mengenai seorang bapa yang kembali terlibat dengan organisasi rahsia bagi menyelamatkan anaknya daripada ancaman makhluk asing, bermula 19 Mac 2026. Selain itu, Abah Saya Uncle Mike turut disajikan sebagai drama kekeluargaan yang menyentuh perasaan tentang tiga beradik yatim piatu yang menemukan erti sebenar keluarga bersama seorang lelaki yang berhati mulia, tersedia untuk dilanggan bermula 2 April 2026.

• Manakala peminat filem boleh menyaksikan dua naskhah terbaharu Astro Shaw di pawagam sempena musim perayaan ini, iaitu Malaikat Malam (26 Mac 2026), sebuah filem aksi romantik arahan Nazifdin Nasrudin yang dibintangi Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol, mengisahkan perubahan hidup seorang ‘mat rempit’ selepas terlibat dalam satu insiden tidak dijangka; serta Mikael: Pemburu Dua Alam (2 April 2026) arahan Zahir Omar, yang menampilkan Dato’ Remy Ishak dalam sebuah aksi thriller supernatural mengenai seorang anggota polis merangkap pemburu jin yang berdepan ancaman makhluk ghaib.

Platform Digital

• Astro Gempak turut menampilkan barisan kandungan khas Raya yang menggabungkan elemen hiburan, gaya hidup dan pengalaman perayaan. Antara sorotan termasuk Travel Balik Utara, sebuah siri road trip Aidilfitri yang mengikuti perjalanan santai penuh warna ke Ipoh; Gempak Most Wanted Raya, edisi istimewa berkonsepkan rumah terbuka yang menampilkan perkongsian cerita Raya serta persembahan eksklusif artis jemputan; serta musim terbaharu Sayang Ajar Masak Raya, yang membawakan cabaran memasak interaktif dan menghiburkan dalam suasana Raya. Kesemua kandungan ini menawarkan pengalaman tontonan yang segar, santai dan dekat dengan sambutan Aidilfitri masa kini.

Platform Radio

• Astro Audio menyemarakkan sambutan Aidilfitri menerusi pelbagai inisiatif di setiap jenama radio yang mendekatkan pendengar dengan kemeriahan Raya. ERA membawakan Kenduri Raya ERA sebagai acara rumah terbuka tahunan bersama artis dan pendengar, manakala SINAR menerusi Raya di Pejabat memberi peluang pejabat terpilih menerima kunjungan Gen SINAR Pagi. THR GEGAR pula menawarkan pengalaman membeli busana Raya bersama penyampai melalui Kurung Raya THR GEGAR, sementara ZAYAN menghadiahkan persiapan barangan Raya menerusi Troli Raya. Di Sabah dan Sarawak, ERA turut menampilkan inisiatif khas termasuk peluang beraya di rumah artis menerusi ERAya Macam Disabah serta kempen muzik Raya berunsur lokal yang meraikan keunikan komuniti setempat dalam Kiak Kaung Aiditfitri Special.

• Selain itu, Astro Audio juga buat julung kalinya melancarkan sebuah lagu raya khas berjudul Inilah Raya, menampilkan hampir 20 penyampai radio daripada rangkaian stesen Melayu iaitu ERA, ERA Sabah, ERA Sarawak, SINAR, THR GEGAR dan ZAYAN.

Tawaran dan Perkhidmatan Astro

Tawaran untuk Pelanggan Astro

• Bagi mereka yang ingin menyaksikan kandungan-kandungan istimewa Raya Astro 2026, langgani Pek Astro One bermula dari RM49.99*, memberikan pengalaman strim mudah dan hiburan tanpa batas. Pelanggan yang berminat untuk melanggan Astro One boleh layari astro.com.my atau hubungi Astro melalui WhatsApp di 03 9543 3838.

• Kongsikan kemeriahan Raya bersama rakan dan keluarga menerusi pelekat Raya eksklusif tahun ini di WhatsApp, yang menampilkan mesej ringkas dan comel daripada duta serta bakat Ramadan Tawaran dan Perkhidmatan Astro Raya Astro. Pelekat ini boleh dimuat turun melalui aplikasi MyAstro.

Tanggungjawab Sosial Korporat

Susulan pengagihan pek keperluan (carepacks) di Assalamualaikum Terengganu pada bulan lalu, Astro turut meneruskan inisiatif Kami Care Bubur Lambuk di tiga lokasi terpilih. Program ini telah berlangsung di Bazar Ramadan Telawi, Bangsar pada 23 Februari dan akan diteruskan di Bazar Ramadan Jalan Raja Uda, Kampung Baru pada 1 Mac. Menerusi inisiatif ini, Astro Audio bersama para penyampai radio akan mengagihkan bubur lambuk kepada para pengunjung sebagai tanda penghargaan serta menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan.

Sebagai kemuncak, program ini bakal menghimpunkan kesemua 13 stesen Astro Audio dalam satu acara khas yang dijadualkan berlangsung di sebuah masjid di Bangi, Selangor pada penghujung Ramadan ini.

*Tertakluk pada terma dan syarat