LIRIK LAGU DENDAM - FIRDAUS RAHMAT
Wednesday, 8 October 2025
‘DENDAM’– PERGELUTAN JIWA MENUJU KEINSAFAN | KISAH LUKA DAN REDA DISULAM DALAM BALADA TERBAHARU FIRDAUS RAHMAT
Kuala Lumpur, 8 Oktober 2025 – Penyanyi dan komposer berbakat, Firdaus Rahmat, kembali dengan single terbaharunya berjudul Dendam, sebuah balada sarat emosi yang menyingkap sisi kemanusiaan dan pergelutan dalaman antara marah, kecewa dan keikhlasan.
Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Firdaus sendiri daripada melodi hingga ke lirik, menjadikan Dendam sebuah karya yang sangat peribadi dan dekat di hati. Dengan susunan muzik yang segar serta lirik yang mendalam, lagu ini mengajak pendengar menyelami rasa dendam yang akhirnya terlerai melalui keinsafan dan penyerahan kepada Tuhan.
“Dendam adalah keinginan membalas sifat buruk seseorang terhadap kita, namun akhirnya kita sedar hanya Tuhan yang berhak menentukan penghakiman sebenar,” katanya yang turut berperanan sebagai komposer lagu ini.
Berbeza daripada karya-karya sebelumnya, Dendam menonjolkan sisi vokal Firdaus yang lebih matang dan berani bereksperimen. “Lagu ini mencabar dari segi lontaran dan teknik nyanyian. Untuk menyeimbangkan rasa, ton suara dan teknik adalah sesuatu yang mencabar bagi saya yang jarang menyanyikan lagu balada sebegini. Tapi saya percaya ton suara boleh memberi impak besar dalam menyampaikan emosi sebenar lagu ini,” ujar beliau lagi.
Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar dua minggu, manakala sesi rakaman berlangsung selama tiga jam merupakan satu proses yang penuh intensiti.
Firdaus turut berkongsi pengalaman menarik di studio. “Saya sempat berehat seketika di pertengahan rakaman kerana emosi dan tenaga yang diperlukan untuk menyampaikan lagu ini agak berat. Namun saya teruskan kerana saya mahu lagu ini disampaikan dengan jujur dan sepenuh hati,” jelasnya.
Dari segi penceritaan, Dendam mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat yakni pergelutan antara amarah dan keinsafan, keinginan untuk membalas namun akhirnya menyerah pada takdir keadilan Ilahi. Ia bukan sekadar sebuah lagu balada, tetapi juga sebuah renungan diri.
Menerusi karya ini, Firdaus Rahmat membuktikan kemampuan dirinya bukan sahaja sebagai penyanyi berbakat, tetapi juga komposer dan penulis lirik yang mampu mencipta karya yang berjiwa, matang dan bermakna.
Lagu Dendam juga merupakan runut bunyi (OST) bagi drama Takdir Cinta Terlarang di slot Akasia TV3, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify.
Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
‘MENGUKIR TAKDIR’ PAPAR REALITI JIWA PERJUANGAN DAN HARAPAN
Saturday, 4 October 2025
LAHIR SEIRING MISI THE HELMIS DALAM GLOBAL SUMUD FLOTILLA KE GAZA - ‘MENGUKIR TAKDIR’ PAPAR REALITI JIWA PERJUANGAN DAN HARAPAN
Kuala Lumpur, 4 Oktober 2025 – Nama pasangan adik-beradik, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi tidak asing lagi dalam industri muzik tanah air. Terbaharu, mereka tampil dengan single berjudul Mengukir Takdir, hasil ciptaan komposer prolifik, Wan Saleh bersama Hazwani Helmi sendiri. Lagu ini turut menampilkan sentuhan susunan muzik dan terbitan penuh oleh Wan Saleh di bawah kerjasama Alternate Records & Talents.
Mengukir Takdir membawa mesej ketabahan, kekuatan dan kebergantungan kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian hidup. Inspirasi lagu ini lahir bukan sahaja daripada semangat perjuangan saudara di Gaza, tetapi juga sebagai peringatan bahawa setiap insan adalah pejuang dalam kisah hidup masing-masing.
Menurut Heliza dan Hazwani, pemilihan mereka untuk menyanyikan lagu ini adalah suatu penghargaan yang besar. “Kami bersyukur kerana dari awal perbincangan bersama pasukan Alternate, wujud keserasian yang akhirnya membawa kepada cadangan untuk bekerjasama dengan Wan Saleh. Beliau pernah bekerja dengan kami sebelum ini, jadi beliau lebih mengenali cara nyanyian kami. Dari situlah lahirnya Mengukir Takdir, sebuah karya yang cukup mencabar tetapi penuh makna,” jelas mereka.
Proses rakaman lagu ini mengambil masa yang agak intensif. “Rakaman demo memakan masa sekitar lima jam, begitu juga dengan rakaman akhir. Cabarannya adalah kerana Mengukir Takdir merupakan sebuah lagu yang ‘besar’ berbanding karya kami sebelum ini. Ia menuntut teknik vokal yang tinggi, pelbagai lapisan suara termasuk koir, serta elemen Arab. Alhamdulillah dengan bimbingan guru vokal dan tunjuk ajar Wan Saleh, kami berjaya merealisasikan apa yang dirancang,” tambah Heliza dan Hazwani lagi.
Bagi mereka, kelainan utama lagu ini adalah gabungan genre dan jiwa yang kuat. Pertukaran vokal antara mereka berdua, bersama elemen koir dan Arab, malah menjadikan Mengukir Takdir sebuah eksperimentasi muzik yang segar.
“Walaupun ilham asalnya tentang Gaza, lirik lagu ini sebenarnya boleh dihayati dalam pelbagai sudut. Ada yang mengaitkannya dengan perjuangan Rasulullah SAW, ada yang teringat keluarga, kisah hidup sendiri atau ujian wanita di luar sana. Apa pun tafsirannya, kami berharap lagu ini menyentuh hati pendengar dengan izin Allah,” ujar mereka dengan penuh pengharapan.
Mengukir Takdir juga menandakan single pertama kerjasama Heliza & Hazwani Helmi serta Alternate Records & Talents. Mereka optimis akan lahir lebih banyak karya bersama pada masa akan datang.
TV3 & ALTERNATE RECORDS GONDOL DUA ANUGERAH ANTARABANGSA DI CONTENTASIA AWARDS 2025!
Friday, 5 September 2025
TV3 & ALTERNATE RECORDS GONDOL DUA ANUGERAH ANTARABANGSA DI CONTENTASIA AWARDS 2025! | ‘Hening Rindu’ dan ‘Fail Mahkamah’ Bawa Pulang Anugerah Gold dan Silver!
Bangsar, 5 September 2025 – TV3 dan Alternate Records sekali lagi membuktikan keunggulan sebagai peneraju industri muzik kreatif dan kandungan negara apabila berjaya merangkul dua anugerah berprestij di pentas antarabangsa, ContentAsia Awards 2025, yang berlangsung meriah di Taipei pada 4 September 2025.
Momen penuh kebanggaan ini diraikan apabila lagu popular “Hening Rindu” nyanyian Marsha Milan yang merupakan runut bunyi rasmi drama Aku Bukan Ustazah di Slot Akasia TV3, diumumkan sebagai Gold Award bagi kategori Best Sound Design Created in Asia for an Asian TV Programme/Series.
Kemenangan ini menobatkan “Hening Rindu” – ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh dengan lirik oleh Ikhwan Fatanna – sebagai karya bertaraf antarabangsa, sekali gus mengangkat nama Malaysia sebaris dengan pencalonan hebat lain dari seluruh Asia. Awal tahun ini, “Hening Rindu” juga telah diangkat sebagai juara di Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL 39), menjadikannya bukan sahaja pemenang anugerah muzik paling berprestij di tanah air, malah kini turut mendapat pengiktirafan juri antarabangsa.
Gabungan melodi yang menyentuh jiwa, susunan bunyi yang penuh emosi serta padanan sempurna dengan jalan cerita menjadikan lagu ini elemen penting dalam kejayaan dramatik siri drama tersebut. Pengiktirafan di ContentAsia Awards 2025 ini sekali gus membuktikan mutu karya tempatan mampu berdiri sama tinggi, bahkan setanding dengan produksi antarabangsa.
Antara pencalonan lain dalam kategori ini termasuk, Bad Guys (Vidio, BASE Entertainment, CJ ENM Hong Kong Limited), Furever Yours (Mediacorp Pte Ltd), Karuvanam (Mediacorp Pte Ltd / Storybots Asia), Lamput Season 4 - Boss On The Moon (Warner Bros. Discovery) dan Shape of Love (Hakka TV / LUMINOSO FILM CO., LTD).
Anugerah ini diterima oleh Puan Shahila Shah, Pengurus Besar Kanan, Filem, Muzik & Produksi Dalaman, Media Prima Television Networks, bagi pihak produksi. Mengulas mengenai kemenangan ini, Shahila berkata, “‘Hening Rindu” bukan sahaja menyentuh jiwa penonton di Malaysia, malah kini berjaya diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini membuktikan bahawa karya tempatan, khususnya terbitan Alternate Records, mampu menembusi persaingan serantau serta meraih pengiktirafan dunia. Kami amat berbangga kerana pencapaian ini lahir daripada dedikasi serta semangat karyawan tempatan yang sentiasa memberikan yang terbaik.”
‘ANGKASA’ – BALADA ROMANTIK PUISI DUA DUNIA OLEH KAEL
Monday, 21 July 2025
‘ANGKASA’ – BALADA ROMANTIK PUISI DUA DUNIA OLEH KAEL | Sentuhan Eksklusif Kael, Omar K dan Iqie Hugh
Penyanyi berbakat besar, Kael, kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan single keempatnya bersama Alternate Records berjudul ‘Angkasa’, sebuah karya balada pop moden yang menyentuh perasaan, hasil kolaborasi kreatif bersama komposer terkenal Omar K dan penerbit muzik berbakat, Iqie Hugh.
‘Angkasa’ bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi sebuah manifestasi emosi dua jiwa yang mencintai namun terpisah oleh realiti yang berbeza – ibarat siang dan malam yang berkongsi langit yang sama. Diilhamkan oleh konsep cinta dua dunia, ‘Angkasa’ merangkumi tema kesetiaan, harapan dan keindahan dalam ketidaksempurnaan.
“Mesej utama lagu ini adalah tentang kepercayaan terhadap cinta yang tulus walaupun berada dalam situasi yang tidak ideal. Jika cinta itu ikhlas dan kuat, mereka tetap bersatu secara emosi dan spiritual di ‘Angkasa’ yang sama,” jelas Omar K, yang turut mencipta melodi indah dan puitis lagu ini bersama Kael dan Iqie Hugh.
Keunikan ‘Angkasa’ terletak pada susunan muziknya yang minimal tetapi sarat emosi, membolehkan vokal Kael menyerlah dengan penuh nuansa. Melodinya yang tidak konvensional – lembut tetapi kuat, sedih namun penuh harapan, menambahkan elemen dramatik yang sinematik dan atmospherik.
Dengan genre pop balada moden yang digabungkan dengan elemen elektronik minimal dan atmosferik, ‘Angkasa’ memberi rasa ‘ethereal’ yang melambangkan kebebasan emosi di langit luas. Lirik-lirik seperti : “Walau Bulan Dan Matahari Berbeza, Kau Pagi Dan Ku Malam, Tetap Di Angkasa Yang Sama…” menjadi puisi cinta moden yang mampu meresap ke jiwa pendengar.
Kael yang juga terlibat secara menyeluruh dalam penulisan, gubahan dan pembangunan visual untuk ‘Angkasa’ meluahkan rasa terharu. “Lagu ini sangat peribadi. Ia menonjolkan sisi saya yang sebenar dan paling tulen. Salah satu cabaran adalah untuk mencari perkataan yang tepat dari dalam hati sendiri dan membentuknya menjadi melodi yang puitis dan bermakna.”
Tambahnya lagi, ‘Angkasa’ merupakan sebuah lagu cinta paling romantis dalam zaman ini, dihasilkan dengan niat untuk menyentuh hati para pendengar. “Romantis itu tidak boleh dipalsukan. Lagu ini saya dedikasikan kepada semua pasangan, sahabat dan pencinta. Ia sesuai dimainkan dalam majlis perkahwinan, ulang tahun, video istimewa, malah hanya untuk menyatakan betapa kita menghargai seseorang yang kita cintai.”
Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar tiga bulan, termasuk penulisan, susunan muzik dan rakaman vokal. Sesi rakaman vokal utama Kael pula hanya mengambil masa satu hari, hasil kerjasama yang cemerlang antara artis dan penerbit. Omar K mengakui Kael sebagai artis yang amat profesional, bersedia dan bersemangat tinggi ketika berada di studio.
Kael turut berharap ‘Angkasa’ dapat melangkah lebih jauh. “Saya berharap lagu ini menjadi kegemaran semua. Doakan agar Angkasa dapat menembusi ke negara jiran dan membawa nama seni Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya yang bersemangat melangkah lebih jauh sebagai seorang artis sejati.
Jangan lepaskan peluang untuk menyelami kisah cinta dalam ‘Angkasa’, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital seperti YouTube Music dan Spotify. Kongsi lagu ini dengan insan tersayang, dan jadikan ia latar istimewa dalam detik-detik romantis anda.
Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
DUKES DEDAH EMOSI TERSEMBUNYI DALAM “BILA KAU DATANG MENANGIS”
Wednesday, 25 June 2025
DUKES DEDAH EMOSI TERSEMBUNYI DALAM “BILA KAU DATANG MENANGIS” | Lagu Buat Jiwa Yang Bangkit Dari Cinta Tak Setara
Band indie tempatan yang semakin mencuri perhatian, Dukes, kembali menyentuh jiwa pendengar dengan single terbaharu berjudul Bila Kau Datang Menangis, sebuah karya yang mengangkat tema keinsafan, harga diri dan keberanian untuk keluar daripada hubungan yang tidak adil.
Lagu ini merupakan buah tangan kelima Dukes bersama Alternate Records, hadir dengan sentuhan pop rock moden yang lebih matang dan peribadi. Ditulis oleh Rayyan Razzaq dan Hazim Osman, serta digubah sepenuhnya oleh ahli kumpulan Dukes sendiri, Bila Kau Datang Menangis membawa naratif seorang lelaki yang sering menjadi ‘tempat singgah’ bagi seorang perempuan, tetapi hanya ketika dia sedang berduka. Akhirnya dia bangkit dan memilih untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi memberinya ruang untuk dihargai.
“Lagu ini kami dedikasikan untuk sesiapa saja yang pernah rasa jadi ‘pilihan kedua’ dalam sesuatu hubungan. Ia bukan sekadar luahan, tapi juga satu penguat semangat untuk belajar menghargai diri sendiri. Dengarkan lagu ni dengan hati terbuka, kami yakin anda akan rasa sesuatu,” kata Dukes.
Menurut Dukes, lagu ini sangat menguji keupayaan mereka sebagai pemuzik. “Lagu ini mencabar kami daripada segi teknikal dan emosi. Ia memerlukan kami menyampaikan muzik dengan cara yang belum pernah kami lakukan sebelum ini. Kami benar-benar perlu keluar daripada zon selesa dan memberikan sepenuh jiwa dalam setiap nota dan lirik,” ujar Dukes.
Lagu Bila Kau Datang Menangis turut mendapat sentuhan Taja, anggota kumpulan Meet Uncle Hussain yang pernah menghasilkan lagu-lagu hits seperti Pokok dan Lagu Untukmu. Ini merupakan kolaborasi pertama Dukes bersama Taja, dan ia membuka peluang untuk mereka teroka muzik dengan cara yang lebih segar.
“Dengan bimbingan Taja, kami dapat meneroka susunan muzik yang lebih matang dan dinamik. Lagu ini juga membawa naratif yang lebih peribadi dan realistik, sesuatu yang kami rasa lebih dekat dengan pendengar,” kata Dukes.
Bila Kau Datang Menangis hadir sebagai sebuah karya yang diharapkan mampu menyentuh hati para pendengar, khususnya mereka yang pernah merasai perasaan yang sama. Lebih daripada sekadar lagu cinta, ia ialah suara untuk mereka yang mencari makna, kekuatan dan kejujuran dalam emosi.
Dukes dianggotai oleh Ziggy (vokalis), Rayyan (gitaris), Jimbo (gitaris), Umar (bassis), dan Cheng (dram).
Bila Kau Datang Menangis menjadi antara karya penting dalam perjalanan seni Dukes, membuka lebih banyak ruang untuk kumpulan ini terus berkembang dalam industri muzik tempatan.
Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube! Dengarkan dan hayati lagu ini dengan hati terbuka kerana kadang-kadang, melepaskan adalah bentuk cinta terbaik untuk diri sendiri.
Untuk perkembangan terkini mengenai Dukes dan Alternate Records, ikuti akaun rasmi di Instagram @alternate.my_, TikTok @alternate.rt_ dan Facebook @alternate.my.
LIRIK LAGU BILA KAU DATANG MENANGIS
*********************
Mengenai Alternate Records & Talents
Alternate Records & Talents merupakan sebuah agensi mencungkil bakat muzik dan lakonan bakat yang mantap dan serba boleh. Ditubuhkan pada tahun 2006, Alternate Records and Talents (dahulunya dikenali sebagai Monkeybone) telah meningkatkan industri hiburan dan artis berasaskan muzik di Malaysia dengan mempamerkan portfolio luar biasa dengan bakat bakat memenangi anugerah, muzik yang menduduki carta teratas, Pemilikan IP dan banyak pengedaran. Artis mereka berjaya secara komersial telah menjadi trend di YouTube, Twitter dan Tiktok dan sebagainya.
Untuk maklumat lanjut tentang Alternate Records Sdn Bhd, lawati YouTube rasmi kami dan Instagram @alternate.my_
Sebagai pelengkap kepada kejayaan runut bunyi utama Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), dua track tersembunyi terbaru kini mula menarik perhatian pendengar serta menunjukkan peningkatan dalam carta penstriman digital. Dihasilkan menerusi gabungan tenaga kreatif antara komposer dan penyanyi generasi baru yang penuh ekspresi, kedua-dua lagu ini menyerlahkan kekuatan serta keunikan produksi muzik tempatan.
🎶 Some Other Day 🎶
Penyanyi : FUGO
Produser: Hakim Kamal & Fai HK
Komposer: Hakim Kamal
Lirik: Hakim Kamal, Kayrol Ami, Fai HK, Rezavebrian
Tonton Lirik Video “Some Other Day” di Saluran YouTube Rasmi Ejen Ali
“Some Other Day” ibarat sebuah penghargaan penuh emosi tentang suka duka dalam persahabatan, yang merupakan tema utama dalam filem EATM2 ini. Dengan lirik yang nostalgik dan alunan melodi yang santai, lagu ini membangkitkan kenangan masa remaja yang penuh keceriaan — detik-detik indah yang kita percaya akan kekal selamanya. Apabila korus beralih ke nada yang lebih melankolik dan dibalut lirik “Dan kita akan okay, and we will be alright”, ia mencerminkan perubahan dalam persahabatan, namun tetap menyampaikan rasa tenang melalui ikatan yang kekal abadi.
🎶 Hanya Kamu - Omar K & Raja Recode 🎶
Penyanyi: Puteri Khareeza & Kai Deva
Produser: Omar K & Raja Syafiq
Komposer Asal: Azri Yunus
Lirik Asal: Azri Yunus, M.Nasir & LunaAyla
Strim Lagu “Hanya Kamu - Omar K & Raja Recode” di YouTube Music
“Hanya Kamu - Omar K & Raja Recode” pula merupakan versi cover remix olahan Omar K dan Raja yang menonjolkan sisi baru lagu epik yang asalnya dibawa oleh Dato’ M. Nasir. Lagu ini hasil nyanyian Puteri Khareeza dan Kai Deva yang dipilih dari barisan artis Alternate Records & Talents, sebuah anak syarikat Media Prima, sebagai salah satu platform untuk memperkenalkan bakat baru ke massa. Bait-bait lirik asal digubah dalam versi remix ini khas untuk menampilkan gabungan suara lunak mereka dengan susunan muzik yang lebih mellow dan penuh chill out vibes, sesuai untuk melayan mood santai sambil berehat di kala lewat malam.
Kedua-dua lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital utama, sesuai untuk sesi sing-along, throwback emosi atau sekadar mengimbau sisi berbeza dunia EATM2.
🎧 Dengarkan sekarang dan alami sendiri kehebatannya!
Misi masih aktif - unlock fasa seterusnya dan terus menyokong Ejen Ali the Movie 2 di pawagam sekarang!
#ejenalithemovie2 #eatm2 #ejenali #AniMY
TOMOK KEMBALI ‘LARUT’ DENGAN SINGLE TERBAHARU. LUAR BIASA, BEREMOSI & BERGAYA POP ROCK!
Thursday, 29 May 2025
Selepas menawan hati rakyat Malaysia dengan kemenangan bergaya sebagai juara di pentas Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) dan melancarkan single sulungnya Titik Mula, yang kini menduduki carta 23 teratas di Hot FM Top 40!, Marygrace terus melangkah berani dalam industri muzik tanah air. Terbaharu, beliau melakar sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai salah satu wajah yang mewakili Sabah untuk kempen Gawai & Kaamatan 2025 oleh Pepsi dan TV Sarawak (TVS)!
Marygrace menghangatkan budaya Borneo dengan menghadiahkan sebuah lagu rasmi “Happy Gawai Kaamatan” (Pepsi Harvest Celebration Anthem), sebuah karya penuh semangat yang meraikan warisan, budaya dan kegembiraan musim menuai. Bergandingan dengan Belle Sisoski, penyanyi dan komposer hebat dari Sarawak dan Rezza Shah, bekas peserta CSOIAM - ibarat tiga suara berjiwa besar, bersatu tenaga dalam menyemarakkan semangat pesta menuai tahun ini!
Raikan budaya Borneo dengan beat moden dan jiwa tradisional! “Happy Gawai Kaamatan” ciptaan sepenuhnya oleh Belle Sisoski, adalah anthem perayaan – gabungan muzik pop moden dan irama rakyat yang menyuntik elemen tradisional ke dalam beat kontemporari. Dengan melodi rancak, susunan vokal harmoni dan lirik penuh semangat, lagu ini menyatu budaya dan mengangkat semangat Hari Gawai dan Pesta Kaamatan, dua perayaan penting bagi masyarakat Dayak dan Kadazandusun dalam satu nadi muzik yang menyegarkan! Gabungan suara unik tiga penyanyi ini memberi warna tersendiri yang menyentuh rasa dan membangkitkan semangat kebersamaan.
Bagi Marygrace, proses rakaman lagu yang dilakukan di Maveriq Studio, Kuala Lumpur ini merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna dan mencabar. “Saya rasa sangat terharu dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada kempen ini. Ia bukan sekadar menyanyi, tetapi menjadi sebahagian daripada satu perayaan budaya yang besar dan penuh makna. Belle berjaya menyalurkan jiwa dan semangat masyarakat Borneo ke dalam setiap bait lirik dan notasi muzik dalam lagu ini, “ jelas Marygrace.
Marygrace juga berkongsi kenangan manis ketika rakaman, “Cabaran paling besar ialah menyampaikan emosi yang tepat memandangkan lagu ini berkait rapat dengan perayaan yang mempunyai makna mendalam bagi masyarakat utama Borneo. Selain itu, penyelarasan vokal antara tiga penyanyi untuk memastikan keharmonian suara juga bukan sesuatu yang mudah. Bila tiga suara berlainan bergabung, kita perlu betul-betul harmoni. Banyak kenangan indah tercipta sepanjang proses ini, daripada saat-saat mencabar ketika mencapai nota tertentu, hinggalah sesi perbualan dan gelak tawa yang tercetus apabila kami berkongsi cerita tentang latar belakang budaya masing-masing,” kongsi Marygrace.
“LAGU TIGA” DUKES SERU HARAPAN DAN KEKUATAN MENERUSI NADA INDIE ROCK!
Tuesday, 20 May 2025
Dukes, band berbakat yang memperjuangkan muzik Indie Rock, kembali dengan karya terbaharu yang sarat makna dan mencerminkan realiti kehidupan. Dianggotai oleh Ziyyad (vokalis), Rayyan (gitaris), Jimbo (gitaris), Umar (bassist), dan Cheng (dram), Dukes tampil dengan single berjudul Lagu Tiga, sebuah naskhah yang bukan sekadar lagu, tetapi luahan jiwa yang dekat dengan hati pendengar. Menariknya, Lagu Tiga juga merupakan single pertama daripada album terbaru mereka yang dijangka akan dilancarkan tahun ini, sekali gus memberi gambaran awal terhadap warna muzik dan naratif yang bakal ditampilkan dalam album tersebut.
Dicipta sepenuhnya oleh Dukes dengan lirik hasil kolaborasi Ziyyad Imran dan Hazim Osman, Lagu Tiga merupakan sebuah karya yang menyentuh emosi, menampilkan susunan muzik yang minimalis namun sarat makna. Lagu ini hadir sebagai simbol harapan dan kebangkitan, menyampaikan mesej yang kuat dan menyentuh jiwa pendengar.
Dukes turut berkongsi tentang tercetusnya idea di sebalik penghasilan Lagu Tiga. “Idea untuk lagu ini hadir secara spontan ketika sesi jamming santai, tanpa sebarang tekanan atau perancangan. Segalanya datang dengan begitu semula jadi daripada melodi, vibe, hinggalah emosi yang terbit pada waktu itu. Ia lahir daripada momen yang sangat jujur dan tulen antara kami dan mungkin itulah yang menjadikan Lagu Tiga begitu istimewa serta dekat di hati kami.”
Penulisan lirik Lagu Tiga disempurnakan dalam tempoh yang singkat, hasil ilham spontan yang tercetus semasa sesi jamming. Ziyyad Imran dan Hazim Osman selaku penulis lirik berkongsi bahawa bait-bait asal lagu ini tidak banyak diubah, kerana mereka ingin mengekalkan mesej yang lahir secara jujur daripada rasa dan pengalaman sebenar yang dialami oleh ahli-ahli band. Keaslian inilah yang memberikan lagu ini kekuatan emosi dan nilai sentimental yang mendalam.
Antara cabaran utama dalam penghasilan Lagu Tiga adalah mencari keseimbangan antara muzik dan lirik agar kedua-duanya saling melengkapi dan dapat menyentuh hati pendengar. Bagi Dukes, lagu ini bersifat sangat peribadi, maka ia menuntut penyampaian yang jujur dan tulus. Justeru, ekspresi muzik dan kekuatan lirik perlu seiring agar emosi yang ingin disampaikan benar-benar sampai dan dirasai.
“Kami berharap agar lagu ini dapat menjadi sumber inspirasi dan kekuatan bagi mereka yang pernah merasa hilang arah. Lagu ini mengingatkan kita bahawa kegagalan dan kejatuhan adalah sebahagian daripada perjalanan hidup, namun yang lebih penting adalah bagaimana kita memilih untuk bangkit semula. Jika saat itu belum tiba, tidak mengapa kerana jalan untuk bangkit akan tetap ada, menanti kita bila waktu yang tepat datang.” tambah Dukes.
Lagu Tiga bukan sekadar sebuah karya muzik, tetapi juga luahan perasaan yang menjadi simbol harapan dan kebangkitan — bukan sahaja untuk para pendengar, tetapi juga bagi Dukes sebagai sebuah band, mengukuhkan perjalanan mereka dalam industri muzik.
Dengarkan Lagu Tiga sekarang di Spotify atau melalui pautan ini: https://open.spotify.com/track/6ViVTewgOgggJVvbcj6piB?si=x0Is_-HsT3ahp-Izx07DYw
Untuk mendapatkan berita terkini tentang projek Dukes, ikuti media sosial Alternate Records & Talents: Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.
*************************
Mengenai Alternate Records & Talents
Alternate Records & Talents merupakan sebuah agensi mencungkil bakat muzik dan lakonan bakat yang mantap dan serba boleh. Ditubuhkan pada tahun 2006, Alternate Records and Talents (dahulunya dikenali sebagai Monkeybone) telah meningkatkan industri hiburan dan artis berasaskan muzik di Malaysia dengan mempamerkan portfolio luar biasa dengan bakat bakat memenangi anugerah, muzik yang menduduki carta teratas, Pemilikan IP dan banyak pengedaran. Artis mereka berjaya secara komersial telah menjadi trend di YouTube, Twitter dan Tiktok dan sebagainya.
Untuk maklumat lanjut tentang Alternate Records Sdn Bhd, lawati YouTube rasmi kami dan Instagram @alternate.my_