Astro Raikan Oktober dengan Tawaran Eksklusif 10.10 dan Saluran Pop-Up LOL (CH 100)

Thursday, 9 October 2025

KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2025 – Astro, peneraju kandungan dan hiburan di Malaysia, meraikan musim 10.10 dengan pelancaran promosi 10.10 Jualan Epik untuk semua pelanggan baharu, berserta kemunculan semula saluran Pop-Up LOL (CH 100), yang menawarkan hiburan penuh lawak untuk seisi keluarga. Oktober ini, Astro ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dengan memberikan nilai hebat, pilihan yang berbagai, serta hiburan yang boleh dinikmati bersama sempena musim akhir tahun.

Dapatkan Astro dengan Hanya RM101 Sebulan melalui 10.10 Jualan Epik

Dari 10 hingga 17 Oktober 2025, pelanggan baru yang melanggan Pek Epic Astro One menerusi laman astro.com.my akan mendapat kadar istimewa sebanyak RM101 sebulan bagi tempoh 24 bulan (harga biasa: RM199.99 sebulan). Promosi ini menawarkan hiburan premium selama dua tahun pada hampir separuh daripada harga biasa.

Pek Epic Astro One menawarkan langganan fleksibel dan menyeluruh untuk seluruh ahli keluarga dengan lebih 145 saluran dan 8 aplikasi penstriman popular — Netflix, Disney+, HBO Max, Prime Video, iQIYI, Sun NXT, BBC Player dan beIN SPORTS. Pakej ini turut merangkumi Astro GO, yang membolehkan penstriman serentak di sehingga 4 peranti, agar setiap ahli keluarga boleh menonton kandungan yang digemari bila-bila masa dan di mana sahaja. Daripada siaran langsung sukan dan drama popular hingga filem blockbuster, siri kegemaran kanak-kanak dan dokumentari, pek ini menggabungkan hiburan Melayu, Korea, Cina, India dan antarabangsa dalam satu tempat.

Dengan hanya RM101 sebulan, pelanggan boleh menonton pelbagai rancangan tempatan hebat seperti Generasi: Perfect 10, Mutiara Dalam Debuan Kabus, Jika Cinta Itu Buta, Talk To My Manager, dan musim terbaru Gegar Vaganza yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Tidak ketinggalan, pelanggan juga boleh menonton rancangan global popular seperti Hell’s Kitchen: Battle of the States, The Rain Maker, Race Across the World (Musim ke-5), The Great Australian Bake Off (Musim ke-8), Alone (Musim 12), Sinners, The Ghost Game, dan banyak lagi - termasuk siaran langsung aksi sukan terhangat seperti Piala Asia 2027, Piala FA Malaysia, Premier League, MotoGP Malaysia dan kejohanan badminton utama.

Tawaran eksklusif ini sah dari 10 hingga 17 Oktober 2025 sahaja. Rebut peluang hebat ini sebelum terlambat!

Saluran Pop-Up LOL (CH 100) Kembali dengan Lebih Banyak Gelak Tawa

Selepas menerima sambutan hangat daripada penonton, saluran pop-up LOL (CH 100) kembali dari 15 Oktober hingga 16 November 2025 – kini lebih lucu, lebih menghiburkan dan lebih banyak kandungan! Sepanjang musim Halloween ini, LOL (CH 100) menggantikan elemen seram dengan hiburan penuh keriangan, dengan lebih 100 kandungan lucu merentasi genre dan bahasa termasuk Bahasa Malaysia, Cina, Tamil, Korea dan Inggeris.

Penonton boleh menantikan barisan rancangan lucu seperti filem Inggeris Johnny English Strikes Again, Are We There Yet?, Just Go with It, Instant Family, Paul Blart: Mall Cop, dan White Chicks; pilihan untuk kanak-kanak seperti The Tiger’s Apprentice, PAW Patrol: The

Movie, dan The SpongeBob SquarePants Movie; filem blockbuster Cina seperti Kung Fu Yoga dan Godspeed; rancangan popular Melayu antaranya Dr. Pontianak, Jutawan Ekspres, Travelawak: Projek Bapak Bapak (Musim 1 & ke-2), Cun, Girlfriend Aku Dari Neraka, dan Merewang Keluarga Pak Awang; serta siri Korea seperti Hitman: Agent Jun, My Love, My Bride, dan Midnight Runners — dan banyak lagi.

Untuk maklumat lanjut atau untuk melanggan Pek Epic Astro One, sila layari astro.com.my atau WhatsApp 03-9543 3838 untuk sebarang pertanyaan.

LIRIK LAGU DENDAM - FIRDAUS RAHMAT

Wednesday, 8 October 2025


LIRIK LAGU DENDAM
Penyanyi: Firdaus Rahmat 
Komposer : Firdaus Rahmat
Lirik : Firdaus Rahmat
Susunan : Firdaus Rahmat
Produser : Firdaus Rahmat
Label : World Peace Music


Verse
Kata,
Yang tak terolah oleh mu
Timbul segala soalan
Di fikiran ragu

Aku
Yang seharusnya terjaga
Engkau lepaskan semata
Kasih yang kau mahu

Pre Chorus

Takkan ku biarkan kau
bermaharajalela
Takkan ku biar diri ku bernafas
lelah
Ku mahu kau rasa sakitnya

Chorus
Pendam dalam diam pendam
Apakah kau mengerti?
Hati ku yang membenci
Dendam dalam diam dendam
Balas segala laku
Kau terhadap diri ku
Namun ku biar kan Tuhan
Mengadili dusta mu

Verse 2
Aku
Yang s'lama ini membeku
dileburkan bara api membakar
janjimu

Bridge
(Pendam dalam diam,
Dendam dalam diam,
Namun biar Tuhan
membalasnya)
Membalasnya ...

‘DENDAM’– PERGELUTAN JIWA MENUJU KEINSAFAN | KISAH LUKA DAN REDA DISULAM DALAM BALADA TERBAHARU FIRDAUS RAHMAT

Kuala Lumpur, 8 Oktober 2025 – Penyanyi dan komposer berbakat, Firdaus Rahmat, kembali dengan single terbaharunya berjudul Dendam, sebuah balada sarat emosi yang menyingkap sisi kemanusiaan dan pergelutan dalaman antara marah, kecewa dan keikhlasan.

Lagu ini merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Firdaus sendiri daripada melodi hingga ke lirik, menjadikan Dendam sebuah karya yang sangat peribadi dan dekat di hati. Dengan susunan muzik yang segar serta lirik yang mendalam, lagu ini mengajak pendengar menyelami rasa dendam yang akhirnya terlerai melalui keinsafan dan penyerahan kepada Tuhan. 

“Dendam adalah keinginan membalas sifat buruk seseorang terhadap kita, namun akhirnya kita sedar hanya Tuhan yang berhak menentukan penghakiman sebenar,” katanya yang turut berperanan sebagai komposer lagu ini.

Berbeza daripada karya-karya sebelumnya, Dendam menonjolkan sisi vokal Firdaus yang lebih matang dan berani bereksperimen. “Lagu ini mencabar dari segi lontaran dan teknik nyanyian. Untuk menyeimbangkan rasa, ton suara dan teknik adalah sesuatu yang mencabar bagi saya yang jarang menyanyikan lagu balada sebegini. Tapi saya percaya ton suara boleh memberi impak besar dalam menyampaikan emosi sebenar lagu ini,” ujar beliau lagi.

Proses pembikinan lagu ini mengambil masa sekitar dua minggu, manakala sesi rakaman berlangsung selama tiga jam merupakan satu proses yang penuh intensiti. 

Firdaus turut berkongsi pengalaman menarik di studio. “Saya sempat berehat seketika di pertengahan rakaman kerana emosi dan tenaga yang diperlukan untuk menyampaikan lagu ini agak berat. Namun saya teruskan kerana saya mahu lagu ini disampaikan dengan jujur dan sepenuh hati,” jelasnya.

Dari segi penceritaan, Dendam mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat yakni pergelutan antara amarah dan keinsafan, keinginan untuk membalas namun akhirnya menyerah pada takdir keadilan Ilahi. Ia bukan sekadar sebuah lagu balada, tetapi juga sebuah renungan diri.

Menerusi karya ini, Firdaus Rahmat membuktikan kemampuan dirinya bukan sahaja sebagai penyanyi berbakat, tetapi juga komposer dan penulis lirik yang mampu mencipta karya yang berjiwa, matang dan bermakna. 

Lagu Dendam juga merupakan runut bunyi (OST) bagi drama Takdir Cinta Terlarang di slot Akasia TV3, kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk YouTube Music dan Spotify. 

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. 

QIFARAH, JEJAK WARISAN BERDARAH KELUARGA!

Debut Seram Arahan Ghaz Abu Bakar | QIFARAH, JEJAK WARISAN BERDARAH KELUARGA!

Kuala Lumpur, 7 Oktober 2025 – Dalam setiap bisikan gelap, tersimpan kebenaran yang menanti untuk terbongkar. Itulah yang dibawa oleh Qifarah, taruhan pertama Ghaz Abu Bakar dalam genre seram, yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Mengangkat tema penebusan dan pengampunan, filem ini menjanjikan penceritaan penuh misteri, suspens, serta bayangan ghaib yang akan terus mengikat jiwa penonton hingga ke detik terakhir.

Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama My Way Pictures dan Astro Shaw serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, Qifarah menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Esma Daniel, Vanida Imran, Rita Nadira dan Rafique Iskandar.

Entiti silam, dendam lama dan rahsia yang masih hidup!

Qifarah mengisahkan Yusoff (Remy Ishak), seorang perantau yang telah lama menetap di Kaherah bersama isterinya, Marissa (Rita Nadira), serta anak mereka, Mikhail (Rafique Iskandar). Namun, apabila menerima perkhabaran tentang bapanya yang sedang nazak, Yusoff kembali ke tanah air selepas 30 tahun dengan niat membantu ayahnya bertaubat daripada amalan ilmu hitam, sambil merungkai kejadian mistik yang terus membelenggunya.

Di sebalik kepulangan itu tersembunyi pertemuan semula Yusoff dengan keluarganya yang penuh rahsia kelam. Yusoff berdepan ibu tirinya, Mawar (Sharifah Sakinah), yang langsung tidak dimamah usia, dan adiknya, Eykha (Liyana Jasmay), yang jiwanya kekal seperti anak kecil.

Kehadiran Marissa dan Mikhail secara tiba-tiba di rumah pusaka keluarga Yusoff mengeruhkan keadaan. Pelbagai kejadian aneh menyambut mereka, menjadikan setiap langkah sarat dengan ketegangan. Apa yang menanti di hadapan? Adakah nyawa dan nasib mereka kini terancam?

Mengetengahkan unsur mistik dan kuasa ghaib, Qifarah dibalut dengan sinematografi bergaya yang mengajak penonton merenung erti sebenar dosa lampau dan ruang penebusan yang masih berbaki. Filem ini dihasilkan dengan teliti dari setiap lapisan proses supaya pengalaman menonton benar-benar terasa.

“Setiap babak dirangka untuk memberi impak yang berkesan. Dari rekaan set, pencahayaan, prop, hinggalah setiap perincian pakaian dan aksesori watak, semua elemen diberi perhatian. Saya mahu setiap penonton merasai intensiti dunia ‘Qifarah’ dan pengajaran yang ingin disampaikan, dengan elemen visual dan bunyi yang meninggalkan kesan mendalam serta tidak mudah dilupakan selepas meninggalkan pawagam,” kata Ghaz Abu Bakar, pengarah filem ini.

Jangan lepaskan peluang! Qifarah bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Bersedialah untuk sebuah perjalanan ngeri, di kala setiap titisan darah menyimpan rahsia, setiap bisikan menjadi mantera dan setiap bayangan menuntut pembalasan.

Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Qifarah, ikuti kami di Facebook, Instagram, X dan YouTube Primeworks Studios.

KECURANGAN YANG MEMATIKAN, “QIFARAH” CERMIN REALITI KEJAM TAPI BENAR

Tuesday, 7 October 2025

Dalam masyarakat yang masih bergelut antara kehidupan harian dan kepercayaan terhadap dunia mistik, hadir sebuah karya yang menggugat nurani iaitu Qifarah, sebuah filem seram misteri yang menyelami sisi paling gelap hubungan manusia. Mengangkat tema pengkhianatan dan pembalasan yang dituntut bukan dengan kata-kata, filem ini dijangka mencetuskan pelbagai reaksi apabila ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025.

Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Qifarah menolak formula seram biasa dengan membawa penonton menyelami naratif berat tentang dosa gelap dan kepercayaan terhadap ilmu hitam yang sering menjadi 'pelarian' bagi mereka yang dikuasai motif dan emosi.

Kisahnya berpusat pada watak Yusoff (lakonan Remy Ishak) yang pulang ke tanah air selepas bertahun menetap di luar negara. Niatnya untuk menziarahi ayahnya, Ghazali (lakonan Esma Daniel) yang sedang uzur, tanpa disangka membuka semula luka lama yakni kecurangan ayahnya terhadap ibunya Nur (lakonan Vanidah Imran) menerusi perkahwinan dengan Mawar (lakonan Sharifah Sakinah), seorang wanita yang dipercayai mengamalkan ilmu hitam.

Ketenangan yang diharap bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Yusoff mula diganggu kejadian aneh. Setiap rahsia yang terbongkar membawa dirinya semakin dekat kepada kebenaran yang menakutkan.

Qifarah cukup dekat dengan penonton kerana refleksi realitinya. Dalam masyarakat kita, kisah kecurangan dan perebutan pasangan dengan menggunakan kuasa gelap bukanlah perkara asing. Filem ini muncul sebagai peringatan bahawa setiap tindakan ada balasannya, dan apabila manusia menyerahkan sesuatu kepada entiti yang melawan fitrah dan Tuhan, natijahnya mampu memakan diri.

Walaupun berteraskan fiksyen, Qifarah berani mengangkat isu sebenar yang masih wujud dalam masyarakat. Ia bukan sekadar hiburan seram tetapi satu renungan tentang harga yang perlu dibayar atas dosa sendiri.

Saksikan Qifarah, filem seram penuh pedoman yang bakal menghantui pawagam seluruh negara mulai 9 Oktober 2025.

Dalam suasana penuh meriah di Seoul International Drama Awards (SDA) 2025, Anna Jobling mencuri perhatian di pentas berprestij itu apabila dinobatkan sebagai penerima Outstanding Asian Star – Malaysia. Dikelilingi bintang ternama dari seluruh Asia, pelakon kesayangan Malaysia ini tampil menawan dengan pesona tersendiri, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat global.

Sepanjang berada di Seoul, Anna turut berkesempatan berjumpa dan merakam momen istimewa bersama barisan selebriti antarabangsa ternama seperti Daniel Padilla dari Filipina, Ju Ji-hoon, Taecyeon (2PM) dan IU dari Korea, Film Rachanun Mahawan dari Thailand serta Kentaro Sakaguchi dari Jepun. Detik berharga ini bukan sahaja memperlihatkan keakraban Anna dengan rakan-rakan industri serantau, malah menandakan pengiktirafan terhadap kehadirannya sebagai wakil Malaysia yang semakin menyerlah di pentas Asia.






Anna turut mencuri perhatian ketika melangkah di karpet merah SDA 2025 dengan penampilan anggun dan senyuman menawan yang menjadi tumpuan ramai. Tidak menyembunyikan rasa terujanya berada di pentas antarabangsa, Anna berkongsi hasratnya untuk menikmati momen ini sepenuhnya, “Selepas anugerah ini, saya nak jelajah semua tempat cantik di Seoul, ambil gambar-gambar indah dan jumpa ramai orang,” katanya sambil tersenyum, jelas mempamerkan sisi peribadinya yang ceria dan merendah diri walau kini berdiri sebaris dengan bintang besar Asia.

Lebih istimewa, pencalonan Anna dalam kategori Outstanding Asian Star – Malaysia menerusi drama popular “Hai Cinta, Dengarkanlah!” bukan sahaja mengiktiraf bakatnya yang semakin menyerlah, tetapi turut menandakan langkah besar dalam usaha memperkenalkan drama tempatan ke pentas antarabangsa.

Untuk maklumat yang lebih lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram di @tontonmy. 

Kilauan Emas 2025 Minggu Akhir | Mazleen Juara ‘Juara Kilauan Emas 2025!

Monday, 6 October 2025

Melabuhkan tirainya semalam, program ‘Kilauan Emas 2025’ menobatkan peserta Mazleen sebagai juara. Menjadi peserta wanita kedua merangkul gelaran juara di Kilauan Emas selepas Gie, Mazleen mendapat markah keseluruhan sebanyak 79.44% di pentas akhir. 

Turut memberikan persembahan penuh bertenaga adalah naib juara Zekrai (78.58%), juga di tempat ketiga Nawary (73.12%), Zanie (72.37%), Ezan (71.40%) dan Majid (70.71%). Selain itu, Majid telah merangkul anugerah Emas Berkilau Of The Week, manakala Ezan pula telah memenangi Cabaran 30 Hari Nestle Omega Gold


Guest Performance - Tam Spider




SENARAI LAGU

Majid: Sehidup Semati (Duet Bersama Dina Nazir) - Juliana Banos & Indigo (70.71%)

Zekrai: Mendung Tak Bererti Hujan (Duet Bersama Ayu Damit) - Deddy Dores & Ella (78.58%)

Nawary: Jangan Khianati Aku - Azlan & The Typewriter (73.12%)

Zanie: Seri Langkat (Duet Bersama Idris Kilauan Emas 3) - Amelina & Jamal Abdillah (72.37%)

Mazleen: Bertamu Di Kalbu (Solo) - Jaclyn Victor (79.44%)

Majid: Mengerti - KRU (70.71%)

Ezan: Kita Insan Biasa (Duet Bersama Acong Sweetchild) - Dayangku Intan & Jay Jay (71.40%)

Nawary: Bintang Kehidupan (Duet Bersama Fuad Kilauan Emas 2) - Yantie Aryanto & Ronnie Sunday (73.12%)

Zekrai: Rembulan Kesangsian (Solo) - Razzi Rahman (78.58%)

Ezan: Hareudang (Solo) - Vita Alvia (71.40%)

Mazleen: Naluri Cinta (Duet Bersama Arip Kilauan Emas 4) - Rohana Jalil & To’ki (79.44%)

Zanie: Tiada Kepastian - Ziana Zain (72.37%)




INFO ‘KILAUAN EMAS 2025’

• Seperti musim sebelumnya, persembahan setiap peserta menerusi Kilauan Emas 2025 akan diadili secara 70% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri professional, 20% daripada juri awam yang  merangkumi markah para penonton undangan dan juga 10% daripada undian para penonton di rumah.


• Juara musim kali ini akan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro.

• Para penonton dan peminat boleh mengundi peserta kegemaran mereka bagi menentukan pemenang mingguan pada setiap minggu secara dalam talian menerusi laman web Astro Gempak.


• Penerbitan Kilauan Emas 2025 turut disinarkan dengan kolaborasi bersama Astro Gempak sebagai rakan digital, serta SINAR dan GEGAR sebagai rakan radio rasmi. Program ini boleh distrim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

Saksikan Kilauan Emas 2025 di Astro Prima (Saluran 105), On Demand, Astro GO dan sooka.

Movie Review | My Daughter Is a Zombie (2025)

Sunday, 5 October 2025


Pengarah:  Pil Gam-sung
Penulis Skrip: Pil Gam-sung, Kim Hyun 
Pelakon: Jo Jung-suk, Lee Jung-eun, Cho Yeo-jeong, Yoon Kyung-ho, Choi Yoo-ri.     
Syarikat Produksi:  Studio N 
Pengedar:  Next Entertainment World
Genre: Komedi / Seram
Durasi Tayangan: 113 minit
Tarikh Tayangan: 30 Julai 2025  
Trailer:


Korea Selatan dilanda wabak zombie sekali lagi dan kawasan kejiranan Jung-hwan (Jo Jung-suk) bertukar huru-hara. Dalam usaha melarikan diri menuju ke kampungnya di Eunbong-ri, anaknya, Soo-ah (Choi Yoo-ri) digigit oleh zombie. Jung-hwan tetap meneruskan perjalanan dan tiba agak lewat malam. 

Ketika ibunya (Lee Jung-eun) pulang ke rumah, Jung-hwan jelaskan keadaan Soo-ah yang sudah bertukar zombie tapi dia yakin anaknya masih hidup. Mengharapkan penawar dari farmasi terkenal, Jung-hwan bersembunyi di kampung tersebut dan cuba untuk sembuhkan Soo-ah dengan ingatkan anaknya tentang kenangan mereka bersama. 


Berbekalkan kesabaran dan kemahiran melatih haiwan liar yang berada di zoo, Jung-hwan bersama rakan baiknya, Dong-pyo melatih Soo-ah supaya kawal diri dari menggigit manusia. Setiap hari, semua progress Soo-ah direkodkan di dalam jurnal sebagai kenangan bersama anaknya.

Sebolehnya Jung-hwan menyimpan rahsia tentang anaknya kerana Kerajaan tidak teragak-agak untuk membunuh manusia yang dijangkiti zombie. Sesiapa yang membuat laporan akan diberikan ganjaran yang tinggi. Namun semakin lama orang kampung semakin curiga dengan Soo-ah yang hanya berkurung di rumah dan tidak bersekolah. Berjaya tak keluarga ini sorokkan kenyataan sebenar?


Naskhah My Daughter Is a Zombie arahan dan penulisan Pil Gam-sung mengunakan konsep zombie setelah sekian lama. Penceritaan yang diadun dalam templat komedi membuatkan alur cerita tampak bersahaja dan menghiburkan pada separuh masa pertama. Ada masanya konsep My Daughter Is A Zombie seakan sama dengan filem Warm Bodies (2013). 

Bukan saja lakonan Jo Jung-suk yang menjadi malah watak si nenek Asia dengan kayu penggaru juga menguatkan elemen komedi filem ini. Entah dah berapa kali Jo Jung-suk berlakon sebagai bapa tunggal, mungkin sebab ekspresi muka dan renungan mata yang lembut tu buatkan babak terasa heart-warming kot. Walaupun padu sebagai seorang ayah, dia susah nak dapat watak yang berjaya dalam percintaan atau perkahwinan. 


Sinematografi dari Kim Tae-soo mengukuhkan penceritaan dan menghidupkan suasana kelakar dengan beberapa teknik kamera seperti slo-mo dan transisi atau lighting yang digunakan dalam beberapa babak. Menariknya filem My Daughter Is A Zombie pay tribute kepada penyanyi wanita terkenal Korea Selatan, BoA dengan lagu popular – No. 1. Dari tak tahu kewujudan lagu No. 1 sampai jadi suka sebab diulang banyak kali dalam filem ni.



Tak pasti lah kucing oren bernama Aeyongyi (Geumdong) kepunyaan Jung-hwan memang kucing sebenar yang pandai berlakon atau ada masanya digantikan dengan khidmat CGI sebab function teruk. Elemen komedi pun datang dari si kucing yang bagi ekspresi muka mengikut situasi macam babak Aeyongyi tengok kucing betina cantik dekat TV atau babak dia invested dengan perbincangan Jung-hwan tentang Soo-ah.


Penulis juga selitkan unsur-unsur saspens dan drama dengan kehadiran watak Shin Yeon-hwa (Cho Yeo-jeong) yang benci dengan zombie gara-gara dia hampir dibunuh oleh tunangnya yang dijangkiti virus zombie. Sejak dari insiden tu, dia berazam untuk membantu Kerajaan hapuskan zombie di Korea Selatan.

Malangnya sejak kemunculan watak cinta pertama Jung-hwan ni, momentum penceritaan berubah menjadi bosan. Dah la menyampah tengok dia mendesak Jung-hwan lepastu suka hati datang rumah orang nak buat spot check bagai. Bila dia beria nak Soo-ah pergi sekolah, dah boleh nampak penulis nak drag cerita sebab nak tunjuk yang zombie pun boleh pergi sekolah dan mingle dengan orang yang normal. 


Patutnya penulis banyakkan lagi babak Soo-ah buat perangai atau cara Jung-hwan juga watak-watak lain kembalikan ingatan Soo-ah supaya cepat lemahkan virus zombie dalam badan dia. Tak perlu pun masukkan babak beberapa antagonis di hujung cerita tu. Apapun, My Daughter Is A Zombie ada kekuatannya tersendiri sebagai filem komedi. Not bad la sebagai tontonan santai dan one-time-watch.

1. Team Production +0.6, 2. Visual +1, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.5, 5. Casting +1, 6. Genre +0.4, 7. Themes +0.5, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.7, 10. Personal Thought +0.6 = 6.9/10

Movie Review | Ratu Ilmu Hitam (2019)


Pengarah: Kimo Stamboel
Penulis Skrip: Joko Anwar
Pelakon: Ario Bayu, Hannah Al Rashid, Adhisty Zara (JKT48), Ari Irham, Muzakki Ramdhan, Miller Khan, Salvita Decorte, Tanta Ginting, Imelda Therinne, Putri Ayudya, Ade Firman Hakim, Sheila Dara Aisha, Shenina Cinnamon, Ruth Marini, Giulio Parengkuan, Gisellma Firmansyah, Yayu Unru
Syarikat Produksi: Rapi Films, Sky Media
Pengedar: GSC Movies, MM2 Entertainment, Cathay-Keris Films, Garage Play
Genre: Seram / Misteri
Durasi Tayangan: 100 minit
Tarikh Tayangan: 7 November 2019 (Indonesia), 01 Januari 2020 (Singapura), 02 Januari 2020 (Brunei & Malaysia), 24 April 2020 (Taiwan)
Trailer:


Kisah bermula dengan Hanif (Ario Bayu) bersama isterinya, Nadya (Hannah Al Rashid) juga ketiga-tiga orang anak mereka – Sandi (Ari Irham), Dina (Zara JKT48) dan Haqi (Muzakki Ramdhan) dalam perjalanan ke rumah anak-anak yatim, tempat Hanif dibesarkan dahulu. Tujuan mereka sekeluarga adalah untuk melnziarah Pak Bandi (Yayu Unru), pengetua yang sedang uzur dan tenat. 

Dalam perjalanan, Hanif terlanggar sesuatu lalu berhenti dan Sandi terlihat rusa di bahu jalan. Mereka berdua menganggap rusa tersebut mati dilanggar oleh Hanif dan teruskan perjalanan ke rumah anak-anak yatim kerana sudah senja. Sebaik saja sampai, Hanif bertemu dengan Maman (Ade Firman Hakim) dan isterinya, Siti (Sheila Dara Aisha) yang bekerja menjaga kawasan rumah Kebajikan tersebut.

Tak lama kemudian, Jefri (Miller Khan) bersama isterinya, Lina (Salvita Decorte) dan Anton (Tanta Ginting) yang ditemani isterinya, Eva (Imelda Therinne) juga sampai di rumah tersebut. Rumah kebajikan tersebut sunyi sepi kerana semua pelajar dalam perjalanan pulang ke situ. Dua orang pelajar yang tinggal, Hasbi (Giulio Parengkuan) dan Rani (Shenina Cinnamon) luangkan masa bersama anak-anak Hanif di bangunan yang lain. 

Rani bercerita tentang sebuah bilik misteri berdekatan dengan bilik tidur tetamu. Katanya, bilik tersebut pernah jadi tempat terakhir Bu Mirah (Ruth Marini) yang dikurung akibat mengamalkan ilmu hitam. Setiap malam bunyi tapak kaki Bu Mirah akan kedengaran kerana cara jalannya yang berbeza dari orang lain akibat keadaan kakinya yang cacat. 

Tak sedap hati dengan kemalangan kecil yang berlaku senja tadi, Hanif mengajak Jefri ke tempat kejadian. Mereka berdua terkejut kerana Hanif sebenarnya terlanggar budak perempuan dari rumah kebajikan. Tak jauh dari situ ada sebuah bas yang kemalangan kerana terbabas ke ladang tebu. Sementara mereka berdua cuba dapatkan bantuan, kesemua yang tinggal di rumah kebajikan mula mengalami gangguan misteri. 

Filem Ratu Ilmu Hitam arahan Kimo Stamboel dan skrip oleh Joko Anwar merupakan tribute kepada filem Suzanna: Ratu Ilmu Hitam (1981) arahan Imam Tantowi yang juga diterbitkan oleh Rapi Films. Tak pasti kenapa pakai tajuk filem yang sama sedangkan plot utama berbeza dengan filem sebelumnya. Nak kata ada watak yang berkaitan dengan filem sebelumnya pun tak ada juga. Yang sama cuma konsep ilmu hitam yang menjadi unsur seram dan membahayakan sahaja. Maybe for marketing purposes only.

Penceritaan Ratu Ilmu Hitam mempunyai banyak watak di beberapa latar tempat dalam waktu yang sama namun penceritaannya mudah difahami bersama elemen misteri mengenai watak antagonis. Bila ada ramai pelakon dan watak yang dimasukkan, memang akan ada beberapa watak yang tenggelam macam Maman dan Siti yang hilang tiba-tiba dan muncul kembali. Tapi disebabkan masih lagi berteka-teki siapa punca mereka diganggu, kehilangan tu tak lah menjadi persoalan sebaliknya menjadi tease dari pengarah. 

Lakonan semua pelakon yang terlibat sesuai lah dengan watak-watak yang dimasukkan cuma tak faham kenapa watak Hasbi nak emo lepas kalah dengan Dina. Tapi itu kelemahan pada skrip bukannya lakonan. Mencuri perhatian bila Muzakki Ramdhan mengangkat watak Haqi yang banyak kerenah. Kelakar bila tengok dia kena usik anak angkat dengan Sandi dan Dina sebab ekspresi muka dia kena dengan situasi tu. Masa babak dia dan Rani atau Bu Mirah, ketakutan dia meninggalkan impak pada babak tersebut. Bonding Haqi dengan Nadya pun comel dari awal hingga ke hujung filem, nampak menjadi lah perangai anak bongsu yang manja dengan ibu.

Jumpscares yang dimasukkan boleh diagak dan tak fokus cuma pada roh Bu Mirah yang meninggal dengan ngeri di rumah kebajikan tersebut. Gangguan sihir yang dimasukkan tak lah berlebihan jadi ada masanya nampak real. Tak hairanlah filem Ratu Ilmu Hitam boleh menang anugerah Penata Efek Visual Terbaik di Festival Film Indonesia 2020. 

Kelemahan Ratu Ilmu Hitam cuma pada pertalian antara Rani dan Murni (Putri Ayudya) di second half sebab tak faham kenapa dia sanggup jadi pembantu sedangkan tak ada penjelasan dari penulis. Macam mana sihir kepada semua tetamu dijalankan pun tak ditunjuk oleh penulis. Tahu-tahu semua dah tertelan serangga, kala jengking, lipan dan seangkatan dengannya. 

Mesej sosial yang dimasukkan dalam filem Ratu Ilmu Hitam agak menarik kerana eksploitasi dan penganiayaan yang berlaku di rumah kebajikan. Bukan saja kanak-kanak perempuan malah Hanif, Jefri dan Anton yang dipergunakan untuk menutup jenayah orang lain. Tapi tetap geram dengan mereka bertiga yang angkut keluarga pergi dekat rumah kebajikan tu walaupun tahu ada sejarah hitam. Tak make sense bila sanggup balik ke situ lepas berusaha lari dari situ. 

1. Team Production +0.8, 2. Visual +0.8, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.6, 5. Casting +0.7, 6. Genre +0.6, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +0.8, 10. Personal Thought +0.7 = 7.6/10

Movie Review | Hi-Five (2025)

Saturday, 4 October 2025


Pengarah: Kang Hyeong-cheol 
Penulis Skrip: Kang Hyeong-cheol 
Pelakon: Lee Jae-in, Ahn Jae-hong, Ra Mi-ran, Kim Hee-won, Yoo Ah-in, Oh Jung-se, Park Jin-young   
Syarikat Produksi: Annapurna Films   
Pengedar: Next Entertainment World 
Genre: Aksi / Komedi
Durasi Tayangan: 120 minit
Tarikh Tayangan: 30 Mei 2025   
Trailer:


Kisah bermula dengan seorang lelaki misteri menjalani pembedahan untuk pemindahan organ di sebuah hospital. Setelah selesai mengambil mata, jantung, hati, pankreas, paru-paru dan buah pinggang, badan lelaki tersebut hancur menjadi abu. Kesemua organ tersebut diberikan kepada beberapa pesakit yang berbeza. 

Organ jantung diterima oleh Park Wan-seo (Lee Jae-in), anak kepada jurulatih taekwondo yang pernah memenangi medal Olimpik. Park Jong-min (Oh Jung-se) sentiasa prihatin dengan keadaan anaknya yang pernah terlantar di hospital selama 3 tahun kerana trauma selepas kematian isterinya yang juga mengalami sakit jantung. 


Wan-seo satu-satunya ahli keluarga yang tinggal namun anaknya tak pernah hiraukan nasihat. Semasa mencuba jantung baru, Wan-seo perasan dia mempunyai kebolehan luar biasa seperti berlari laju, melompat tinggi dan kekuatan yang mengagumkan. 

Kebolehan Wan-seo dirakam oleh Park Ji-sung (Ahn Jae-hong) yang juga mempunyai kebolehan menyedut dan menghembus angin kerana paru-paru baru yang diterima. Ji-sung cadangkan supaya mereka mencari penerima organ yang lain dan berkemungkinan juga penerima organ seperti mereka adalah orang jahat dan gunakan kuasa untuk mengancam orang awam. 


Tekaan Ji-sung tepat kerana Yeong-chun (Park Jin-young) menganggap dirinya adalah Tuhan dan berazam untuk mencari kesemua penerima organ misteri tersebut supaya dia boleh dijelmakan semula. Sementara anak perempuannya menjejak kesemua penerima organ, Hwang Gi-dong (Yoo Ah-in) munculkan diri di hadapan Wan-seo dan Ji-sung untuk show-off kuasa visualnya gara-gara menerima kornea baru. 

Kehadiran Gi-dong tak diterima baik oleh Ji-sung kerana perangai yang menjengkelkan dan ingin dianggap sebagai ketua kumpulan. Wan-seo tak kisah asalkan mereka semua sudah dianggap seperti kawan walaupun Kim Seon-nyeo (Ra Mi-ran) belum jumpa lagi kuasanya selepas menerima ginjal baru.
Naskhah aksi komedi, Hi-Five arahan dan penulisan Kang Hyeong-cheol menjadi filem kelima tertinggi kutipan untuk tahun 2025 di Korea Selatan. Penceritaan tentang kuasa luar biasa dah mula menjadi trend sejak drama Moving (2023) jadi tak hairan lah kalau banyak filem guna tema dan konsep yang sama. 


Komedi yang dimasukkan pun bersahaja dan menghiburkan tanpa dialog yang double meaning atau reference kepada sesuatu. Tapi babak komedi ni agak lambat untuk muncul sebab penulis fokus pada pengenalan watak-watak utama. Dekat awal filem macam bosan tengok watak Ji-sung dengan Gi-dong asyik bergaduh tapi bila semua bekerjasama untuk selamatkan kilang yang meletup akibat kebocoran gas, Hi-Five dah mula seronok. 

Tengok filem Hi-Five ni sebab Yoo Ah-in since dia memang bagus berlakon dan watak Gi-dong tak lari jauh dengan watak dia dalam Seoul Vibe (2022). Walaupun screentime dia tak banyak tapi meninggalkan impak yang kuat selain Lee Jae-in sebagai watak utama. Jinyoung GOT7 juga mencuri tumpuan sebagai antagonis dalam Hi-Five dalam ruang yang terhad. 


Memandangkan filem Hi-Five menggunakan konsep superheroes, sinematografi bergantung kuat pada CGI dan VFX untuk mewujudkan kuasa luar biasa dari setiap watak. Kebanyakan babak okay tapi babak Wan-seo berlari kejar troli nampak ketara penggunaan special effects tu tapi boleh tutup mata je. Still enjoyable to watch. 

Kelemahan filem Hi-Five mungkin pada watak Ji-sung yang menjengkelkan dan penjelasan beberapa babak macam kuasa Sun-nyeo yang tak diterangkan dengan jelas. Macam mana lelaki misteri dapat semua kuasa tu pun tak diceritakan dengan jelas. Memang ada cerita pada montaj tapi kitonyo tak faham Hangeul. Babak Young-chun pergi ke alam lain lepas dapat sumber kuasa baru pun tak dijelaskan. We just get a glimpse of that creature lepastu hilang. 


Rasanya kesemua penerima organ misteri tu akan ada kesan sampingan sebab masa bertarung dengan Young-chun tu rambut Yak-su (Kim Hee-won) berubah warna lepas guna kuasa dia. Sun-nyeo juga mungkin akan jadi muda bila ramai yang perasan dia makin cantik lepas pembedahan tu. Benda yang sama juga berlaku pada Yak-su. 

Mungkin penulis akan jelaskan pada sekuel atau prekuel memandangkan filem Hi-Five dapat sambutan hangat di Korea. Harapnya ada sekuel lah sebab suka dengan geng superheroes ni terutamanya Wan-seo dan Gi-dong. Tapi mungkin production kena tunggu Yoo Ah-in keluar penjara tahun depan tskkkk.

1. Team Production +1, 2. Visual +0.7, 3. Audio +1, 4. Storyline +0.7, 5. Casting +1, 6. Genre +1, 7. Themes +1, 8. Editing +0.6, 9. Social Message +1, 10. Personal Thought +0.7 = 8.7/10