EZZANIE JASNY BERANI TEROBOS SISI GELAP DALAM “NERAKA YANG TERHIJAB”
Wednesday, 3 June 2026
“Berapa Harga Sebuah Maruah?” | EZZANIE JASNY BERANI TEROBOS SISI GELAP DALAM “NERAKA YANG TERHIJAB”
Kuala Lumpur, 3 Jun 2026 – Seorang anak perempuan yang terdesak. Seorang ibu yang uzur dan seorang bapa yang memusnahkan masa depan anak sendiri demi kepentingan peribadi. Itulah dunia Adda dalam Neraka Yang Terhijab, siri Tonton Originals terbaharu yang menyelami sisi gelap kehidupan apabila seorang anak sanggup mengorbankan dirinya demi keluarga.
Bakal bersiaran bermula 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad, siri 20 episod ini menampilkan Ezzanie Jasny, Lorenzo Irman dan Arfie Shah di bawah arahan Azri Izhar serta nukilan Liza Nur. Mengangkat genre melodrama gelap dan realisme sosial, Neraka Yang Terhijab memaparkan realiti tekanan hidup, kemiskinan dan pilihan moral yang semakin kabur apabila seseorang dihimpit kesusahan.
Adda (Ezzanie Jasny) ialah seorang pelajar universiti yang berjuang meneruskan kehidupan selepas wang biasiswanya disalahgunakan oleh bapanya sendiri, Malik. Dengan keadaan kewangan keluarga yang semakin meruncing, Adda terpaksa bekerja keras untuk menampung keperluan mereka. Namun, semakin kuat dia berusaha, semakin dia terjerumus ke dalam sisi kehidupan yang lebih gelap.
Segalanya berubah apabila Adda diperkenalkan kepada “The Floor,” dunia elit yang dipenuhi kemewahan, pesta dan manusia berpengaruh. Pada awalnya dia menolak, namun tekanan hidup akhirnya membuatkan dirinya memilih untuk menjalani kehidupan berganda sebagai wanita peneman kelas atasan demi wang.
Dalam masa sama, Adda turut terperangkap dalam konflik dua beradik tiri, Annas (Lorenzo Irman) dan Zakwan (Arfie Shah). Ketika Zakwan menggunakan dirinya demi memusnahkan adiknya sendiri, Annas pula mula melihatnya sebagai lebih daripada sekadar perempuan yang dipergunakan. Namun dalam dunia yang dipenuhi rahsia dan kepalsuan, masih adakah ruang untuk mereka diselamatkan?
Bagi Ezzanie Jasny, Adda merupakan watak yang sarat dengan luka dan emosi. “Saya rasa Adda mewakili ramai orang yang hidup dalam keadaan terdesak sampai terpaksa buat pilihan yang mereka sendiri tak pernah bayangkan. Dia bukan perempuan jahat, dia cuma terlalu penat berjuang seorang diri. Itu yang buat watak ini sangat menyakitkan untuk dimainkan,” katanya.
Apabila wang menjadi taruhan untuk terus hidup, masih adakah ruang untuk Adda mencari dirinya semula? Saksikan Neraka Yang Terhijab mulai 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad, eksklusif di Tonton.
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.













